Wednesday, October 5, 2011

Australia-Malaysia: Jurulatih perlu perbaiki mutu permainan

1. Saya teruja untuk menantikan perlawanan kelas dunia antara Australia dan Malaysia esok. Saya juga fikir pemain-pemain negara harus bersyukur kerana berpeluang menguji diri dengan pasukan yang lebih kuat.

2. Setelah tersingkir dari kelayakan piala Dunia, Datuk K Rajagobal harus kembali ke 'drawing board' dan mengingatkan pemain-pemain di mana silapnya kita. Gol-gol mudah tidak lagi boleh dimaafkan. Disiplin sepanjang 90 minit termasuk keupayaan menguasai bola perlu dititikberatkan.

3. Dengan saiz fizikal yang lebih kecil, pemain negara perlu bijak dan tenang mengawal bola. Kurangkan hantaran lambung/jauh yang sia-sia. Disini, jurulatih perlu tekankan perlunya pemain bersabar di atas padang. Jangan terburu-buru menghantar bola ke petak penalti lawan, kerana akhirnya bola itu mudah dikeluarkan oleh pertahanan lawan yang lebih tinggi.

4. Saya berharap jurulatih perbaiki mentaliti pemain, terutama dari segi penguasaan bola. Bermula dari penjaga gol, ke pemain pertahanan dan akan disambut oleh salah seorang pemain tengah. Proses bertukar-tukar hantaran pendek ini mesti di utamakan. Bola yang dihantar tepat ke kaki rakan akan memudahkan beliau mengawal dan melakukan tindakan susulan. Manakala yang lain harus menyokong dengan mencari/membuka ruang supaya mudah menerima hantaran.

5. Saya sangat-sangat berharap jurulatih dapat perbaiki mutu permainan kita, dengan mempersembahkan kualiti bolasepak yang diyakini boleh membawa Malaysia ke tahap yang seterusnya.

No comments:

Post a Comment