Sunday, May 29, 2011

Akademi Bolasepak Yang perlu dicontohi: FC BARCELONA

1. Saya bukan peminat Barcelona mahupun Manchester United. Tapi saya tidak mahu ketinggalan untuk menyaksikan pertembungan dua pasukan ini di Wembley bagi merebut piala juara-juara eropah. Saya berniat untuk melihat 'peperangan taktikal' yang digunakan oleh kedua pengendali pasukan.

2. Seperti yang diduga, Barcelona tampil dengan 4-3-3 manakala United kali ini tidak mahu melakukan kesilapan yang sama pada tahun 2009, Sir Alex telah kembali ke formasi tradisi 4-4-2. Setelah melihat kesebelasan utama United yang menampilkan Michael Carrick bersama Ryan Giggs di bahagian tengah, itu adalah petunjuk jelas bahawa United bakal berdepan masalah.

3. Di kesebelasan barcelona pula, hanya Javier Mascherano sahaja yang bertindak di luar posisi kegemarannya, iaitu pertahanan tengah berganding bersama Gerard Pique. Manakala posisi yang lain, dihuni pemain-pemain lazim seperi Xavi, Iniesta, Pedro, Busquets, Messi dan Villa.

4. Ramai yang berkata, malah saya sempat bertanya kepada beberapa penyokong veteran United tentang punca kekalahan ini, rata-rata mereka beranggapan Barcelona layak dinobatkan sebagai juara. Berdasarkan bakat, persefahaman, tahap skill pemain, konsistensi, kebijaksanaan serta ketepatan (accuracy) secara keseluruhan meletakkan Barcelona berada di kelas yang berbeza.

5. Mengapa konsep bolasepak yang dibawa oleh barcelona ini sangat berjaya? saya akan huraikan untuk renungan kita di Malaysia ini, bersama. faktor utama kejayaan Barcelona 3 ke 4 musim kebelakangan ini adalah disebabkan:


6. Kejayaan struktur akademi bolasepak FC Barcelona. Bagi saya ini adalah jawapan tepat kepada semua pemilik kelab bolasepak, persatuan bolasepak negeri. Ini adalah struktur terbaik untuk mengukir kejayaan jangka masa panjang.  Akademi bolasepak yang di gelar 'La Masia' terletak berhampiran dengan stadium Nou Camp ini menyediakan suasana kondusif kepada para pelajar.

7. kesemua perbelanjaan di La Masia di tanggung sepenuhnya oleh kelab. Kos seperti makanan, bahan mengajar, gaji guru dan kemudahan infrastruktur latihan dibiayai sepenuhnya oleh FC Barcelona. Kepada semua Persatuan Bolasepak negeri di Malaysia, adakah kalian melihat dan mengkaji perkara ini?

8. Rutin pelajar setiap hari adalah, pergi ke sekolah setiap pagi dan pulang ke akademi pada 2 petang serta menjamu makan tengah hari. Latihan padang akan bermula 5pm hingga 6.30 pm. Begitu juga dengan kemudahan bilik komputer, bilik bacaan serta tuition di sebelah malam bagi mengulangkaji pelajaran.

9. Berbekalkan perancangan yang begitu rapi, tidak mustahil mereka mampu bermain secara kolektif, begitu yakin bermain hantaran pendek, bertukar-tukar posisi dengan cepat, kawalan bola yang begitu kemas dan bertahan secara berkumpulan. Disiplin tinggi seperti ini tidak mungkin dibina dalam sekelip mata. Konsep permainan ala barcelona hanya boleh dipupuk jika mempunyai sistem yang tersusun seperti di La masia.

10. Saya berdoa suatu hari nanti akan ada anak Malaysia yang layak memasuki La Masia dan beraksi untuk pasukan senior FC BARCELONA.

Friday, May 27, 2011

Trio penggempur terbaik di malaysia ketika ini (The most in form strike force)

1. Saya tidak mengambil kisah tentang mereka bertiga di awal musim. Tetapi kini, lain pula ceritanya. Gandingan mantap tiga penggempur serangkai Terengganu: Abdul hadi Yahya, Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Shamsudin kini mencuri perhatian saya.

1. Earlier in the season, they were left unnoticed and almost ignored by me. With 4 more games to play, it is now indeed a very different ball game. The deadly Terengganu forward line in Abdul Hadi yahya, Abdul Manaf Mamat and Ashaari Shamsudin are now the country's most sensational goal machine.

