Sunday, October 9, 2011

Sistem kejurulatihan perlu dirombak semula

1. Setelah melihat pasukan kebangsaan gagal memberi saingan bermakna kepada Australia, saya mengambil kesimpulan bahawa ada 2 perkara utama yang kita perlu perkemaskan.

2. Pertama, Sistem kejurulatihan di negara ini perlu dirombak dan disusun semula. Struktur jurulatih dan kaedah pengajaran perlu dikaji, dirombak serta diperkasakan lagi bermula dari peringkat sekolah rendah.

3. Guru di sekolah perlu diberi latihan serta ilmu bolasepak agar mereka yang bertugas untuk membimbing pasukan sekolah benar-benar layak dan dapat memberi tunjuk ajar yang sebenar. Ini bagi mempastikan pemain dapat menjiwai apa itu pemain bolasepak sejak dari darjah satu lagi.

4. Pelajar diajar untuk selesa dengan penguasaan bola, berfikir dengan pantas dan berdisiplin sebagai satu unit kental. Dan yang paling penting, pelajar perlulah diajar sejak kecil lagi bagaimana bermain bolasepak melalui falsafah 'Total Football'.

5. 'Total Football' telah diperkenalkan oleh pasukan Belanda di era 1970 an. Bagaimanapun, dari masa ke semasa, pelbagai pasukan telah menggunakan kaedah ini dan memperkemaskan lagi corak permainan yang ditekankan oleh konsep ini. (termasuk Barcelona pada hari ini)

6. 'Total Football' mementingkan penguasaan bola di kalangan pemain, dimana mereka tidak akan melakukan hantaran jauh yang menyusahkan rakan. 'Total football' memberi pemain ruang untuk bergerak ke ruang kosong, bertukar-tukar posisi, 'one touch movement' untuk mengelirukan lawan dan yang menguntungkan ialah pasukan lawan sukar untuk merampas bola lantas sukar untuk menyerang.

7. Malaysia perlu berubah sikap ketika bermain bolasepak. Kita tidak sesuai lagi dengan kaedah British yang kerap menggunakan pendekatan hantaran jauh dan tinggi. Oleh itu, struktur kejurulatihan di akar umbi penting sebagai ajen perubahan kepada pemain-pemain kita.

8. Kedua, Pembangunan fizikal. Sekolah sukan dan juga semua sekolah projek di Malaysia perlu menilai semula diet yang diberi kepada pelajar. Adakah pemakanan mereka seimbang dan mencukupi untuk menjadi seorang ahli sukan ataupun sebagai pemain bolasepak?

9. Kita perlukan pemain yang mempunyai susuk tubuh yang lebih tinggi dan tegap. Bolasepak adalah permainan fizikal, oleh itu kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa pemain-pemain kita tidak cukup kuat dari segi fizikal untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment