Monday, December 26, 2011

Perlunya rangkaian 'scouting' di dalam dan luar negara buat pasukan MSL

1. Mengapa banyak pasukan liga super Malaysia masih menghadapi masalah untuk mendapatkan pemain import yang berkualiti? Ini kerana mereka tidak memiliki organisasi profesional yang boleh membantu mencari bakat-bakat kelas antarabangsa.

2. Di negara ini, tidak ada individu mahupun firma yang berminat untuk menjadi agent sepenuh masa bagi mencari, memantau, menganalisa, menjejak bakat serta menguruskan urusan perpindahan pemain bolasepak profesional. Oleh sebab itu, Persatuan negeri/kelab kerap kali secara rawak memanggil pemain import untuk diuji melalui perlawanan persahabatan. Kaedah ini memang tidak cukup profesional.

3. Persatuan negeri/kelab harus mewujudkan rangkaian 'scouting' yang lebih profesional bagi membekalkan maklumat terperinci serta gambaran sebenar seseorang pemain asing sebelum sebarang keputusan diambil. Persatuan negeri/kelab mesti melantik agent di luar negara ataupun wakil di setiap liga kompetitif di luar negara.

4. Liga Thailand, Vietnam, Indonesia dan Singapura memiliki ramai pemain asing yang berkualiti tinggi. Persatuan negeri/kelab boleh menggunakan agent yang dilantik untuk memberi maklumat tentang seseorang pemain yang dikehendaki. Statistik, video serta komen jurulatih boleh diperolehi dengan lebih tepat. Jika ingin meninjau lebih jauh, Persatuan negeri/kelab boleh wujudkan kerjasama dengan agent di liga Australia, Jepun dan Korea.

Saturday, December 17, 2011

Revolusi bolasepak Malaysia bermula dengan kebangkitan pasukan kelab

1. Ramai yang bertanya mengapa liga Malaysia masih berstatus "D" atau "E"? Ini kerana pengurusan pasukan utama bolasepak di Malaysia masih di urus oleh golongan sukarela ataupun ' part timer' di kebanyakan Persatuan Bolasepak Negeri. Presiden state FA kebanyakannya terdiri dari Menteri Besar ataupun ahli politik sepenuh masa. Itu jelas menggambarkan kurang profesional dikalangan state FA.

2. Tidak ada liga di dunia ini yang membariskan pasukan bertanding daripada pasukan FA negeri. Lazimnya penyertaan pasukan adalah datang dari pasukan berstatus kelab. Oleh itu, pasukan kelab yang disokong oleh syarikat korporat adalah jawapan sebenar formula un
tuk memasuki era profesional yang sebenar.


3. cuma ada sedikit penambahbaikan yang perlu kelab-kelab di Malaysia lakukan. Antaranya, nama kelab, strategi pemasaran, kelompok penyokong, pusat latihan dan stadium. Kelab harus meletakkan nama kawasan atau bandar yang mereka wakili itu. sebagai contoh, MP Muar fc

Wednesday, December 7, 2011

Pemain import: Profesionalisme FA negeri dan kelab teruji

1. walaupun masih kerap kedengaran gaji dan kwsp pemain tempatan lambat dibayar, namun pasukan yang bertanding di liga Malaysia tetap mahu mengambil pemain asing beraksi untuk musim 2012. Adakah kedudukan kewangan setiap FA negeri/kelab sudah cukup mantap?

2. Kebanyakan pasukan begitu sukar mendapatkan pemain import kerana kekurangan maklumat serta rangkaian 'scouting' yang sempurna. Jika FA negeri/kelab mempunyai struktur tersebut, mereka tidak perlu membuang masa melakukan sesi ujian yang nampak kurang profesional.

3. Adakah pemain import yang diambil benar-benar berkualiti? Jika kualiti mereka lebih kurang sama dengan pemain tempatan, apa tujuan Fa negeri/kelab membeli mereka? komersial? peningkatan tahap kompetitif?

4. Bagaimanapun, kita perlu beri peluang kepada semua pasukan untuk membuktikan sesuatu di musim baru nanti. sebagai peminat, saya mahu kehadiran pemain impor dapat menyumbang tahap kompetitif liga super dan liga perdana.

Friday, December 2, 2011

Liga Malaysia 2012: Peminat tagih peningkatan berterusan.

1. Sepak mula liga bolasepak di Malaysia akan bermula lebih kurang sebulan lagi. kebanyakan pasukan sibuk dengan aktiviti rundingan, percubaan pemain baru dan juga memeterai perjanjian dengan penaja.

2. Sebagai peminat bolasepak tempatan, ada beberapa aspek yang saya mahu lihat.

3. Tahap kecergasan pemain, mutu kawalan bola, mutu hantaran pendek dan tepat, keberanian pemain untuk menewaskan pemain lain dalam situasi satu lawan satu, pergerakan pemain tanpa bola, kebijaksanaan ketika menyerang dan disiplin ketika bertahan.

4. Dari segi pemasaran, saya berharap harga tiket diturunkan sebagai insentif kepada peminat untuk hadir ke stadium. Rakan penaja dan penyiar tv harus memainkan peranan dengan lebih agresif untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat umum terhadap liga tertinggi Malaysia ini.

5. Dari segi pengurusan stadium, saya berharap pihak berkenaan dapat menyiapkan stadium masing-masing supaya

Friday, November 25, 2011

Pingat emas sukan sea: FAM perlu teruskan pembangunan

1. Saya akui teruja dengan kejayaan skuad harimau muda memenangi pingat emas sukan sea baru- baru ini. Tetapi, sebagai peminat bolasepak, saya ingin menegaskan bahawa perjuangan kita belum selesai.
.
2. Malaysia harus jadikan kejayaan di peringkat asia tenggara sebagai kelaziman malah 'budaya kemenangan' ditanam di minda pemain. Setelah stabil dan gagah di asia tenggara, kita perlu sedikit demi sedikit mencabar pasukan di peringkat asia pula.
.
3. Konsep sekolah sukan bukit jalil, dan sekolah sukan bandar penawar perlu diperluas ke seluruh negara. ternyata sekolah sukan seperti itu berjaya melahirkan ramai pemain bolasepak berkualiti. Di dalam apa jua bidang, sekolah adalah tempat yang paling sesuai mendidik seseorang untuk menjadi manusia yang berguna.

4. kerajaan perlu memberi sokongan dari segi pembangunan infrastruktur, peruntukan kewangan untuk membina sekolah seumpama itu di seluruh negara. sebagaimana kita bina sekolah berasrama penuh untuk pelajar yang cemerlang di dalam bidang akademik, sudah tiba masanya untuk negara ini membantu pelajar yang cemerlang dalam sukan bolasepak untuk  berjayadalam  kariernya.

Saturday, November 19, 2011

Minggu yang paling mencabar buat Ong Kim Swee

1. Kejayaan menewaskan Myanmar memberi peluang kepada Ong Kim Swee untuk menterjemahkan formulanya dalam mempertahankan pingat emas.

2. Harimau muda perlu berdepan indonesia isnin 21/11 dan kemudian Syria pada 23/11 rabu depan. OKS perlu menyediakan pasukan yang cegas dan bersedia dari segi mental dan fizikal.

3. Mereka pasti akan menghadapi ancaman dan provokasi penyokong tuan rumah di jakarta, yang mahu membalas dendam kekalahan di peringkat kumpulan dan piala AFF tahun lepas. Apa yang menariknya, ialah bagaimana OKS mempersiapkan skuadnya bagi menghadapi minggu yang paling mencabar ini.

4. Ada juga cakap-cakap yang memuji malah mengatakan OKS lebih baik dari Datuk K Rajagobal dari segi taktikal. GAndingan fadhli dan muslim lebih konsisten ketika dibawah penjagaan OKS berbandingketika bersama skuad senior.

Friday, November 11, 2011

Malaysia perlukan lebih ramai pemain bersaiz seperti IZZAQ FARIS

1. Teknik jaringan beliau ketika membenam Thailand amat mengagumkan. Buat seketika beliau berjaya menjawab kritikan yang menyerangnya kebelakangan ini.

2.Bagi saya kriteria utama pemain ini adalah ciri-ciri fizikal yang boleh membawa beliau pergi jauh dalam bolasepak.

3. Saiz fizikal Izzaq Faris Ramlan adalah saiz ideal untuk mana-mana pemain bolasepak rantau asia. Untuk bersaing dengan lebih serius di peringkat antara bangsa, pasukan negara perluan lebih ramai pemain yang memiliki saiz fizikal dan mentalliti seperti beliau.

4. Kita perlukan ketinggian untuk bersaing bola di udara, kita perlukan tubuh yang sasa untuk bersaing dengan pertahanan lawan yang lebih besar. Kita perlukan
ketinggian untuk bina tembok yang tinggi ketika menghadapi sepakan percuma lawan.

Wednesday, October 26, 2011

G Mahathevan boleh digilap sebagai pemain pertahanan

1. Pasukan kebangsaan Malaysia yang ada sekarang ketandusan kualiti dari segi kemampuan fizikal, baik dari segi ketinggian mahupun dari segi tegapnya seseorang pemain itu (Muscular).

2. Ada beberapa posisi yang sangat kritikal dan memerlukan kelebihan fizikal untuk bersaing dengan serius di peringkat antarabangsa. Penjaga gol, pertahanan tengah, pemain tengah dan penyerang. Sekurang-kurangnya 4 orang pemain kita perlu mempunyai ketinggian 6 kaki dan ke atas.

3. Kini kita hanya memiliki Izzaq Faris Ramlan sebagai pemain yang memenuhi kriteria itu. Sungguhpun begitu, saya berharap para jurulatih di peringkat akar umbi, dan juga para pencungkil bakat di sekolah-sekolah lebih teliti ketika membuat pemilihan pemain.

4. Ketinggian dan ketegapan pemain penting terutama ketika pasukan negara kehilangan bola dan perlu bertahan. Mempertahankan gol dari ancaman sepakan sudut, sepakan percuma (benteng) dan juga persaingan bola tinggi adalah sangat penting terutama bila berdepan pasukan dari luar Asia Tenggara.

5. Terutama di bahagian pertahanan, Pasukan negara yang sekian lama dikemudi Norhafiz Zamani Misbah dan Aidil Zafuan dilihat tidak mampu menjamin kekebalan benteng terutama bila bertemu pasukan yang lebih sasa fizikalnya seperti pasukan dari timur tengah.

6. Ditambah lagi dengan keengganan Datuk k Rajagobal untuk memberi semula peluang kepada Marzuki Yusof (Terengganu) bermain untuk pasukan harimau, Malaysia amat kekurangan pilihan di bahagian pertahanan. (Selain fadhli Shas, Muslim Ahmad, Faizal Muhd)

7. Antara bakat yang boleh digilap sebagai pemain pertahan tengah ialah G Mahathevan yang kini sering memanaskan bangku simpanan Negeri Sembilan. Walaupun ramai yang berpendapat beliau agak perlahan dan tidak 'sharp' ketika menanduk, namun saya lihat dari sudut yang berbeza.


8. G Mahathevan perlu diberi peluang oleh jurulatih untuk memberi yang terbaik. Saya berpendapat posisi terbaik beliau adalah pertahan tengah (Central defender). Cuma, beliau perlu dibimbing untuk meningkatkan lagi mutu tandukan, larian, bentesan, kawalan (marking) serta keupayaan membaca permainan. Kita perlu memanfaatkan kelebihan fizikal beliau secepat mungkin dan seberapa maksima yang mungkin.

Wednesday, October 12, 2011

Pengadil perlu dibantu dengan segera!

1. Berikutan insiden pesta kad merah di Kuala Terengganu tempoh hari, juga setelah menonton Cafe Sukan di Astro selasa lepas...saya mengambil kesimpulan bahawa para pengadil bolasepak di malaysia patut di bantu...dan bukan dicerca.

2. Yang pertama, FAM hendaklah mengkaji semula elaun atau bayaran yang diberi kepada setiap pengadil perlawanan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA. Ini berikutan kos sara hidup, kos pengangkutan yang semakin tinggi boleh menggugat prestasi semasa para pengadil.

3. Yang kedua, Jabatan pengadil di FAM perlu penambahan bilangan pengadil berkualiti yang boleh dibawa ke tengah bagi memberi lebih banyak pilihan di masa akan datang.

4. Ketiga, Undang-undang bolasepak perlu di promosikan dengan lebih kerap ke khalayak umum, bagi mengelak salah faham antara peminat yang datang ke stadium dengan keputusan pengadil yang dikatakan tidak konsisten.

5. Saya bersimpati dengan nasib para pengadil, mereka tidak pernah dihormati, di kenang, tapi rata-rata peminat hanya pandai mencemuh dan mengeji. Pengadil wajib dibantu dengan segera.

Sunday, October 9, 2011

Sistem kejurulatihan perlu dirombak semula

1. Setelah melihat pasukan kebangsaan gagal memberi saingan bermakna kepada Australia, saya mengambil kesimpulan bahawa ada 2 perkara utama yang kita perlu perkemaskan.

2. Pertama, Sistem kejurulatihan di negara ini perlu dirombak dan disusun semula. Struktur jurulatih dan kaedah pengajaran perlu dikaji, dirombak serta diperkasakan lagi bermula dari peringkat sekolah rendah.

3. Guru di sekolah perlu diberi latihan serta ilmu bolasepak agar mereka yang bertugas untuk membimbing pasukan sekolah benar-benar layak dan dapat memberi tunjuk ajar yang sebenar. Ini bagi mempastikan pemain dapat menjiwai apa itu pemain bolasepak sejak dari darjah satu lagi.

4. Pelajar diajar untuk selesa dengan penguasaan bola, berfikir dengan pantas dan berdisiplin sebagai satu unit kental. Dan yang paling penting, pelajar perlulah diajar sejak kecil lagi bagaimana bermain bolasepak melalui falsafah 'Total Football'.

5. 'Total Football' telah diperkenalkan oleh pasukan Belanda di era 1970 an. Bagaimanapun, dari masa ke semasa, pelbagai pasukan telah menggunakan kaedah ini dan memperkemaskan lagi corak permainan yang ditekankan oleh konsep ini. (termasuk Barcelona pada hari ini)

6. 'Total Football' mementingkan penguasaan bola di kalangan pemain, dimana mereka tidak akan melakukan hantaran jauh yang menyusahkan rakan. 'Total football' memberi pemain ruang untuk bergerak ke ruang kosong, bertukar-tukar posisi, 'one touch movement' untuk mengelirukan lawan dan yang menguntungkan ialah pasukan lawan sukar untuk merampas bola lantas sukar untuk menyerang.

7. Malaysia perlu berubah sikap ketika bermain bolasepak. Kita tidak sesuai lagi dengan kaedah British yang kerap menggunakan pendekatan hantaran jauh dan tinggi. Oleh itu, struktur kejurulatihan di akar umbi penting sebagai ajen perubahan kepada pemain-pemain kita.

8. Kedua, Pembangunan fizikal. Sekolah sukan dan juga semua sekolah projek di Malaysia perlu menilai semula diet yang diberi kepada pelajar. Adakah pemakanan mereka seimbang dan mencukupi untuk menjadi seorang ahli sukan ataupun sebagai pemain bolasepak?

9. Kita perlukan pemain yang mempunyai susuk tubuh yang lebih tinggi dan tegap. Bolasepak adalah permainan fizikal, oleh itu kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa pemain-pemain kita tidak cukup kuat dari segi fizikal untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Wednesday, October 5, 2011

Australia-Malaysia: Jurulatih perlu perbaiki mutu permainan

1. Saya teruja untuk menantikan perlawanan kelas dunia antara Australia dan Malaysia esok. Saya juga fikir pemain-pemain negara harus bersyukur kerana berpeluang menguji diri dengan pasukan yang lebih kuat.

2. Setelah tersingkir dari kelayakan piala Dunia, Datuk K Rajagobal harus kembali ke 'drawing board' dan mengingatkan pemain-pemain di mana silapnya kita. Gol-gol mudah tidak lagi boleh dimaafkan. Disiplin sepanjang 90 minit termasuk keupayaan menguasai bola perlu dititikberatkan.

3. Dengan saiz fizikal yang lebih kecil, pemain negara perlu bijak dan tenang mengawal bola. Kurangkan hantaran lambung/jauh yang sia-sia. Disini, jurulatih perlu tekankan perlunya pemain bersabar di atas padang. Jangan terburu-buru menghantar bola ke petak penalti lawan, kerana akhirnya bola itu mudah dikeluarkan oleh pertahanan lawan yang lebih tinggi.

4. Saya berharap jurulatih perbaiki mentaliti pemain, terutama dari segi penguasaan bola. Bermula dari penjaga gol, ke pemain pertahanan dan akan disambut oleh salah seorang pemain tengah. Proses bertukar-tukar hantaran pendek ini mesti di utamakan. Bola yang dihantar tepat ke kaki rakan akan memudahkan beliau mengawal dan melakukan tindakan susulan. Manakala yang lain harus menyokong dengan mencari/membuka ruang supaya mudah menerima hantaran.

5. Saya sangat-sangat berharap jurulatih dapat perbaiki mutu permainan kita, dengan mempersembahkan kualiti bolasepak yang diyakini boleh membawa Malaysia ke tahap yang seterusnya.

Friday, September 30, 2011

Hijrah ke eropah: Tak semestinya ke England

1. Walaupun sudah menjangka Safee Sali tidak akan ditawarkan kontrak sebagai pemain di Cardiff City, namun usaha beliau semasa sesi ujian tidak harus diperkecilkan.

2. Mentaliti seperti Safee harus dipuji dan dijadikan contoh oleh pemain Malaysia yang lain. Mentaliti untuk keluar dari zon selesa, keinginan untuk menambah pengalaman, semangat untuk meningkatkan lagi karier di dalam bolasepak serta keberanian beliau mencuba sesuatu yang baru.

3. Saya berpandangan, bolasepak di serata eropah adalah sekolah yang sesuai untuk pemain-pemain kita. Dari dulu lagi, saya tekankan bahawa corak permainan Inggeris tidak sesuai dengan pemain-pemain kita. Dengan saiz serta skill yang ada, pemain Malaysia lebih efektif jika ditanamkan corak latin ataupun campuran 'Total football'.

4. Jika kita mahu bermain secara latin ataupun 'total football', maka jawapan nya sudah pasti bukan di England. Saya cadangkan pemain-pemain kita mencuba nasib di negara yang kurang 'glamour' seperti Turkey, Bosnia, Slovakia, Belgium, Holland, France, Italy ataupun Spain.

5. Sebagaimana kita mempunyai hubungan yang istimewa dengan Slovakia (Berdasarkan latihan HMA di sana setahun dua yang lalu), maka saya sarankan FAM wujudkan pula hubungan dengan FA Turkey ataupun FA Bosnia.

6. Hantar pemain muda terbaik dari SSBJ ataupun SSBP ke akademi yang terbaik disana. Biar mereka bersekolah di Turkey ataupun Bosnia. Jika mereka berjaya 'perform' di peringkat akademi, saya percaya pasti ada kelab yang berminat untuk mengambil mereka. Ketika itu, tidak akan timbul isu permit kerja. Insya Allah.

7. FAM, FA negeri, Kelab-kelab serta pemain harus buka minda sekiranya mereka ingin berhijrah ke eropah bagi meningkatkan lagi perjalanan karier mereka.

Monday, September 26, 2011

Liga Super Perlu kekal 14 pasukan

1. Saya ada sempat terbaca keluhan Timbalan Presiden FAM yang juga presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa tempohari yang bercadang untuk menimbang semula format Liga Super edisi 2012.

2. Saya sebagai peminat, pemerhati bolasepak tempatan berpandangan bahawa kita perlu kekal dengan 14 pasukan ataupun tambah ke 16 pasukan.

3. Memang benar, masalah utama adalah masalah kewangan. Tak banyak pasukan liga Super yang mempunyai kedudukan kewangan yang stabil apatah lagi kukuh. Tak banyak pasukan liga Super yang berjaya menarik penonton ke stadium. Jika tidak mampu tarik penonton ke stadium serta sering menghadapi kantung kewangan yang tenat, maka pasukan terbabit di cadang untuk di turunkan ke divisyen bawahan.

4. Bagi saya, sebagai permulaan, FAM menerusi penaja barunya boleh menyuntik dana permulaan kepada pasukan yang bertanding di liga Super. Seperti orang yang baru mula berniaga, mereka perlukan modal untuk membina perniagaan mereka. Berikan kepada mereka pelan 3 tahun, pasukan-pasukan ini hendaklah mentadbir kewangan mereka dengan lebih profesional.

5. Saya amat tidak bersetuju dengan menghadkan penyertaan kepada 8 pasukan sahaja di Liga Super. Ini akan merugikan pemain kerana jumlah perlawanan yang berkurang. Mengikut formula lazim, semakin banyak perlawanan kompetitif yang di tempuhi, semakin baik mutu permainan bolasepak sesorang pemain itu.

6. Dari segi pemain import, Saya berpendapat biarlah hanya yang mampu saja untuk mengambil pemain asing. Tidak guna berlumba-lumba mengambil pemain asing, jika kedudukan kewangan tidak mengizinkan. Saya berharap kepada pasukan yang kurang mampu, tumpukan kepada penambahbaikan sistem kejurulatihan dan juga akademi remaja.

7. Penambahbaikan sistem kejurulatihan penting bagi menambah ilmu jurulatih serta mempelbagaikan kaedah latihan bagi memenuhi keperluan teknik dan taktik semasa.

8. Dari segi akademi remaja, tingkatkan kualiti dari segi fizikal pemain, corak permainan moden iaitu 'possesion football' atau pun pentingkan skil penguasaan bola. Pemain muda harus ditekankan perlunya bermain secara 'intelligence' berbanding bermain secara membabi buta.

Wednesday, September 21, 2011

Kelayakan Olimpik: khairul Fahmi layak beraksi di J LEAGUE

1. Pasukan bimbingan Ong Kim Swee nampak gugup di awal permainan. Maklum sajalah, ini merupakan perlawanan bolasepak kompetitif paling tinggi pernah diharungi oleh skuad harimau muda negara. Suasana, persekitaran stadium juga jelas bertaraf dunia.

2. Walaupun pasukan ini telah berguru di Slovakia, diberi tempat di liga super tempatan dan majoriti pemain dilahirkan dari sekolah sukan bukit Jalil, namun jurang tahap bolasepak antara Malaysia dan Jepun masih jauh. Ya, kita jauh ketinggalan 20 tahun. Buktinya, pada minit ke 10, benteng kita bocor hasil daripada gerakan 'pintar' 3 orang pemain Jepun yang membelah masuk kubu pertahanan negara yang masih tercari-cari rentak permainan.

3. Di separuh masa pertama, ada lebih kurang 5 hingga 6 percubaan bahaya Jepun berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang yang juga kapten, Khairul Fahmi Che Mat. Ini termasuk kejayaan beliau menafikan cubaan 'one by one' dengan salah seorang penyerang Jepun. Kesemua ketangkasan Khairul Fahmi yang berjaya meminimakan pesta gol Jepun harus dipandang dari sudut positif. Saya berharap, akan ada kelab dari J LEAGUE yang akan menawarkan kontrak kepada beliau.


4. Keputusan kecundang 2-0 ini harus dipandang dari sudut positif. Ada beberapa tanda bahawa pemain kita sebenarnya boleh bermain bolasepak secara berpasukan. Cuma, kita belum sampai ke tahap di mana Jepun berada sekarang.

5.  Jika diteliti persembahan harimau muda tadi, pasukan kita mampu bermain dengan disiplin yang tinggi dan menurut taktik jurulatih. Mereka turun dengan corak 'compact unit' menyerap semua serangan lawan dan melancarkan serangan balas mengejut jika ada ruang untuk melakukannya.

6. Malangnya setelah berhempas pulas merampas bola dari kaki sang samurai, pemain kita tidak mempunyai pilihan bagi membuat hantaran kepada rakan lalu bola tersebut akhirnya dirampas semula oleh pemain Jepun.
perkara ini berlaku kerana 2 faktor:

7. (A) Pertama, Pasukan Jepun pantas mengamalkan 'closing down' ataupun 'preasure' ke atas lawan yang memiliki bola. Mereka dalam bilangan yang ramai pantas menutup ruang sehingga pemain Malaysia kesuntukan masa untuk berfikir ke mana bola itu harus di mainkan. (B) Kedua, Pemain kita masih belum mahir dalam permainan berpasukan secara kolektif. Dengan kata lain, pemain negara kurang mahir dengan skil 'ball possession'. Apa yang harus dibuat apabila rakan kita memperolehi bola? Kita sepatutnya dengan pantas mencari/buka ruang dan membantu beliau untuk memudahkannya menghantar kepada rakan yang lain.

8. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, kunci utama bolasepak moden adalah: semakin lama bola berada di pihak kita, semakin tinggi peluang untuk menang. Untuk mengekalkan penguasaan bola, tidak ada cara atau kaedah lain yang terbaik melainkan menekankan falsafah 'possesion football'. Falsafah ini tidak boleh dilaksanakan sehari dua, tetapi ia seharunya ditanamkan sejak bangku sekolah lagi.

9. Jadikan perlawanan ini sebagai iktibar. Perlawanan ini juga memperlihatkan satu-satunya peluang keemasan yang diperolehi pasukan negara oleh Fandi Othman disia-siakan.  Itu buktinya pasukan Jepun boleh dikalahkan jika kena caranya. Imposible is nothing.

Friday, September 16, 2011

Persatuan Negeri wajib bantu pembangunan kelab-kelab bolasepak

1. Pembangunan bolasepak sering dikaitkan dengan pembabitan di peringkat akar umbi. Seluruh pelusuk kampung, mukim, daerah akan mempunyai organisasi atau struktur pertandingan bolasepak mereka sendiri.

2. Jika struktur di peringat akar umbi aktif dan berdaya maju, maka kita akan dapat lihat aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bolasepak sering dijayakan disana-sini. Kemana saja kampung, mukim yang kita lawati, pasti akan ada perlawanan bolasepak dilangsungkan. Setidak-tidaknya, kita juga berpeluang melihat beberapa siri klinik bolasepak dijalankan untuk kanak-kanak.

3. Perkembangan sihat di peringkat akar umbi amat penting. Untuk menjadi maju di dalam bolasepak, kita tidak boleh bergantung harap kepada kemeriahan liga Super semata-mata. Oleh itu, pembabitan seberapa ramai pemain di akar umbi termasuk penubuhan kelab-kelab amatur memainkan peranan penting bagi tujuan pembangunan tadi.



4. Kini, di liga Super dan liga perdana terdapat beberapa kelab yang turut bersaing. Johor FC, Felda United, T-Team, PKNS, Sime Darby, MP Muar FC dan SDM Navy telah merancakkan lagi perkembangan bolasepak di negara kita.

5. Walaubagaimanapun, saya berharap lebih banyak pasukan bertaraf kelab dapat dibangunkan serta dibantu dari segi kewangan dan logistik. Ini kerana jika lebih banyak kelab yang berjaya mara sehingga ke peringkat Liga Perdana dan liga Super, itu adalah petanda bahawa bolasepak di peringkat akar umbi telah menunjukkan perkembangan positif.

6. Persatuan bolasepak negeri perlu bantu kelab-kelab bolasepak di negeri masing-masing bagi mencapai matlamat yang telah disebutkan tadi. Bantuan dari segi peruntukan kewangan, nasihat teknikal, pembangunan aset seperti stadium, pemasaran dan komersial perlu di salurkan kepada mana-mana kelab yang berpotensi.

7. Saya berharap kesemua kelab yang masih bersaing di dua liga tertinggi di Malaysia itu, akan terus berdaya maju dan kekal kompetitif. Lebih banyak kelab yang terlibat, lebih baik untuk bolasepak negara, dan juga baik untuk pasukan kebangsaan.

Sunday, September 11, 2011

Pemain Malaysia perlu rebut peluang di luar negara

1. Bermain bolasepak secara kompetitif ataupun ditawarkan kontrak profesional oleh sesebuah kelab bolasepak eropah haruslah menjadi idaman setiap pemain di Malaysia.

2. Mereka perlu tanamkan cita-cita untuk mengembangkan karier lebih jauh, merantau dan meneroka peluang bermain di mana-mana negara di eropah. Samada Liga yang dikenali ataupun di liga yang kurang dikenali, pemain kita mesti berani mencuba.

3. Alangkah malang jika mereka sekadar berpuashati dapat mengecapi saingan liga Super tempatan, dan mengagungkan Piala Malaysia melebihi piala dunia. Pemain tempatan perlu sedar, dengan tahap yang ada di liga Super kita pada ketika ini, mereka tidak akan mempelajari apa-apa dari segi teknik, taktik dan gaya hidup sebagai pemain bolasepak profesional.

4. Tidak mengapa sebagai permulaan, pemain tempatan untuk mencuba nasib di liga sekitar ASEAN. Namun, jika ada peluang datang untuk bermain di eropah, rebutlah peluang itu dengan bersungguh-sungguh. Pengalaman yang bakal ditimba tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit.

5. Tahniah kepada Safee Sali, Irfan Fazail, Fadhli shas dan Wan Zack Haikal. Mereka ini merupakan kelompok pertama anak Malaysia yang diberi peluang mempamer bakat di eropah. Saya berdoa lepas ini, ramai lagi anak Malaysia mendapat peluang yang sama.

Friday, September 2, 2011

Mencari perlawanan persahabatan bermutu-"Hidupkan semula Pestabola Merdeka"

1. Ketika rakyat Malaysia masih meraikan hari kemerdekaan dan aidil fitri, pasukan bolasepak jiran tetangga kita iaitu Thailand, Singapura dan Indonesia pula sedang berhempas pulas bersaing di pentas asia bagi pusingan kelayakan piala dunia Brazil 2014.

2. Mereka perpeluang untuk menghadapi 6 perlawanan kompetitif di peringkat asia bagi merebut tempat yang seterusnya. Malaysia yang gagal ke pusingan ketiga terlepas peluang yang disebutkan tadi, bahkan menghadkan pengalaman pemain-pemain muda negara bertarung dengan pasukan-pasukan terbaik rantau asia.

3. Walaupun begitu, diharapkan pengurusan pasukan harimau agar tidak berputus asa, malah terus berusaha mencari peluang bagi memantapkan lagi permainan pasukan negara. Oleh kerana kita gagal ke pusingan ketiga, maka saya cadangkan agar Malaysia merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan kelas A secepat yang mungkin.

4. Momentum ini perlu diteruskan. Kita mempunyai skuad yang muda, masih dinobat sebagai raja asia tenggara. Oleh itu kita harus mengorak langkah agar Malaysia mampu bersaing di peringkat asia pula.

5. Berbalik kepada cadangan saya tadi, ada dua jenis perlawanan persahabatan, iaitu perlawanan lazim yang membabitkan dua pasukan, atau pun pertandingan persahabatan atau 'friendly tournament'. Kali ini saya mahu tekankan kepada jenis yang kedua, iaitu 'friendly tournament'.


6. Saya cadangkan kepada FAM agar dihidupkan semula kejohanan Pestabola Merdeka setiap tahun bagi memenuhi perancangan skuad negara. Kejohanan persahabatan ini perlu bagi memberi skuad kebangsaan perlawanan ujian yang berkualiti, bergantung kepada pasukan yang dijemput.

7. Saya cadangkan kejohanan ini mengikut format kumpulan A dan B, yang mana setiap kumpulan mempunyai 4 pasukan. Saya juga cadangkan agar Malaysia di kumpulan A, manakala Malaysia B-23 di kumpulan B.

8. Jika berkemampuan, saya cadangkan agar 2 pasukan dari eropah, 2 pasukan dari amerika selatan dan 2 pasukan dari afrika dijemput ke kejohanan ini. Untuk memudahkan pasukan jemputan untuk hadir ke kejohanan ini, saya cadangkan pestabola merdeka di adakan pada sekitar awal jun atau hujung julai, kerana kebanyakan liga bolasepak eropah ketika itu sedang berehat.

9. FAM perlulah meneliti jadual liga tempatan agar tidak berlaga dengan tuntutan perlawanan antarabangsa. Pestabola Merdeka perlu dihidupkan semula bagi membantu skuad negara bermain dengan pasukan yang berkualiti.

Tuesday, August 23, 2011

FAM perlu 2 pasukan untuk Sukan SEA dan Kelayakan Olimpik

1. Saya berpendapat FAM tidak perlu bersusah payah untuk menulis surat kepada AFC bagi memohon menunda perlawanan kelayakan Olimpik London 2012 menentang Syria November nanti.

2. Saya fikir FAM perlu mengutamakan pusingan kelayakan Olimpik lebih daripada misi mempertahankan pingat emas sukan SEA. Dalam masa yang sama, kita bertuah kerana mempunyai ramai pemain pelapis yang boleh dikatakan kompetitif di peringkat umur mereka.

3. Saya cadangkan FAM beri tugasan sepenuhnya kepada skuad Harimau Muda A kendalian Ong Kim Swee terhadap keperluan persiapan kelayakan Olimpik. Mereka perlu fokus dan melakukan persiapan khusus untuk menghadapi pusingan kelayakn olimpik. HMA tidak boleh terlibat dengan sebarang bentuk kejohanan lain. Ong Kim Swee seharusnya menumpukan perhatian 100% terhadap persiapan menentang Jepun, Syria dan Bahrain.

4. Bagi kempen mempertahankan pingat emas sukan SEA, kita boleh beri tugas itu kepada pasukan Harimau Muda B serta dibantu beberapa pemain skuad bawah 19 tahun. Perlu diingat, Sukan SEA hanyalah pertandingan bawah 23 tahun di peringkat rantau ASEAN dan merupakan pentas untuk pemain yang kurang mendapat tempat di HMA untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

5. Kita jarang mendapat peluang untuk layak ke peringkat kumpulan ini, maka peluang yang sudah terhidang janganlah dipersiakan. FAM perlu mempersiapkan 2 pasukan yang berbeza bagi menghadapi 2 kejohanan yang berbeza dari segi tahap kompetitifnya dan juga berbeza dari segi keutamaannya.

Monday, August 15, 2011

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus sokong kelab bolasepak komuniti

1. Saya sering terfikir bagaimana untuk mewujudkan suasana bolasepak yang lebih menyeluruh dan membabitkan lebih banyak pihak sehingga ke peringkat akar umbi. Senario bolasepak di Malaysia secara tradisi lebih mengutamakan pasukan negeri. Saya fikir sudah tiba masanya untuk kita tambahkan lagi saingan bolasepak dengan menarik penyertaan pasukan kelab di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

2.  Di peringkat daerah-daerah, saya dapati ada banyak pasukan kelab bertanding di sesuatu liga anjuran Persatuan bolsepak Negeri. Pasukan-pasukan kelab ini juga melahirkan ramai bakat muda yang boleh diketengahkan. Tetapi, sayang sekali tidak semua yang bertuah untuk menembusi dan mengisi tempat di dalam skuad utama negeri yang bertanding di Liga Super ataupun Liga Perdana.

3. Bakat-bakat yang ramai ini tak boleh dipersiakan. Oleh itu, saya cadangkan agar pasukan bertaraf kelab ini berusaha bersungguh-sungguh untuk menjuarai Liga di peringkat negeri dan kemudiannya mencuba nasib untuk layak ke Liga FAM.

4. Dalam masa yang sama, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus bersama-sama menyokong kelab komuniti masing-masing dengan memberi sokongan dalam bentuk prasarana dan kemudahan sukan yang berpatutan. PBT sekurang-kurangnya mengambil inisiatif membina stadium yang boleh digunakan oleh masyarakat setempat dan juga untuk perlawanan bolasepak yang membabitkan kelab dari kawasan berkenaan.

5. Saya yakin, masyarakat setempat juga akan sama-sama datang ke stadium untuk menyokong kelab komuniti mereka. Stadium yang akan dibina tidak perlu besar dan menelan belanja yang besar. Cukup dengan stadium berkapasiti 10,000 tempat duduk adalah memadai untuk mana-mana komuniti yang ingin melihat pasukan kelab mereka bermain dengan selesa.

6. Pihak PBT pula tidak mengalami kerugian kerana mereka juga boleh mendapat hasil melalui sewa, gerai-gerai dan sebagainya. Sekiranya setiap PBT memainkan peranan yang positif, saya yakin faedahnya akan dapat kepada pasukan kelab yang sememangya banyak bersaing di peringat akar umbi.

Tuesday, August 9, 2011

Misi 2015: Liga Super perlu sentuhan tambahan jurulatih asing

1. Setelah Datuk K Rajagobal berkali-kali mengingatkan kita tentang perancangan utama beliau untuk membawa pasukan negara layak ke Piala Asia 2015, maka saya secara peribadi menyokong wawasan tersebut, walaupun kita mempunyai misi mempertahankan piala AFF tahun depan.

2. Untuk mempersiapkan diri menjelang pusingan kelayakan yang dijadualkan pada 2013, saya berpendapat persiapan rapi dan lebih tersusun amat-amat diperlukan untuk merealisasikan impian tersebut.

3. Saya pernah tulis sebelum ini, dan saya akan ulang sekali lagi 'teori' saya ini, ada 3 faktor yang boleh menyumbang kejayaan sesebuah pasukan kebangsaan.(i) Liga Domestik yang kompetitif, berkualiti tinggi dan profesional di segenap aspek. (ii) Program pembangunan Remaja yang sistematik, berterusan dan berinovasi. (iii) Bilangan pemain yang bermain di liga di luar negara (eksport)

4. Bagaimanapun, faktor pertama (i) adalah faktor yang terbesar kerana di dalam liga domestik merupakan sumber terbesar bagi mana-mana jurulatih kebangsaan untuk memilih pemain. Oleh itu, saya akan tekankan lagi betapa perlunya kualiti dan tahap kompetitif Liga Super Malaysia dipertingkatkan ke tahap yang seterusnya.

5. Untuk meningkatkan lagi mutu Liga Super, kali ini saya akan menulis khusus tentang perlunya peningkatan mutu dari aspek kejurulatihan. Ini bermaksud, setiap pasukan perlu bersedia untuk berbelanja lebih demi meningkatkan kualiti permainan di saingan liga.

6. Saya berpendapat, Persatuan Bolasepak negeri dan kelab yang bertanding di Liga Super MESTI memandang serius persiapan pasukan dari segi tahap kecergasan, kesedian mental, tumpuan pemain terhadap tugas mereka di padang dan di luar padang, gaya hidup pemain, tahap kemahiran individu dan lain-lain lagi.

7. Untuk mencapai profesionalisme yang maksimum, saya berpendapat Persatuan Bolasepak Negeri dan Kelab yang bertanding MESTI mendapatkan khidmat jurulatih asing dari Eropah ataupun dari Amerika selatan untuk membimbing pasukan utama dan juga pasukan Piala Presiden.

8. Adakah jurulatih tempatan tidak cukup bagus? Bukan itu yang saya maksudkan. Saya berpandangan jurulatih tempatan ada batas-batas tertentu yang akhirnya akan menghadkan pembangunan seseorang pemain itu. Mengapa kita perlukan Jurulatih asing?

9. Yang Pertama, Jurulatih asing akan membawa ilmu terkini bolasepak di eropah atau Amerika Latin. Kaedah-kaedah latihan, strategi risikan, ilmu psikologi, disiplin pemakanan, pembinaan fizikal, disiplin gaya hidup dan macam-macam lagi modul persiapan pasukan yang sangat rapi. Sedikit perbezaan dari segi disiplin boleh menjadi penentu kalah menang sesuatu pasukan.

10. Yang Kedua, Jurulatih asing mempunyai jaringan rangkaian (network) yang luas dari segi sumber pencari bakat pemain di seluruh dunia. (Scouting) Jika Liga super membenarkan pemain import beraksi semula tahun depan, Jurulatih asing ini boleh membantu dari segi mendapatkan pemain yang berkualiti. Mereka juga boleh membantu pemain tempatan yang ingin mencuba nasib di eropah untuk sekurang-kurangnya mendapatkan tempat bermain di kelab-kelab eropah.

11. Yang ketiga, Kehadiran jurulatih asing akan memberi peluang kepada jurulatih muda tempatan mempelajari teknik-teknik kejurulatihan dan pemindahan ilmu ini amat berguna untuk meningkatkan kepakaran jurulatih tempatan. 

12. Saya berharap setiap pasukan yang bertanding di liga Super (Yang berkemampuan) menggunakan khidmat jurulatih asing bagi memberi nafas baru kepada bolasepak tempatan yang sedang menuju graf 'menaik'. Begitu juga dengan skuad piala presiden, yang mana khidmat jurulatih asing akan membantu pemain muda meningkatkan mutu permainan mereka.

Friday, August 5, 2011

FAM dan semua FA negeri perlukan Pengarah teknikal

1. Setelah agak reda kritikan terhadap jurulatih negara, Datuk K Rajagobal tentang isu teknik dan taktik, maka kini saya berasa sesuai untuk membicarakan pula tentang hal yang lebih kurang serupa.

2. Saya tegaskan sekali lagi, jawatan pengarah teknikal atau pengarah bolasepak (Director of football) bagi sesetengah kelab di eropah telah diwujudkan sejak sekian lama. Bagi saya peranan pengarah teknikal ini sangat penting, asalkan ianya tidak mengganggu tugas jurulatih utama terhadap pasukan senior.

3. Mengapa jawatan pengarah teknikal diperlukan? Seseorang yang dilantik ke jawatan pengarah teknikal selalunya diberi tugas utama untuk membangunkan program di peringkat akar umbi seperti pemain bawah umur. Pengarah teknikal akan dibantu sepasukan jurulatih yang bertauliah untuk menjayakan program pembangunan pemain muda seperti di akademi bolasepak.

4. Oleh itu, kita nampak peranan pengarah teknikal akan menentukan corak pemain yang bakal dihasilkan oleh sesebuah akademi bolasepak. Jika seseorang pengarah Teknikal mengamalkan falsafah bolasepak yang positif, maka akan lahirlah generasi pemain yang positif. Pemain-pemain muda akan diperkayakan dengan pelbagai ilmu teknik dan taktik semasa berguru di akademi di bawah kelolaan Pengarah Teknikal.

5. Seperti yang pernah saya tulis dulu, kejayaan La Masia (sekolah bolasepak FC Barcelona) menghasilkan pemain-pemain yang hebat bermula dari program remaja yang juga hebat. Struktur La Masia sangat tersusun sehingga mereka mengambila kira semua aspek untuk membangunkan seseorang pemain muda itu.

6. Pengarah di La Masia, Carles Folguera pernah berkata "Why did Messi, Iniesta, Xavi, Pedro, for example, come out of here who are just 5ft tall? Because our principal value is not the physical aspect. It's the talent. It's the ability. This has nothing to do with height."

Sumber - http://www.thesun.co.uk/sol/homepage/sport/football/3404939/Meet-Barcelonas-unsung-heroes.html

7.  Sekarang kita lihat senario di Malaysia. Jika semua Persatuan Bolasepak Negeri mempunyai pengarah Teknikal dan jabatan yang diketuainya tersusun serta lengkap, maka saya percaya Malaysia akan mampu menghasilkan pemain yang berkualiti untuk bersaing di Liga Super. Pemain-pemain yang berkualiti ini akan bersaing dan menghasilkan kelompok yang besar untuk dipanggil ke skuad kebangsaan. 

8. Pasukan kebangsaan perlukan skuad yang besar. Ini bermaksud kelompok pemain yang bersedia untuk menyarung jersi kebangsaan dan bermain di tahap yang maksimum mestilah ramai. Sekiranya beberapa pemain utama tercedera ataupun menjalani penggantungan, maka jurulatih akan mempunyai pilihan lain bagi mengisi kekosongan itu. Apabila jurulatih mempunyai banyak pilihan, maka ketika itu perubahan strategi taktikal boleh dilakukan dengan lebih mudah.

9. Dalam masa yang sama, jangan lupa bahawa seseorang pengarah Teknikal tidak boleh masuk campur dengan urusan pasukan senior. Ini kerana pasukan senior terletak di bawah tanggungjawab penuh ketua jurulatih yang telah dilantik. Pengarah Teknikal hanya membantu dari segi memberi cadangan pemain-pemain muda yang difikirkan telah bersedia untuk memasuki pasukan senior.

10. Saya tegaskan sekali lagi, FAM dan persatuan bolasepak negeri wajib memiliki pengarah teknikal untuk kesinambungan berterusan kecemerlangan bolasepak negara.

Thursday, August 4, 2011

Pemain import: Perlu atau tidak?

1. Walaupun pasukan kebangsaan gagal meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia, namun saya percaya usaha untuk memajukan sukan bolasepak mesti diteruskan.

2. Seperti yang pernah saya tekankan sebelum ini, ada tiga faktor utama kejayaan sesebuah pasukan kebangsaan. (i) Liga Domestik yang kompetitif serta berkualiti di semua aspek. (ii) Program pembangunan pemain bawah umur, remaja dan pelapis yang sistematik dan berkesan (iii) Bilangan pemain yang dieksport ke luar negara.

3. Tetapi untuk hari ini, saya akan lebih menulis tentang bagaimana untuk menjadikan liga Super Malaysia menjadi lebih kompetitif dan menguntungkan dari sudut komersial. Walaubagaimanapun, kita jangan lupa tugas utama adalah untuk membina sebuah pasukan kebangsaan yang kukuh dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Dengan kata lain, Liga Super perlu berperanan sebagai penyumbang utama pemain kebangsaan dan memudahkan tugas ketua jurulatih. Ya, kita akan membantu Datuk K Rajagobal.

4. Saya bersetuju jika pasukan yang MAMPU sahaja untuk membeli pemain import. Kita sedar objektif kemasukan pemain import adalah untuk meningkatkan mutu Liga, namun dalam masa yang sama kita mesti realistik dengan kedudukan kewangan sesetengah persatuan bolasepak negeri. Oleh itu, saya tegaskan kemasukan pemain import hanyalah sebagai pilihan (Optional) dan bukan sesuatu yang wajib.

5.  Dalam masa yang sama, saya sarankan agar Jawatankuasa Pertandingan meletakkan satu syarat wajib kepada semua pasukan yang bertanding. Syarat wajib yang saya sarankan ialah: setiap pasukan yang bertanding di liga super hendaklah menurunkan minima 2 orang pemain yang berumur bawah 23 tahun. Oleh itu akan ada keseimbangan di dalam setiap pasukan.

6. Pasukan yang berkemampuan akan menurunkan 2 orang pemain import serta 2 orang pemain bawah 23 tahun. Situasi ini akan mengekalkan peluang anak-anak muda untuk menembusi pasukan senior dan ia juga membolehkan pemain-pemain muda mempelajari teknik-teknik yang bermutu tinggi daripada rakan import mereka.

7. Kesimbangan perlu ada supaya kualiti liga dan kebangkitan pasukan kebangsaan dapat bergerak seiring. harapan saya agar bolasepak negara akan terus berkembang dan menjadi industri yang pesat suatu hari nanti.

Monday, August 1, 2011

Analisa Skuad Harimau Selepas 28 Julai.

1. Rasa kecewa bercampur lega dapat saya rasakan selepas perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 di Bukit Jalil antara pasukan Harimau dengan Sang Singa. Kecewa kerana kita gagal meneruskan kemaraan ke peringkat ketiga. Lega pula kerana pasukan negara tidak kalah di bumi sendiri.

2. Ramai yang melontarkan kritikan terhadap jurulatih Datuk K Rajagobal selepas tersingkirnya pasukan negara. Ada yang kata Datuk 'K' kurang arif dalam merencanakan strategi berkesan dalam menghadapi Singapura. Ada yang kata Datuk 'K' tersilap memilih pemain yang sesuai untuk bersaing dengan Singapura.

3. Dalam hal ini, saya berpendapat Datuk K terlalu bertegas dengan pemilihan pemain muda (skuad Olimpik) sehingga meminggirkan beberapa pemain lebih senior yang sedang 'on form' di peringkat negeri di saingan Liga Super. Beliau juga terlalu kerap menggunakan 'back four' muda sehingga mereka terbeban dengan tugas yang sepatutnya dipikul oleh pertahanan yang lebih senior.

4. Gandingan Mahali-Muslim-Fadhli tidak sepatutnya dibebankan dengan tugas bersama skuad senior, kerana mereka telah bermain untuk pasukan Harimau Muda di Liga Super serta kelayakan olimpik. Gandingan muda ini sepatutnya hanya bertindak sebagai 'Plan B' kepada skuad senior, jika berlaku ramai yang tercedera ataupun menjalani penggantungan.

5. Ada ramai yang mampu bermain untuk skuad senior jika kita tolak ketepi gandingan muda yang disebutkan tadi. Tidak perlu pandang terlalu jauh, kita hanya fokus kepada 4 pasukan terbaik Liga Super iaitu Kelantan, Terangganu, Selangor serta Kedah. Untuk pertahanan kanan, kita ada Daudsu Jamaludin (Kel), Sabree Mat Abu (Kedah), P Gunalan (Selangor). Pertahanan tengah S Subramaniam (Kel) Marzuki (Ter) Nasriq baharum (Sel) Farisham (Kel). Pertahanan kiri pula Ropy (Kel), Azmi Muslim (Kedah).

6. Oleh itu saya harap Datuk K dapat mengurangkan beban pemain-pemain muda kerana bermain terlalu banyak perlawanan berprofil tinggi. Mereka seharusnya diberi rehat yang cukup bagi meneruskan proses pembelajaran bersama skuad Ong Kim Swee. Saya juga sempat menilai setiap individu yang bermain di perlawanan kedua tempohari.:

7. Khairul Fahmi Che mat: Sepatutnya diturunkan ketika pertemuan pertama di Jalan Besar. Walaupun masih muda, beliau adalah penjaga gol terbaik negara buat masa ini. Berjaya menyelamatkan beberapa percubaan penting lawan. Rating 8/10.

8. Mahali Jasuli: Sangat efektif ketika menyerang, tetapi kerap menggelecek terlalu lama sehingga bola hilang kepada lawan. Perlu tingkatkan kemahiran berfikir, bila perlu menggelecek, serta bila perlu untuk melepaskan hantaran kepada rakan. Rating 6/10.

9. Muslim Ahmad: Pemain pertahanan berbakat, tetapi tertekan dengan tuntutan terhadap tugas penting yang panjang. Kelayakan Olimpik, kelayakan Piala Dunia serta perlawanan persahabatan dengan pasukan EPL. Tidak termasuk saingan Liga Super yang panjang. Saya bersimpati dengan beliau kerana dikritik, cuma berharap Muslim ambil iktibar dari pengalaman berdepan dengan Aleksandar Duric. Pengalaman berharga.

10. Fadhli Shas: Sama seperti Muslim, tidak adil menghentam pertahanan yang baru berusia 20 tahun ini. Berikan beliau rehat dan terus belajar bersama Harimau Muda di Slovakia. Pengalaman berharga menentang Duric dan Shi Jiayi.

11. Asrarudin Putra: Aksi sederhana, berkesan dengan hantaran lintang dari sebelah kiri. Cuma perlu perbaiki teknik bertahan serta hantaran tepat kepada rakan-rakan midfield. Rating 6/10.

12. Amar Rohidan: Beliau telah cuba sedaya upaya, tetapi pergerakan agak terbatas dengan ketiadaan Safiq. Beliau perlu tingkatkan kekuatan fizikal, perlu tajamkan lagi mutu bentesan. Sebagai defensive midfielder, beliau mesti lebih keras ketika menahan asakan lawan. Rating 6/10.

13. Ismail Farouqi: Berbakat, kreatif, cuma kurang pengalaman di peringkat antarabangsa. Datuk K tidak sepatutnya meletakkan beliau di kesebelasan utama untuk perlawanan genting seperti ini. Saya berharap ISmail akan diberi lebih peluang bersama skuad negara selepas ini. rating 5/10.

