1. Disember tahun lalu, walaupun tewas di tangan Indonesia 2-1 di jakarta, namun pasukan negara berjaya merangkul piala AFF hasil kelebihan agregat. Skrip yang hampir serupa berlaku sekali lagi sebentar tadi di Taipei.
2. Pasukan negara tewas 3-2 di tangan Chinese Taipei namun mara ke pusingan kedua hasil kelebihan jaringan di tempat lawan. Malaysia menang 2-1 rabu lalu di Bukit Jalil. Agregat 4-4 menunjukkan juara asia tenggara itu terpaksa bertungkus lumus menahan asakan pasukan yang dianggap bukan kuasa bolasepak benua asia.
3. Seperti tulisan saya sebelum ini, saya telah menjangkakan pasukan Malaysia sering didedahkan kelemahan mereka ketika bertahan. Pasukan kita tidak mempunyai masalah untuk mencipta gerakan, mampu membuat hantaran yang kemas, mampu menggerakkan pemain-pemain sayap untuk membuat larian penting ke kubu lawan, namun sekali lagi kita didedahkan oleh Chinese Taipei bahawa pasukan Malaysia agak 'lightweight' atau longgar ketika bola di kaki lawan.
4. Saya pernah mencadangkan supaya formasi diubah sedikit bagi mengekang pasukan lawan dari mendominasi bahagian tengah, namun Datuk K rajagobal tetap menggunakan formasi tradisional 4-4-2. Sistem yang beliau guna sejak sekian lama kadangkala boleh mengundang padah sekiranya tidak ada sebarang peningkatan atau 'improvement' yang diambil.
5. Jika kita bandingkan dengan skuad olimpik bimbingan Ong Kim Swee, mereka meletakkan 2 orang holding midfielder iaitu Gurusamy dan Gary Steven Robbart. Di sini, saya mengganggap OKS lebih realistik berbanding Datuk Raja yang mana OKS akan merangka strategi bergantung kepada jenis lawan yang akan dihadapinya.
6. Gandingan Safiq rahim dan Amar Rohidan memang terbukti berkesan di peringkat asia tenggara, tetapi apabila Malaysia bertemu lawan yang tidak diketahui kekuatannya, maka gandingan ini akan terdedah dengan asakan bertali arus pihak lawan. Soalnya, adakah gandingan Safiq-Amar masih kukuh untuk berdepan Singapura di pusingan kedua kelak?
7. Impak bahagian tengah yang longgar adalah, bahagian pertahanan akan kerap menerima asakan lawan. Tekanan yang bertali arus akan memaksa bahagian pertahanan membuat kesilapan lantas dihukum oleh jaringan-jaringan yang berjaya dicipta pasukan lawan. Perkara ini terbukti telah berlaku malam ini apabila barisan pertahanan memberi 3 sepakan penalti kepada Chinese Taipei. Kesilapan ini akibat daripada kelonggaran bahagian tengah menguasai persaingan bola, posession malah tiada 'tackling' yang berkesan bagi mengekang jentera lawan.
8. Saya enggan menyalahkan mana-mana pemain terhadap gagalnya kita mempersembahkan permainan sebagai juara asia tenggara, tetapi saya lihat perlunya datuk Raja merubah formasi dan pemain yang sesuai mengikut keperluan sesuatu perlawanan. Kita juga agak longgar bila berdepan serangan bola tinggi, seperti mana gol pertama Chinese Taipei di babak pertama.
9. Untuk perlawanan peringkat kedua 23 dan 28 julai nanti, saya berharap pasukan kebangsaan dapat memperbaiki kelemahan yang ada serta mempertingkatkan kualiti kerja berpasukan. Peluang-peluang yang diperolehi hendaklah diterjemahkan ke gawang lawan dengan berkesan. Walaupun harimau terluka di Taipei, namun saya percaya mereka mampu lakukan dengan lebih baik ketika bertemu seteru lama, sang singa. TANAH TUMPAHNYA DARAHKU!!
No comments:
Post a Comment