2. Mereka berjaya mengharungi bulan April yang padat dengan kesungguhan serta kecekalan walaupun pernah dianggap tidak konsisten. Nama Abdul Hadi kini muncul sebagai wira di kalangan penyokong Terengganu. Susuk tubuh yang kecil, larian yang pantas serta penyudah yang sempurna telah menjadi intipati kemunculan Hadi ketika ini.

2. Terengganu managed to escape tight MSL fixture in April with great determination eventhough they were labelled as 'inconsistent side' for some reasons. Abdul Hadi Yahya is the new goal-king of Terengganu with his recent heroic display by scoring hat-trick against Pahang in the Super League. A victory that put Terengganu at the top the league for the first time this season.





3. Abdul Manaf Mamat pula dilihat sebagai pemain yang diberi peranan sebagai pencipta peluang dan dilihat banyak bergerak bebas di luar kotak penalti. Beliau dan Ashaari Shamsudin bertukar-tukar posisi bagi mengelirukan pertahanan lawan. Manaf juga selincah Hadi dan ini sesuai dengan taktik coach Irfan Bakti yang mahukan bola digerakkan dengan seberapa cepat yang mungkin.

3. Abdul Manaf Mamat is playing a bit deeper role as compared to Hadi, or in the modern day football referred as 'withdrawn striker'. He is given more freedom to roam behind Hadi and regularly exchange passes, possition with winger Ashaari Shamsudin. He has the pace, exceleration and good positioning as the coach tactics want the team to pass the ball around as quick as they can. 

4. Kita sudah maklum keupayaan Ashaari Shamsudin, yang mana beliau adalah kunci utama penggerak serangan Terengganu. Seperti yang pernah saya kupas sebelum ini, Ashaari adalah sangat berbahaya apabila beliau yang bermula sebagai sayap kiri akan melakukan larian ke tengah untuk membuka ruang kepada rakan-rakannya yang lain. Larian-larian ini yang mengkucar-kacirkan pertahanan lawan sehingga memberi peluang kepada pemain lain untuk menjaringkan gol.

4. I believe we all know very well how good Ashaari Shamsudin is. He is the main man behind almost every Terengganu attack. He is well known for his dazzling run from the left, cut inside with his dribbling ability and create spaces for other to score. When he is on form, he is the nightmare for defenders.

 

Wednesday, May 25, 2011

Selangor perlu perubahan drastik

1. Setelah kekalahan terbaru 1-2 di tangan Harimau Muda A malam tadi, saya menganggap Selangor memang bermasalah ketika ini. Hujah saya mengapa saya lihat Selangor bermasalah adalah seperti berikut:

2. Dari awal musim lagi, kualiti muka-muka baru ke skuad Selangor musim 2011 tidak cukup memberangsangkan. Fadzli Shaari, Azidan, Yosri, Sritharan tidak menunjukkan kesungguhan FAS untuk meningkatkan kualiti skuad. Nama-nama seperti di atas tidak menepati prestij dan cita-cita Selangor yang sekian lama merupakan tradisi bolasepak Malaysia.

3. Kehilangan Safee Sali sedikit sebanyak merencatkan serangan Selangor, manakala Rudie Ramli, Amri Yahyah dan lain-lain gagal merapatkan jurang yang ditinggalkan Safee.




4. Sokongan penyokong terhadap pasukan Selangor merosot, walaupun di sebahagian besar musim, Selangor menggunguli carta liga. Stadium Shah Alam agak lengang dan sepi walaupun Selangor dianggotai 6 orang pemain kebangsaan yang menjuarai piala AFF. Apa yang sudah berlaku? Selangor yang punya tradisi penyokong fanatik kini berdepan kehilangan pendokong setia. Moga FAS meneliti perkara ini.

5. Corak permainan Selangor hambar serta mudah dipatahkan. Sudah tiba masanya K Devan mengubah sistem latihan, mengubah taktik dan mungkin juga merehatkan beberapa pemain yang nampak ketara keletihan. Selangor perlu bangkit dengan segera!


  

Tuesday, May 24, 2011

Jangan ubah format liga Super!

1. Terdapat desas-desus bahawa akan berlaku perubahan format untuk liga Super Malaysia tahun 2012. Ada khabar angin mengatakan jumlah pasukan yang bertanding akan dikurangkan ke 12 pasukan berbanding 14 pasukan yang ada sekarang.

2. Bila jumlah dikurangkan, maka akan ada play-off antara pasukan di Liga Perdana yang bersaing tempat untuk ke Liga Super. Khabar angin seperti ini sangat-sangat tidak menyenangkan hati malah saya berharap ianya TIDAK menjadi kenyataan.