14. S Kunanlan: 'Livewire' dalam skuad kali ini. Rajin dan penuh dengan stamina, Kunanlan beraksi dengan penuh komited di kedua-dua perlawanan. Beliau terbabit dengan gol yang diledakkan oleh Safee Sali. Perlu dikekalkan dalam skuad. Rating 7/10.

15. Amirulhadi: Antara pemain setia Datuk K sejak pasukan bawah 19 tahun. Beliau juga terkenal dengan larian di sebelah sayap kanan. beliau nampak agak berhati-hati ketika perlawanan kedua, dan rembatan lemah beliau di peruh masa pertama amat mengecewakan. Perlu tingkatkan kualiti rembatan. Rating 6/10.

16. Hadi Yahya: Kurang kemahiran teknikal di peringkat antarabangsa. Gagal membebaskan diri dari 'marker'. Bola mudah dirampas dari kaki, kadangkala kawalan yang kurang kemas. Tidak ada percubaan bahaya ke gol lawan, mengecewakan untuk penjaring terbanyak Liga Super. Rating 5/10.

17. Safee Sali: Pemain yang jelas berada di kelas berbeza. menunjukkan mutu permainan berkesan sejak bermain di ISL. 'Positioning, finishing' beliau adalah yang terbaik di rantau asia tenggara. Jaringan-jaringan beliau dikecewakan oleh kelonggaran barisan pertahanan. Permain terbaik malaysia. rating 8/10.

18. Saya berharap Datuk K akan diberi peluang untuk memperbaiki pasukan. Pasukan ini merupakan pasukan harapan, jangan putus asa dan cuba lagi. TANAH TUMPAHNYA DARAHKU.

Saturday, July 23, 2011

United Nations (5) - Made In Malaysia (3): Masih ada harapan

1. Sudah tentu ramai peminat bolasepak tempatan kecewa dengan keputusan ini. Melepaskan gol-gol mudah kepada seteru utama memang susah untuk diterima. Bagaimanapun, saya ingin mengupas beberapa aspek taktikal ataupun teknikal yang boleh kita sama-sama renungkan.

2. Sesudah mendahului pada minit pertama melalui Safee Sali, Pemain-pemain Malaysia nampak hilang fokus dan mula bersikap sambil lewa. Mudah hilang bola, mengasari lawan di kawasan-kawasan yang boleh mengancam kubu negara. Safiq Rahim dan Amar Rohidan tidak bermain seperti biasa, malah kegugupan Ismail Farouqi terserlah. Kegagalan menguasai bahagian tengah menjadi punca Singapura mudah menyalurkan bola kepada pemain-pemain sayap kelahiran China iaitu Qui Li dan Shia Jiyi.

3. Keputusan Datuk k Rajagobal menamakan Ismail farouqi dan Ahmad Fakri di dalam kesebelasan utama terbukti kesilapan besar. Selain formasi yang baru, posisi sayap kanan yang diberi kepada Ahmad Fakri tidak berkesan langsung. Ismail farouqi yang baru mendapat kemunculan pertama untuk pasukan kebangsaan gagal menyesuaikan diri dengan suasana bolasepak antarabangsa.

4. Persembahan hambar penjaga gol Sharbinee juga perlu diberi perhatian serius oleh Datuk K Rajagobal. 3 gol pertama yang dilepaskan telah memperlihatkan kurangnya percubaan beliau untuk sekurang-kurangya melayangkan badan bagi menepis bola. Sekiranya khairul Fahmi masih cedera, saya cadangkan agar Nasril Nourdin diturunkan untuk perlawanan kedua di Bukit Jalil nanti.

5. Gandingan pertahanan tengah Muslim Ahmad serta Fadhli Shas mula meragukan saya. Sejak memenangi piala AFF disember lalu, mereka telah membina reputasi sebagai pasangan pertahanan yang mantap dan efektif. Namun, seperti pemain bolasepak biasa yang lain, mereka juga akan melalui pasang surut dari segi persembahan. Mungkin ramai yang lupa mereka baru berumur awal 20 an, tetapi 'expectation' yang tinggi oleh peminat mungkin memberi tekanan kepada mereka. Mungkin Datuk rajagobal perlu mengkaji semula posisi ini agar tidak menjadi terlalu automatik kepada pemain tertentu.

6. Walaupun persembahan yang kurang memberangsangkan, namun dari segi positif, kita telah berjaya mendapatkan 3 gol ditempat lawan. Oleh itu, kita perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 di Bukit Jalil nanti. Saya berpendapat kita perlu perbaiki mutu bertahan dan mencari gol awal untuk mengurangkan tekanan.

7. Saya berharap pemain-pemain dan penyokong tidak berputus asa. Kita masih ada tugas yang perlu diselesaikan di Bukit Jalil Khamis ini. Dan tak mustahil, tugas tersebut boleh diselesaikan..insya Allah.  TANAH TUMPAHNYA DARAHKU!!

Friday, July 22, 2011

Perlawanan dengan Singapura ibarat sebuah perlawanan akhir

1. Ramai yang semakin bercakap tentang perlawanan kelayakan pusingan ke dua Piala Dunia di antara Singapura dan Malaysia di Stadium Jalan besar esok.

2. Turun sebagai juara asia tenggara, Malaysia dianggap sebagai pilihan untuk pertemuan kali ini. Namun, bagi saya, Singapura tidak boleh dipandang remeh oleh barisan muda negara. Mereka adalah pasukan yang sudah lama bermain bersama dan dibawah jurulatih yang berpengalaman.

3. Kepada pemain dan penyokong, perlawanan ini sangat bermakna kerana ia membabitkan rasa maruah serta soal patriotisme. Setelah lama bolasepak Malaysia mengalami kemerosotan, senario terkini menggambarkan kebangkitan semula bolasepak Malaysia. Dulu Singapura boleh berbangga dengan pemain importnya, namun kini Malaysia boleh berbangga dengan produk muda tempatan yang terbukti berbakat.

4. Maka bagi setiap pemain yang terpilih esok, berbanggalah kerana kamu adalah anak Malaysia yang terpilih untuk mengepalai panji 'HARIMAU MALAYA' bagi membaham seteru lama, sang singa. Jangan peduli kata-kata media lawan, tumpukan perhatian terhadap perlawanan seperti mana amukan harimau di Jakarta disember lalu.

5. Ini adalah saat terbaik untuk kamu wahai anak-anak Malaysia. Saat terbaik untuk berbakti kepada tanah tumpahnya darah yang tercinta. Biarkan mereka kenang amukan harimau malaya di Singapura pada 23 Julai 2011 sebagai igauan yang tak dapat dilupakan sampai bila-bila.

Wednesday, July 20, 2011

K Gurusamy boleh jadi penentu pertarungan bahagian tengah

1. Menjelang pertemuan yang dinanti-nantikan dengan Singapura sabtu ini, saya ramalkan pertarungan sengit bakal berlegar di kawasan tengah padang.

2. Saya dimaklumkan Singapura gemar bermain dengan hanya seorang penyerang tunggal, ini bermakna mereka akan dibarisi 5 orang pemain tengah yang bersedia untuk menyerang mahupun bertahan.

3. Dengan barisan pemain yang telah diumumkan petang tadi, saya berpendapat kita harus memperketatkan bahagian tengah pasukan negara. Walaupun Datuk K Rajagobal gemar dengan formasi 4-4-2 sejak dulu lagi, tapi saya berharap untuk perlawanan pertama di Jalan besar beliau perlu lakukan sedikit perubahan.

4. Saya terkilan dengan ketiadaan Shakir Shaari, namun saya percaya Amar rohidan mampu memikul tanggungjawab apatahlagi beliau cukup berpengalaman di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun, ramai yang terlupa bahawa kita juga mempunyai seorang pemain tengah yang sangat efektif, iaitu K Gurusamy.

5. Terbukti berkesan ketika memenangi pingat emas sukan SEA, juga menjalankan tugas dengan baik ketika mengekang Lebanon baru-baru ini, saya percaya K Gurusamy memang sesuai untuk memegang peranan sebagai 'destroyer' atau perampas bola di tengah padang.


6. Secara peribadi, saya anggap beliau sebagai pelengkap kepada Safiq rahim di bahagian tengah yang mana Safiq lebih berkesan sebagai 'attacking midfielder'. Kini terserah kepada Datuk K Rajagobal samada untuk menurunkan Amar ataupun Gurusamy. Percayalah, sekiranya Gurusamy diturunkan, pasti bahagian tengah lebih mantap dan bertenaga.

7. Apapun, selamat berjuang wahai harimau!

Tuesday, July 19, 2011

Safiq Rahim wajar berhijrah ke Liga di luar negara

1. Pada ketika pasukan negara memperagakan aksi tidak konsisten, namun saya dapati kapten pasukan Safiq rahim telah berjaya memimpin pasukan dengan berkesan.

2. Beliau dilihat bekerja keras untuk menggerakkan jentera tengah serta sering menegur rakan yang kurang berfungsi dengan baik.

3. Komitmen serta iltizam yang tinggi ini wajar dicontohi pemain lain. Dalam masa yang sama, saya berpendapat Safiq kini mempunyai kualiti untuk bermain di luar negara.

4. Pada usia 24 tahun, merupakan usia yang sesuai untuk mengembara dan menambah pengalaman di perantauan. Liga Jepun, Korea, Australia, dan mana-mana liga di eropah sepatutnya menjadi destinasi untuk Safiq selepas ini.

5. Keupayaan beliau membantu negara memenangi emas sukan SEA, Piala AFF dan beberapa jaringan penting untuk skuad negara telah membuktikan keupayaan beliau dari segi teknikal. Saya berharap ada agen dari luar negara sudi membantu Safiq mencari kontrak profesional yang sesuai untuk beliau demi mengembangkan bakat yang ada.

6. Saya doakan semoga Safiq dan rakan-rakan terus bermain dengan cemerlang untuk skuad Harimau. Tanah tumpahnya darahku!

Monday, July 18, 2011

Pentingnya penguasaan bola di era bolasepak moden

1. Saya harus tegaskan sekali lagi isu ini, aspek teknikal yang perlu dikuasai pemain-pemain bolasepak di Malaysia.

2. Saya perhatikan anak-anak muda kita kurang sabar ketika mengatur serangan, kerapkali mengambil jalan mudah menghantar bola jauh (long ball) yang mana kebarangkalian untuk sampai tepat ke sasaran adalah rendah.

3. Bermula dari sekolah rendah, sekolah menengah hinggalah ke akademi bolasepak, anak-anak muda harus di didik untuk merasa selesa mengawal bola di kaki. kawalan dekat (close control) adalah intipati keyakinan seseorang pemain bolasepak.

4. Sesudah menguasai kawalan bola dekat ini, pemain harus berfikir untuk bergerak secara berkumpulan. bermain sebagai satu pasukan. Dari penjaga gol hinggalah ke penyerang. Yang memiliki bola harus bermain pantas menggerakkan bola kepada rakan sepasukan, manakala yang tidak memiliki bola (off the ball) harus membebaskan diri dari kawalan lawan dan mencipta ruang kosong bagi memudahkan kawan yang memiliki bola tadi untuk memberi bola kepadanya.

5. Sudah ada tanda-tanda pemain kebangsaan kini berkeyakinan untuk mengawal, menggelecek serta bermain satu dua di tengah padang. Cuma yang perlu dipertingkatkan lagi adalah, mereka perlu yakin dengan kemampuan diri sendiri dan tidak membuang bola dengan mudah.

6. Safiq rahim serta Amar Rohidan (ataupun Shakir Shaari) perlu menguasai bahagian tengah dengan lebih kemas, serta dibantu Norsharul Idlan yang kerap turun ke bawah untuk mengambil bola. Bagi saya, pasukan yang menguasai kawalan bola (ball possesion) yang lebih akan memiliki peluang yang lebih cerah untuk menjaringkan gol lantas memenangi perlawanan.

Sunday, July 17, 2011

Harimau perlu perbaiki disiplin taktikal

1. Setelah meneliti dua perlawanan Malaysia menentang 'penjajah' baru-baru ini, saya rumuskan satu perkara penting. DISIPLIN TAKTIKAL.

2. Kita memang maklum walaupun pasukan penjajah tidak bermain di tahap 100% dari segi komitmen dan kecergasan namun kebanyakan gol yang dilepaskan adalah berpunca dari kelalaian pasukan Malaysia sendiri.

3. Pada perlawanan sabtu lalu, setelah mengikat lawan menerusi sepakan percuma taraf dunia kapten Safiq Rahim, Malaysia kembali lalai di separuh masa kedua hingga membenarkan pasukan penjajah mendahului 1-4. Gol-gol yang dilepaskan berpunca dari longgarnya disiplin bahagian tengah dan pertahanan. Kita kerap hilang bola dengan mudah, tiada komunikasi antara pemain, 'marking' atau kawalan yang longgar apabila bola di kaki lawan.

4. Kita perlu belajar bagaimana pasukan penjajah ini mampu mengawal penguasaan bola (possesion) serta gerakan-gerakan berpasukan yang mampu menembusi kubu lawan dengan mudah.

5. Menjelang perlawanan sabtu ini menentang Singapura, saya harap Datuk Rajagobal memperkemaskan penguasaan bola, bertahan secara unit, dan meminimakan kesilapan di bahagian pertahanan. Mereka harus segera fokus kepada perlawanan 23 haribulan ini...Tanah Tumpahnya Darahku!!!

Thursday, July 14, 2011

Kapitalisme dan penjajahan kuasa barat.

1. Saya rasa terpanggil untuk berbicara tentang realiti ekonomi pada hari ini. Ekonomi, lanskap sosial global pada hari ini. Hujah-hujah yang akan saya utarakan sebentar nanti sangat berkait rapat dengan bolasepak kita. Maka sama-sama kita renungkan...

2. Jika kita singkap semula ke sejarah negara kita, ada satu sebab utama mengapa penjajah Portugal, Belanda, Jepun dan British sanggup mengembara beribu-ribu batu jauhnya  untuk datang ke sini. Ya, mereka datang ke tanah kita untuk mengaut keuntungan komersial. Dahulunya Malaya kaya dengan sumber bijih besi dan rempah. Maka dengan dua komoditi utama ini telah menarik minat samseng-samseng kapitalis untuk merampas dan menambah kekayaan mereka. Maka berlakulah penjajahan secara fizikal sehingga 31 Ogos 1957.

3. Apa itu kapitalis? Definasinya banyak serta berbeza-beza mengikut pandangan pakar-pakar ekonomi. Biar saya gambarkan dengan bahasa mudah, KAPITALIS adalah golongan minoriti di negara-negara barat yang mempunyai sumber modal/kewangan yang banyak, bersikap 'opportunis' (mengambil kesempatan), menguasai perusahaan utama, berpendirian bahawa keuntungan perlu dimaksimakan dan dalam masa yang sama kos perlu dikurangkan dengan apa cara sekalipun (tenaga pekerja menjadi mangsa manupilasi golongan KAPITALIS) dan yang paling jelas, mereka beranggapan kekayaan itu milik mutlak mereka tanpa mempedulikan ketidakseimbangan pendapatan golongan miskin. Di dalam sistem KAPITALIS, yang kaya akan menjadi semakin kaya, manakala yang miskin tidak terbela.

4. Begitulah juga sikap para penjajah yang saya sebutkan tadi. Mereka datang ke tanah kita dan memanupilasi tenaga kerja rakyat tempatan, memerah keringat datuk moyang kita, menghisap segala kekayaan sumber bumi negara kita, tapi apa yang tinggal selepas 31 Ogos 1957, adalah kemiskinan tegar rakyat Malaya ketika itu.

5. Bulan ini, Malaysia dilanda demam EPL (English Premier League) walaupun liga berkenaan belum lagi berlangsung. Bagaimanapun, seperti musim-musim sebelumnya, setiap pasukan yang bertanding akan menjalani sesi latihan pra-musim. 'Branding' atau penjenamaan liga tersebut sangat kuat pengaruhnya dewasa ini. Hampir setiap negara di pelusuk dunia mengenali apa dia liga tersebut. Struktur organisasi liga tersebut sangat kukuh hingga mereka mampu menjana berbilion pound setahun. Malah, mereka berjaya menarik minat pelabur untuk menanam saham mereka dengan beberapa kelab di liga berkenaan.

6. Saya anggap kehadiran 3 kelab bolasepak Inggeris ke Malaysia ini sama dengan perangai lama datuk moyang mereka. Atas nama latihan pra-musim, mereka hadir ke sini untuk memasarkan produk mereka, jenama mereka dan di atas padang, mempamerkan kemahiran bolasepak mereka yang menjadi idola kepada ribuan kanak-kanak. Melalui bolasepak, kuasa barat kembali lagi ke bumi Malaya untuk meluaskan kuasa KAPITALISME mereka.



7. Bagi mereka yang melanggan stesen TV berbayar, setiap bulan kita akan membayar bil -> Stesen TV berbayar akan membayar ESPN atau mana-mana syarikat yang memegang hak penyiaran. -> ESPN atau syarikat pemegang hak penyiaran akan membayar kepada EPL selaku penganjur liga. -> EPL selaku pengajur liga akan membayar wang hak penyiaran TV kepada semua kelab yang bertanding di liga berkenaan. Kesimpulannya, anda serta ribuan warga asia yang melanggan TV berbayarlah yang telah menyumbang kepada kekayaan liga Inggeris tersebut.

8. Strategi pemasaran yang berkesan ini telah menyebabkan kita di Malaysia lebih gemar menyokong bolasepak Inggeris berbanding bolasepak tempatan. Memang benar skill mereka jauh lebih baik berbanding pemain kita, namun apa yang saya mahu tegaskan di sini, sudah sampai masanya untuk kita salurkan wang kita ke arah pembangunan bolasepak tempatan.

9. Dari segi teknikal, jika mahu mengadakan perlawanan persahabatan untuk skuad kebangsaan, lebih elok untuk Malaysia diuji dengan sebuah pasukan kebangsaan negara lain dan bukannya pasukan kelab. Jika benar penganjur ingin membawa pasukan ini ke Malaysia lagi, maka aturkanlah perlawanan persahabatan menentang juara liga Super iaitu pasukan negeri atau kelab.

Sunday, July 10, 2011

Analisa juara Liga Super Malaysia 2011: Kelantan

1.Saya ucapkan tahniah kepada KAFA kerana akhirnya pasukan Kelantan berjaya menjuarai Liga Super Malaysia. Saya telah ikuti perkembangan pasukan ini beberapa tahun kebelakangan ini, dan kejuaraan yang dikecapi ini tidak mengejutkan saya.

2. Ada 2 faktor utama kejayaan pasukan kelantan. (i) Pengurusan KAFA yang berdaya maju serta profesional. (ii) Penyokong setia Kelantan iaitu The Red Warriors.



3. (i) Pengurusan KAFA yang berdaya maju serta profesional. Sejak Tan Sri Annuar Musa mengambil alih KAFA sekitar 2007, saya dapat lihat banyak perubahan positif yang dialami KAFA. Yang paling saya ingat, Tan Sri telah membawa beberapa pemain berkualiti untuk memperkuatkan cabaran Kelantan. Indra Putra mahyuddin, Khalid Jamlus serta Norfarhan telah dibawa ke Kota Bharu dan ini adalah isyarat jelas Tan Sri selaku presiden mahu Kelantan bangkit untuk bersaing dengan serius.

4. Saya juga dimaklumkan bahawa kebajikan pemain dijaga dengan baik. Gaji yang lumayan, pelbagai bonus dan insentif diperkenalkan. Begitu juga dengan penubuhan akademi bolasepak the red warriors atau ARMY. KAFA telah menjalin kerjasama dengan pelbagai syarikat melalui penajaan. Pendekatan Tan Sri yang 'business friendly' telah menarik rakan niaga yang lain untuk menaja KAFA. Kita boleh lihat nama-nama komersial seperti 'Happy', 'Alhamra', 'Yusmira' dan 'Sinar' terpampang di jersi Kelantan.  Ini jelas memperlihatkan kesungguhan KAFA untuk menjadikan persatuan itu sebagai organisasi yang dinamik serta sesuai di jadikan contoh untuk diikuti oleh persatuan negeri yang lain.

5. (ii) Penyokong setia Kelantan iaitu The Red Warriors.  Faktor kedua pula adalah pemain ke 12, iaitu penyokong setia the red warriors. Kehadiran yang sentiasa penuh ketika Kelantan beraksi di Stadium Sultan Mohamad ke 4 serta rombongan ke gelanggang lawan telah membantu pasukan itu beraksi dengan baik. kehadiran yang ramai itu juga telah membantu menambah tabung KAFA. Jika 30,000 penonton memenuhi stadium itu, anggaran sebanyak RM 300,000.00 secara kasar diperolehi KAFA setiap kali perlawanan diadakan di Kota Bharu. Sumbangan dari segi kewangan dan sokongan moral terbukti membantu Kelantan sepanjang musim ini sehingga bergelar juara.

6. Dari segi teknikal pula, pasukan yang telah memenangi Piala Malaysia pada tahun lepas, mempunyai 'foundation' atau tulang belakang yang baik untuk diasah sehingga dapat menyerlahkan persembahan maksimum. Dari B Sathianathan hingga ke Datuk M. Karathu, barisan kejurulatihan yang berpengalaman juga dilihat antara faktor kebangkitan Kelantan. barisan pemain yang berdisiplin serta berbakat, dari khairul Fahmi Che mat hingga Norshahrul Idlan Talaha mahupun barisan pemain simpanan seperti Nizad Ayub, Faris Daniel dan Rizal Fahmi.

7. Semoga mereka akan meneruskan kecemerlangan di peringkat domestik serta asia seperti piala AFC tahun depan. Saya juga berharap pasukan Kelantan terus dapat menghasilkan pemain-pemain yang berkualiti lantas dapat membantu pasukan kebangsaan mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

Thursday, July 7, 2011

Kelayakan Olimpik: Malaysia beruntung diundi bersama Jepun

1. Saya memang sudah lama mengharapkan pasukan olimpik Malaysia untuk diundi bersama satu kumpulan dengan gergasi bolasepak asia, Jepun.

2. Setelah undian diadakan petang tadi di rumah AFC, Malaysia diletakkan di dalam kumpulan C bersama-sama Jepun, Syria dan Bahrain.

3. Ada satu sebab mengapa saya anggap peluang diundi bersama pasukan Jepun sebagai rahmat. Sebab utama adalah untuk karier pemain-pemain Harimau Muda itu sendiri. Jika dilihat perlawanan pembukaan kumpulan ini, Malaysia akan memulakan kempen menentang Jepun di halaman mereka sendiri September ini.

4. Peluang bermain menentang Jepun akan menyajikan pentas terbaik untuk pemain muda mempamer kemampuan mereka di tahap yang tinggi. Sudah tentu setiap perlawanan yang membabitkan pasukan Jepun akan diikuti oleh setiap ahli komuniti bolasepak di negara berkenaan. Dalam hal ini, tidak berkecuali golongan 'scout' atau pencari bakat yang mewakili kelab-kelab utama J League.

5. Jika Malaysia mampu mengejutkan Jepun di halaman mereka sendiri, juga konsisten di semua 6 perlawanan kumpulan C, maka peluang pemain muda negara untuk memikat kelab-kelab utama Jepun menjadi semakin cerah. Mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh dan kerah setiap kemahiran yang ada untuk 6 perlawanan penting ini.

6. Jika Pemain muda negara ingin mengembangkan karier mereka dalam bolasepak, mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengejar kontrak profesional kelab bolasepak di Liga yang berkualiti seperti J League.

Sunday, July 3, 2011

Walaupun terluka, Harimau tetap mara ke pusingan kedua

1. Disember tahun lalu, walaupun tewas di tangan Indonesia 2-1 di jakarta, namun pasukan negara berjaya merangkul piala AFF hasil kelebihan agregat. Skrip yang hampir serupa berlaku sekali lagi sebentar tadi di Taipei.

2. Pasukan negara tewas 3-2 di tangan Chinese Taipei namun mara ke pusingan kedua hasil kelebihan jaringan di tempat lawan. Malaysia menang 2-1 rabu lalu di Bukit Jalil. Agregat 4-4 menunjukkan juara asia tenggara itu terpaksa bertungkus lumus menahan asakan pasukan yang dianggap bukan kuasa bolasepak benua asia.

3. Seperti tulisan saya sebelum ini, saya telah menjangkakan pasukan Malaysia sering didedahkan kelemahan mereka ketika bertahan. Pasukan kita tidak mempunyai masalah untuk mencipta gerakan, mampu membuat hantaran yang kemas, mampu menggerakkan pemain-pemain sayap untuk membuat larian penting ke kubu lawan, namun sekali lagi kita didedahkan oleh Chinese Taipei bahawa pasukan Malaysia agak 'lightweight' atau longgar ketika bola di kaki lawan.

4. Saya pernah mencadangkan supaya formasi diubah sedikit bagi mengekang pasukan lawan dari mendominasi bahagian tengah, namun Datuk K rajagobal tetap menggunakan formasi tradisional 4-4-2. Sistem yang beliau guna sejak sekian lama kadangkala boleh mengundang padah sekiranya tidak ada sebarang peningkatan atau 'improvement' yang diambil.

5. Jika kita bandingkan dengan skuad olimpik bimbingan Ong Kim Swee, mereka meletakkan 2 orang holding midfielder iaitu Gurusamy dan Gary Steven Robbart. Di sini, saya mengganggap OKS lebih realistik berbanding Datuk Raja yang mana OKS akan merangka strategi bergantung kepada jenis lawan yang akan dihadapinya.

6. Gandingan Safiq rahim dan Amar Rohidan memang terbukti berkesan di peringkat asia tenggara, tetapi apabila Malaysia bertemu lawan yang tidak diketahui kekuatannya, maka gandingan ini akan terdedah dengan asakan bertali arus pihak lawan. Soalnya, adakah gandingan Safiq-Amar masih kukuh untuk berdepan Singapura di pusingan kedua kelak?

