1. Setelah Datuk K Rajagobal berkali-kali mengingatkan kita tentang perancangan utama beliau untuk membawa pasukan negara layak ke Piala Asia 2015, maka saya secara peribadi menyokong wawasan tersebut, walaupun kita mempunyai misi mempertahankan piala AFF tahun depan.
2. Untuk mempersiapkan diri menjelang pusingan kelayakan yang dijadualkan pada 2013, saya berpendapat persiapan rapi dan lebih tersusun amat-amat diperlukan untuk merealisasikan impian tersebut.
3. Saya pernah tulis sebelum ini, dan saya akan ulang sekali lagi 'teori' saya ini, ada 3 faktor yang boleh menyumbang kejayaan sesebuah pasukan kebangsaan.(i) Liga Domestik yang kompetitif, berkualiti tinggi dan profesional di segenap aspek. (ii) Program pembangunan Remaja yang sistematik, berterusan dan berinovasi. (iii) Bilangan pemain yang bermain di liga di luar negara (eksport)
4. Bagaimanapun, faktor pertama (i) adalah faktor yang terbesar kerana di dalam liga domestik merupakan sumber terbesar bagi mana-mana jurulatih kebangsaan untuk memilih pemain. Oleh itu, saya akan tekankan lagi betapa perlunya kualiti dan tahap kompetitif Liga Super Malaysia dipertingkatkan ke tahap yang seterusnya.
5. Untuk meningkatkan lagi mutu Liga Super, kali ini saya akan menulis khusus tentang perlunya peningkatan mutu dari aspek kejurulatihan. Ini bermaksud, setiap pasukan perlu bersedia untuk berbelanja lebih demi meningkatkan kualiti permainan di saingan liga.
6. Saya berpendapat, Persatuan Bolasepak negeri dan kelab yang bertanding di Liga Super MESTI memandang serius persiapan pasukan dari segi tahap kecergasan, kesedian mental, tumpuan pemain terhadap tugas mereka di padang dan di luar padang, gaya hidup pemain, tahap kemahiran individu dan lain-lain lagi.
7. Untuk mencapai profesionalisme yang maksimum, saya berpendapat Persatuan Bolasepak Negeri dan Kelab yang bertanding MESTI mendapatkan khidmat jurulatih asing dari Eropah ataupun dari Amerika selatan untuk membimbing pasukan utama dan juga pasukan Piala Presiden.
8. Adakah jurulatih tempatan tidak cukup bagus? Bukan itu yang saya maksudkan. Saya berpandangan jurulatih tempatan ada batas-batas tertentu yang akhirnya akan menghadkan pembangunan seseorang pemain itu. Mengapa kita perlukan Jurulatih asing?
9. Yang Pertama, Jurulatih asing akan membawa ilmu terkini bolasepak di eropah atau Amerika Latin. Kaedah-kaedah latihan, strategi risikan, ilmu psikologi, disiplin pemakanan, pembinaan fizikal, disiplin gaya hidup dan macam-macam lagi modul persiapan pasukan yang sangat rapi. Sedikit perbezaan dari segi disiplin boleh menjadi penentu kalah menang sesuatu pasukan.
10. Yang Kedua, Jurulatih asing mempunyai jaringan rangkaian (network) yang luas dari segi sumber pencari bakat pemain di seluruh dunia. (Scouting) Jika Liga super membenarkan pemain import beraksi semula tahun depan, Jurulatih asing ini boleh membantu dari segi mendapatkan pemain yang berkualiti. Mereka juga boleh membantu pemain tempatan yang ingin mencuba nasib di eropah untuk sekurang-kurangnya mendapatkan tempat bermain di kelab-kelab eropah.
11. Yang ketiga, Kehadiran jurulatih asing akan memberi peluang kepada jurulatih muda tempatan mempelajari teknik-teknik kejurulatihan dan pemindahan ilmu ini amat berguna untuk meningkatkan kepakaran jurulatih tempatan.
12. Saya berharap setiap pasukan yang bertanding di liga Super (Yang berkemampuan) menggunakan khidmat jurulatih asing bagi memberi nafas baru kepada bolasepak tempatan yang sedang menuju graf 'menaik'. Begitu juga dengan skuad piala presiden, yang mana khidmat jurulatih asing akan membantu pemain muda meningkatkan mutu permainan mereka.
No comments:
Post a Comment