7. Impak bahagian tengah yang longgar adalah, bahagian pertahanan akan kerap menerima asakan lawan. Tekanan yang bertali arus akan memaksa bahagian pertahanan membuat kesilapan lantas dihukum oleh jaringan-jaringan yang berjaya dicipta pasukan lawan. Perkara ini terbukti telah berlaku malam ini apabila barisan pertahanan memberi 3 sepakan penalti kepada Chinese Taipei. Kesilapan ini akibat daripada kelonggaran bahagian tengah menguasai persaingan bola, posession malah tiada 'tackling' yang berkesan bagi mengekang jentera lawan.

8. Saya enggan menyalahkan mana-mana pemain terhadap gagalnya kita mempersembahkan permainan sebagai juara asia tenggara, tetapi saya lihat perlunya datuk Raja merubah formasi dan pemain yang sesuai mengikut keperluan sesuatu perlawanan. Kita juga agak longgar bila berdepan serangan bola tinggi, seperti mana gol pertama Chinese Taipei di babak pertama.

9. Untuk perlawanan peringkat kedua 23 dan 28 julai nanti, saya berharap pasukan kebangsaan dapat memperbaiki kelemahan yang ada serta mempertingkatkan kualiti kerja berpasukan. Peluang-peluang yang diperolehi hendaklah diterjemahkan ke gawang lawan dengan berkesan. Walaupun harimau terluka di Taipei, namun saya percaya mereka mampu lakukan dengan lebih baik ketika bertemu seteru lama, sang singa. TANAH TUMPAHNYA DARAHKU!!

Saturday, July 2, 2011

Jika ingin berhijrah ke Indonesia, sertailah Persipura Jayapura.

1. Saya sempat terbaca beberapa khabar angin yang mengaitkan pemain-pemain Malaysia (tak perlu disebut namanya) berminat untuk berhijrah ke Liga Super Indonesia.

2. Saya telah membaca dan meneliti beberapa aspek di Liga berkenaan, walaupun ianya tidak sesempurna liga J, Liga K ataupun Liga Australia, namun secara keseluruhannya LSI memang ada kelebihan berbanding Liga Super Malaysia.

3. Saya mula mengikuti LSI sejak penyerang kebangsaan Safee Sali menyertai Pelita Jaya Februari lalu. Saya juga kagum dengan kemampuan Safee dan rakan-rakan berjuang sehingga berjaya menyelamatkan Pelita Jaya dari zon penyingkiran.

4. Walaupun saya adalah penyokong setia Liga Super Malaysia, namun saya juga menghormati dan mengagumi tahap kompetitif LSI. Saya tidak perlu menjelaskan secara terperinci aspek-aspek yang membuatkan LSI lebih kompetitif berbanding MSL, namun secara ringkas saya boleh simpulkan bahawa tidak rugi jika pemain Malaysia mencuba nasib di LSI.

5. Saya juga menyokong mana-mana pemain kebangsaan Malaysia untuk berhijrah ke Liga di luar negara, terutama liga yang kompetitif. Ini kerana berhijrah ke luar negara boleh membantu seseorang pemain untuk mempertingkatkan kualiti permainan di samping menambah pengalaman. Secara peribadi, jika ada pemain Malaysia lain yang akan berhijrah ke LSI, saya harap mereka akan berhijrah ke Persipura Jayapura.


6. Persipura Jayapura adalah sebuah kelab LSI yang berpengkalan di kota jayapura, di wilayah Papua. Musim ini mereka berjaya menjuarai LSI dan bakal beraksi di Liga Juara-Juara Asia. (AFC Champions League) musim hadapan. Oleh itu saya berharap pemain Malaysia dapat memikat juara LSI ini dan menyertai mereka untuk aksi musim depan.

7. Pasukan ini telah terbukti berkualiti, ketika ini sedang berentap di peringkat separuh akhir piala AFC (Pertandingan yang telah di abaikan oleh pasukan dari Malaysia). Mereka berpeluang untuk mencipta kemenangan berganda untuk musim ini.

8. Peluang untuk bermain di LSI dan Liga juara Asia telah menyajikan prospek yang sangat besar, sebagai karier dan juga pengalaman bagi mana-mana pemain profesional bolasepak. Oleh itu, jika ada pemain Malaysia yang ingin berhijrah ke Indonesia, maka pilihlah Persipura Jayapura sebagai destinasi anda, kerana kelab ini sedang menuju ke era kegemilangan.

Thursday, June 30, 2011

Skuad Harimau boleh menang di Taipei jika...

1. Rata-rata peminat bolasepak tempatan tidak berpuashati dengan persembahan pasukan kebangsaan ketika mengalahkan Chinese Taipei semalam di Bukit Jalil.

2. Pada 20 minit pertama pasukan negara nampak tidak serasi malah kurang selesa mengawal bola. Pasukan pelawat memperolehi 2 peluang melalui percubaan ke gawang Sharbinee. Di barisan depan, Safee Sali nampak masih kurang cergas sepenuhnya dan pergerakan beliau sangat terbatas.

3. Bagaimanapun, saya rumuskan secara keseluruhan bahawa kehambaran pasukan negara disebabkan beberapa sebab. (1) Pemilihan pemain yang tidak tepat. Pemain bek kanan Helmi nampak tenggelam dengan arus permainan di peringkat antarabangsa. Badrol Bakhtiar serba tidak menjadi malah saya fikir dia wajar diletak di bangku simpanan di Taipei nanti. Safee Sali tidak sepatutnya diturunkan kerana tercedera ketika sesi latihan terakhir.

4. Sebab kedua (2), 'complacency' atau sikap sambil lewa sesudah mendahului 2-0. Jaringan tunggal lawan diperolehi hasil daripada lontaran ke dalam, beberapa pemain lawan tidak di kawal maka mereka bebas melakukan pergerakan ke dalam kotak penalti. Begitu juga beberapa peluang yang lain diperolehi Chinese taipei hampir-hampir dapat menambah jaringan.

5. Kita perlu memandang ke depan. Pada hari ahad nanti, disarankan pasukan negara melakukan beberapa perubahan supaya kita dapat mengimbangi pasukan lawan lantas mengukuhkan cengkaman untuk mara ke pusingan seterusnya.

6. Saya cadangkan formasi 4-2-3-1. Sharbinee, Mahali, Muslim, fadhli, Asra, Guru, Shakir, Safiq, Kunanlan, Chanturu, Hadi.

7. Saya jangka Chinese Taipei akan menyerang untuk sekurang-kurangnya mendapat satu gol. 1-0 sudah cukup membawa mereka pusingan seterusnya. Oleh itu saya cadangkan Malaysia meletakkan 2 orang 'holding' midfielder (Guru dan Shakir) untuk menguasai bahagian tengah. Beri Safiq tugasan khas atau 'free role' yang membenarkan beliau lebih banyak membantu gerakan serangan.

8. Letak kunanlan di sayap kiri dan Chanturu di sayap kanan. Kedua-dua pemain sayap ini mempunyai stamina yang bagus untuk melakukan larian di sebelah kiri dan kanan, malah mereka mampu berlari turun dan naik sepanjang 90 minit. kepantasan mereka adalah aset utama kita.

9. Sekiranya Norsharul dan Safee masih belum cergas, maka pilihan penyerang terbatas kepada hadi Yahya. Bagaimanapun, saya yakin beliau mampu meledakkan sekurang-kurangnya satu gol.

10. Saya berdoa pasukan negara mampu mengimbangi permainan lawan, malah mampu juga mendapatkan gol di tempat lawan. TANAH TUMPAHNYA DARAHKU!!

Thursday, June 23, 2011

Malaysia kembali ke peta bolasepak Asia

1. Saya sudah menjangkakan sesuatu yang positif mampu dicapai oleh skuad Ong Kim Swee malam ini. Seperti tulisan saya sebelum ini, skuad Harimau Muda telah bermain dengan keyakinan yang tinggi malah Lebanon bernasib baik untuk tidak kecundang di Beirut.

2. Walaupun kita maklum kebanyakan pasukan dari timur tengah mempunyai kelebihan dari segi kemahiran teknikal individu, namun formula Ong Kim Swee yang bijak memaksimumkan kemahuan pemain untuk bekerja sebagai satu unit telah membuahkan hasil.

3. Jaringan Irfan Fazail seawal minit ke sembilan membuktikan kesungguhan Malaysia untuk memburu tempat ke kelompok 12 terbaik asia sebelum menentukan perhitungan di peringkat seterusnya. Begitu juga jaringan Wan Zack Haikal yang saya anggap telah memeranjatkan pasukan Lebanon.

4. Hanya kad kuning kedua Gary Steven Robbart agak menggusarkan saya, kerana kedua-dua 'foul' yang beliau lakukan adalah kerana kesilapan beliau sendiri. Harapan saya agar Gary belajar dari kesilapan ini. Bagaimanapun, Gary adalah pemain yang berkualiti, dan saya percaya beliau layak untuk bermain di eropah kerana permainan beliau mirip Claude Makalele.

5. Tahniah kepada skuad Harimau Muda, anda layak untuk diberi ruang berpesta sehari dua ini, tetapi Ong Kim Swee harus memikirkan strategi untuk pusingan seterusnya dimana undian akan dilakukan 7 Julai ini. Tahniah dan teruskan usaha anda.

Monday, June 20, 2011

Harimau Muda mampu baham lebanon

1. Melihat kepada aksi anak buah ong Kim Swee semalam, ternyata peluang kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama rata untuk mara ke peringkat yang seterusnya. Malaysia berjaya menyaingi Lebanon yang mempunyai kelebihan fizikal.

2. Bermula dengan agak gemuruh, bagaimanapun skuad muda negara berjaya bermain mengikut rentak sendiri dan keyakinan itu meningkat setelah beberapa hantaran kemas berjaya disempurnakan. Lebih menarik, penyerang negara Izzaq faris berjaya mengatasi pertahanan Lebanon setiap kali bersaing untuk bola hantaran jauh dan tinggi.

3. Pemain-pemain negara telah berjaya melepaskan lebih kurang 5 percubaan tepat ke gawang Lebanon, tidak termasuk peluang yang dimiliki oleh Wan ZaharulNizam yang agak lambat melepaskan rembatan meskipun tinggal hanya berdepan penjaga gol Lebanon.

4. Saya rumuskan kemampuan Malaysia menyaingi Lebanon semalam disebabkan oleh keputusan bijak Ong Kim Swee meletakkan 2 holding midfielder iaitu Gary Steven Robbart dan Gurusamy. Ini membolehkan seorang lagi pemain tengah iaitu Irfan fazail bergerak bebas sebagai pemain tengah menyerang (attacking Midfielder) dan membuka ruang buat Izzaq faris.

5. Saya anggap perlawanan kedua di Bukit Jalil Khamis ini sebagai 'final' yang perlu diberi perhatian yang serius oleh Ong Kim Swee. Kelemahan utama pasukan lebanon adalah di bahagian pertahanan kiri dan kanan. Ini terbukti apabila pemain-pemain sayap negara beberapa kali berjaya menembusi pertahanan mereka melalui bahagian yang disebut tadi.

6. Saya menyeru semua penyokong pasukan harimau malaya untuk turun ke Bukit Jalil Khamis ini dan beri sokongan tak berbelah bagi kepada pasukan negara. Tanah tumpahnya darahku...

Saturday, June 18, 2011

Baddrol Bakhtiar kembali di pentas antarabangsa

1. Pemain ini saya anggap punya kelebihan dari segi kreativiti, skil menggelecek serta ketajaman rembatan dari kedua belah kakinya. Secara 'natural' nya, kekuatan beliau adalah di sebelah kaki kanan, tetapi beliau juga mampu menghasilkan jaringan menggunakan kaki kiri.

2. Seperti yang pernah beliau pamer ketika membantu Malaysia memenangi pingat emas sukan SEA 2009, kini sudah ada tanda-tanda beliau akan kembali sebagai watak utama didalam skuad utama Datuk K Rajagobal.

3. Datuk k Rajagobal nampaknya sudah memiliki ramuan serta skuad yang difikirkan dapat memberi saingan ke atas Taiwan menjelang pusingan kelayakan piala dunia tidak lama lagi.

4. Kehadiran Baddrol memberi pilihan kepada datuk Rajagobal dalam memilih taktik yang berlainan bagi setiap perlawanan serta menghadapi lawan yang berbeza.

Wednesday, June 15, 2011

Perangi rasuah dan 'match fixing'

1. Saya anggap masalah ini adalah yang paling utama untuk diatasi. Ia seumpama berperang dengan syaitan. Kita boleh bina pasukan dari seawal 6 tahun, kita boleh bina stadium yang bertaraf dunia, kita boleh anjur Liga profesional, tapi kita sukar untuk mengharungi pertarungan dengan 'NAFSU'.


2. Bookie atau sindiket mengatur perlawanan telah lama wujud dan mereka kini sedang kembali aktif menjajah pemain tempatan untuk mengaut keuntungan haram menerusi aktiviti rasuah. Terbaru, semakin banyak pendedahan terhadap sindiket ini yang memberi rasuah kepada pemain-pemain muda di piala presiden (Equivalent to reserve league)

3. Persatuan bolasepak Negeri seharusnya mengetatkan pemantauan terhadap semua pegawai serta pemain yang berada di bawah tanggungannya. Pemantauan yang ketat seperti sesi audit dalaman seharusnya diperkenalkan kepada semua staf dan pemain.

4. Gaji pemain skuad utama dan skuad piala presiden hendaklah berpatutan supaya pemain tidak mudah 'dipancing' oleh pemberi rasuah. Gaji minimum pemain muda dicadangkan sebanyak RM 4,000.00, serta kontrak selama 2 tahun.

5. Khidmat kaunseling perlu disediakan sekiranya pemain berdepan masalah kewangan atau masalah lain. Ini bagi membantu pemain mencari jalan keluar dan tidak mudah mencari sumber yang haram.

6. Pegawai serta pemain hendaklah berfikir panjang sebelum terlibat dengan sindiket haram ini, kerana rasuah boleh menjadi barah. Sekiranya tidak ada kesedaran, maka terkuburlah harapan bolasepak kita untuk pergi lebih jauh. Fikirkanlah.

Saturday, June 11, 2011

Final piala FA: Pastikan kualiti bolasepak mengatasi sorak penonton

1. Saya sudah lama tunggu perlawanan 'east coast derby' ini antara Kelantan dan terengganu. Saya berpendapat Kelantan punya kelebihan kerana mereka kerap ke final 2, 3 tahun kebelakangan ini.

2. Terengganu pula kini berada dalam keadaan off form setelah dua kekalahan berturut-turut di liga Super iaitu kepada Kedah dan Kelantan. Saya jangka kehadiran ramai penyokong dari kedua-dua negeri yang mahu pasukan mereka memenangi final terakhir untuk piala FA edisi kali ini. Mulai tahun depan, piala FA baru akan menggantikan piala yang digunakan sejak tujuh edisi lalu.

3. seperti mana-mana final di pertandingan domestik yang lalu, saya perhatikan ghairah sorak penyokong yang melebihi kualiti bolasepak yang dimainkan di atas padang. Jika anda tidak percaya, sila perhatikan malam nanti berapa banyak 'long ball' atau hantaran jauh yang sia-sia bakal dimainkan. Saya mahukan kualiti dari segi taktikal dan teknikal dipamerkan oleh kedua-dua pasukan.

4. Juga perhatikan malam nanti berapa banyak mercun di bakar serta penggunaan 'lazer' oleh penyokong. Saya harap tidak ada kejadian yang buruk berlaku malam ini.

5. Saya mahu pemain-pemain mengekalkan semangat kesukanan serta pamerkan mutu permainan bolasepak yang tinggi.

Tuesday, June 7, 2011

HARIMAU MUDA telan realiti pahit di Kemboja

1. Berdasarkan prestasi semasa Harimau Muda di saingan Liga Super telah meyakinkan saya bahawa skuad ini sekurang-kurangnya bakal mendominasi perlawanan persahabatan dengan pasukan utama kemboja. Bagaimanapun, penyakit lama bolasepak Malaysia berulang di Pnom Penh, Kemboja sebentar tadi.



2. Malaysia kali ini tampil dengan persembahan bersahaja, tidak kreatif malah kerap hilang bola di kawasan sendiri. Di awal 20 minit, tiada kelibat hantaran pendek yang kemas, kurang persefahaman di antara pemain serta tidak ada 'off the ball movement' yang dilakukan pemain lain bagi membuka ruang. Agak mengecewakan bagi sebuah pasukan yang sudah bersama sekian lama.

3. Gol pertama dan juga gol tunggal perlawanan diperolehi oleh pasukan tuan rumah, hasil hantaran lintang dari sebelah kanan mencari pemain sayap mereka di sebelah kiri. Bola itu berjaya menemui pemain yang disasarkan, serta mudah mengatasi Mahali Jasuli sebelum masuk ke kawasan penalti. Dia seterusnya mengelecek Muslim Ahmad dan melepaskan rembatan rendah menewaskan Khairul Fahmi Che mat. Gol yang sepatutnya boleh dielakkan oleh benteng yang menggunguli piala AFF.

4. Secara umum di separuh masa pertama, saya simpulkan persembahan 'below par' oleh skuad kendalian Ong Kim Swee. Mungkin ada sesuatu masalah disebalik penurunan persembahan mereka, saya harap apa pun masalah itu, hendaklah diselesaikan secepat mungkin.

5. Separuh masa kedua menyaksikan sedikit peningkatan dari segi tempo permainan Harimau Muda. Hujan lebat telah menyukarkan lagi usaha Malaysia kerana padang becak menggangu 'game plan' pasukan negara.

6. Izzaq Farris tidak mempunyai satu pun cubaan berbahaya ke kubu lawan. Wan Zack haikal tidak bermain seperti biasa, malah nampak keletihan. Fandi Othman gagal melakukan larian-larian yang boleh menggugat kubu lawan. Irfan fazail serta Gary Steven kerap kehilangan bola. Shukor mat jusoh pula tenggelam tidak memberi sebarang peranan. Walaupun setelah kemboja bermain dengan sepuluh orang, Malaysia masih gagal menembusi kubu tuan rumah.

7. Ong kim Swee perlu meneliti masalah ini dengan serius kerana pusingan kelayakan olimpik semakin hampir. Persembahan di kemboja amat mendukacitakan.

Wednesday, June 1, 2011

Satu lagi pintu ke eropah menunggu untuk di buka!

1. Saya berasa gembira campur berhati-hati apabila terbaca berita bahawa ahli perniagaan terkenal negara Dato Tony Fernandes mengesahkan bahawa beliau sedang membida kelab inggeris yang bakal tersingkir ke liga championship musim depan, West Ham United.



2. Gembira kerana jika beliau berjaya mengambil alih West Ham, pastinya peluang untuk anak-anak muda Malaysia yang berbakat boleh dibawa ke akademi West Ham di London dan diasuh untuk menjadi pemain yang berkaliber seperti Frank Lampard, Michael Carrick, Joe Cole, Rio Ferdinand dan ramai lagi.

3. Ada juga rasa berhati-hati, kerana bimbang bidaan ini tidak berjaya dan meranapkan harapan yang tinggi untuk melihat jenama Malaysia berdiri megah di kota London.

4. Perkembangan terkini seperti ini perlu di ikuti dengan serius oleh FAM dan juga mana-mana Persatuan bolasepak Negeri yang berhasrat untuk menghantar pemain mereka berguru di akademi West Ham United. Tahniah Dato Tony!!

Sunday, May 29, 2011

Akademi Bolasepak Yang perlu dicontohi: FC BARCELONA

1. Saya bukan peminat Barcelona mahupun Manchester United. Tapi saya tidak mahu ketinggalan untuk menyaksikan pertembungan dua pasukan ini di Wembley bagi merebut piala juara-juara eropah. Saya berniat untuk melihat 'peperangan taktikal' yang digunakan oleh kedua pengendali pasukan.

2. Seperti yang diduga, Barcelona tampil dengan 4-3-3 manakala United kali ini tidak mahu melakukan kesilapan yang sama pada tahun 2009, Sir Alex telah kembali ke formasi tradisi 4-4-2. Setelah melihat kesebelasan utama United yang menampilkan Michael Carrick bersama Ryan Giggs di bahagian tengah, itu adalah petunjuk jelas bahawa United bakal berdepan masalah.

3. Di kesebelasan barcelona pula, hanya Javier Mascherano sahaja yang bertindak di luar posisi kegemarannya, iaitu pertahanan tengah berganding bersama Gerard Pique. Manakala posisi yang lain, dihuni pemain-pemain lazim seperi Xavi, Iniesta, Pedro, Busquets, Messi dan Villa.

4. Ramai yang berkata, malah saya sempat bertanya kepada beberapa penyokong veteran United tentang punca kekalahan ini, rata-rata mereka beranggapan Barcelona layak dinobatkan sebagai juara. Berdasarkan bakat, persefahaman, tahap skill pemain, konsistensi, kebijaksanaan serta ketepatan (accuracy) secara keseluruhan meletakkan Barcelona berada di kelas yang berbeza.

5. Mengapa konsep bolasepak yang dibawa oleh barcelona ini sangat berjaya? saya akan huraikan untuk renungan kita di Malaysia ini, bersama. faktor utama kejayaan Barcelona 3 ke 4 musim kebelakangan ini adalah disebabkan:


6. Kejayaan struktur akademi bolasepak FC Barcelona. Bagi saya ini adalah jawapan tepat kepada semua pemilik kelab bolasepak, persatuan bolasepak negeri. Ini adalah struktur terbaik untuk mengukir kejayaan jangka masa panjang.  Akademi bolasepak yang di gelar 'La Masia' terletak berhampiran dengan stadium Nou Camp ini menyediakan suasana kondusif kepada para pelajar.

7. kesemua perbelanjaan di La Masia di tanggung sepenuhnya oleh kelab. Kos seperti makanan, bahan mengajar, gaji guru dan kemudahan infrastruktur latihan dibiayai sepenuhnya oleh FC Barcelona. Kepada semua Persatuan Bolasepak negeri di Malaysia, adakah kalian melihat dan mengkaji perkara ini?

8. Rutin pelajar setiap hari adalah, pergi ke sekolah setiap pagi dan pulang ke akademi pada 2 petang serta menjamu makan tengah hari. Latihan padang akan bermula 5pm hingga 6.30 pm. Begitu juga dengan kemudahan bilik komputer, bilik bacaan serta tuition di sebelah malam bagi mengulangkaji pelajaran.

9. Berbekalkan perancangan yang begitu rapi, tidak mustahil mereka mampu bermain secara kolektif, begitu yakin bermain hantaran pendek, bertukar-tukar posisi dengan cepat, kawalan bola yang begitu kemas dan bertahan secara berkumpulan. Disiplin tinggi seperti ini tidak mungkin dibina dalam sekelip mata. Konsep permainan ala barcelona hanya boleh dipupuk jika mempunyai sistem yang tersusun seperti di La masia.

10. Saya berdoa suatu hari nanti akan ada anak Malaysia yang layak memasuki La Masia dan beraksi untuk pasukan senior FC BARCELONA.

Friday, May 27, 2011

Trio penggempur terbaik di malaysia ketika ini (The most in form strike force)

1. Saya tidak mengambil kisah tentang mereka bertiga di awal musim. Tetapi kini, lain pula ceritanya. Gandingan mantap tiga penggempur serangkai Terengganu: Abdul hadi Yahya, Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Shamsudin kini mencuri perhatian saya.

1. Earlier in the season, they were left unnoticed and almost ignored by me. With 4 more games to play, it is now indeed a very different ball game. The deadly Terengganu forward line in Abdul Hadi yahya, Abdul Manaf Mamat and Ashaari Shamsudin are now the country's most sensational goal machine.

2. Mereka berjaya mengharungi bulan April yang padat dengan kesungguhan serta kecekalan walaupun pernah dianggap tidak konsisten. Nama Abdul Hadi kini muncul sebagai wira di kalangan penyokong Terengganu. Susuk tubuh yang kecil, larian yang pantas serta penyudah yang sempurna telah menjadi intipati kemunculan Hadi ketika ini.

2. Terengganu managed to escape tight MSL fixture in April with great determination eventhough they were labelled as 'inconsistent side' for some reasons. Abdul Hadi Yahya is the new goal-king of Terengganu with his recent heroic display by scoring hat-trick against Pahang in the Super League. A victory that put Terengganu at the top the league for the first time this season.





3. Abdul Manaf Mamat pula dilihat sebagai pemain yang diberi peranan sebagai pencipta peluang dan dilihat banyak bergerak bebas di luar kotak penalti. Beliau dan Ashaari Shamsudin bertukar-tukar posisi bagi mengelirukan pertahanan lawan. Manaf juga selincah Hadi dan ini sesuai dengan taktik coach Irfan Bakti yang mahukan bola digerakkan dengan seberapa cepat yang mungkin.

3. Abdul Manaf Mamat is playing a bit deeper role as compared to Hadi, or in the modern day football referred as 'withdrawn striker'. He is given more freedom to roam behind Hadi and regularly exchange passes, possition with winger Ashaari Shamsudin. He has the pace, exceleration and good positioning as the coach tactics want the team to pass the ball around as quick as they can. 

4. Kita sudah maklum keupayaan Ashaari Shamsudin, yang mana beliau adalah kunci utama penggerak serangan Terengganu. Seperti yang pernah saya kupas sebelum ini, Ashaari adalah sangat berbahaya apabila beliau yang bermula sebagai sayap kiri akan melakukan larian ke tengah untuk membuka ruang kepada rakan-rakannya yang lain. Larian-larian ini yang mengkucar-kacirkan pertahanan lawan sehingga memberi peluang kepada pemain lain untuk menjaringkan gol.

4. I believe we all know very well how good Ashaari Shamsudin is. He is the main man behind almost every Terengganu attack. He is well known for his dazzling run from the left, cut inside with his dribbling ability and create spaces for other to score. When he is on form, he is the nightmare for defenders.