3. Format yang sedang digunakan ketika ini pada saya sudah memadai, bahkan perlu ditambahbaikkan lagi tahap 'kompetitif'nya supaya kita mampu melahirkan pemain-pemain yang bermutu tinggi. Jumlah pasukan perlu DITAMBAH ke 16 pasukan. Manakala Persatuan Bolasepak Negeri dan Kelab yang bertanding wajib menilai kemampuan kewangan masing-masing sebelum membeli pemain import.

4. Pastikan gaji pemain, caruman KWSP dan lain-lain jenis elaun kepada pemain serta pegawai mampu dibayar oleh Persatuan Bolasepak Negeri atau Kelab. Bagi saya keperluan-keperluan asas seperti ini perlu diutamakan sebelum kita nak ubah format liga kepada bentuk yang lebih pelik lagi.  Jangankan kita sibuk hendak ubah format liga, hingga perkara asas terabai. Jika perkara-perkara asas seperti yang disebutkan tadi gagal dipelihara, maka Liga kita bukan lagi Liga Profesional.

5. Pasukan yang menjuarai Liga Perdana hendaklah diberi kelayakan secara automatik ke Liga Super. Ini bagi memberi insentif serta penghargaan kepada pemenang Liga Perdana. Manakala pasukan di tempat ke dua dan ketiga boleh diberi perlawanan play-off untuk merebut tempat kedua ke Liga Super.

6. Format Liga tidak boleh ditukar sesuka hati untuk setiap musim. Ini penting kerana setiap pasukan sudah mempunyai perancangan mereka sendiri. Pasukan yang berhak layak ke Liga Super hendaklah diberi haknya. Manakala pasukan yang menghuni 2 tempat terbawah Liga Super hendaklah disingkir ke Liga Perdana.

Sunday, May 22, 2011

Harimau Muda A semakin menghampiri matlamat

1. Saya berkesempatan ke stadium Shah alam untuk menonton perlawanan Liga Super antara Harimau Muda A bertemu pendahulu liga, kelantan. Saya mahu melihat dengan lebih dekat konsistensi pasukan kelantan, dan juga meninjau perkembangan terkini pasukan olimpik negara.

2. Akan tetapi, tumpuan saya lebih tertumpu kepada apa yang saya anggap sebagai kematangan skuad Ong Kim Swee, apabila mereka mampu mendominasi hantaran-hantaran kemas selain meminimakan kesilapan. Dalam beberapa ketika, pasukan remaja ini berjaya meletakkan pemain-pemain kelantan 'frustrated' dan mengekang enjin penggerak kelantan, iaitu Piya dan Shakir Shaari.



3. Yang paling menggembirakan saya adalah, Peningkatan mutu permainan penyerang Izzaq faris Ramlan.  Penyerang yang mempunyai ketinggian 6 kaki (184 cm) ini telah menunjukkan mutu permainan yang berkesan selaku penyerang tunggal. Di sokong oleh 5 rakan-rakan pemain tengah, Izzaq nampak selesa mengawal bola hasil hantaran jauh, mahupun hantaran pendek yang mudah. Dua jaringan beliau juga mengesahkan malam 'pembina keyakinan' bagi meneruskan rentak positif sebelum pusingan kelayakan olimpik Jun nanti.

4. Saya berani merumuskan bahawa pemain ini berkelayakan untuk mencuba peluang di eropah, apatah lagi umurnya baru memasuki 21 tahun. Dengan susuk tubuh yang tinggi dan semakin kelihatan tegap, ditambah lagi dengan daya penyudah berkesan, Izzaq perlu bekerja keras untuk memburu karier di eropah. Beliau perlu mengekalkan tahap kecergasan yang tinggi bagi membantu skuad negara menentang Lebanon nanti.

5. Walaupun bermain dengan taktik yang berkesan, namun pada minit ke 85, Norshahrul Idlan Talaha berjaya menyumbat gol penyamaan sekaligus menyelamatkan kelantan dari ambang kekalahan. Gerakan solo beliau yang menewaskan 5 orang pemain Harimau Muda sebelum menyumbatkan gol berkenaan adalah jawapan mengapa Norshahrul adalah seorang penyerang berbisa negara buat masa ini.

Friday, May 20, 2011

Skuad harimau perlukan ujian bentuk baru

1. Semakin hari semakin kencang cakap-cakap peminat bolasepak tempatan bahawa pasukan dari liga perdana Inggeris akan melawat Kuala Lumpur Julai ini. mereka akan mengadakan siri perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan.

2. Saya berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk FAM serius dalam mencari 'sparing partner' untuk pasukan kebangsaan kita. Mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan bertaraf kelab bukanlah sesuatu langkah yang bijak dalam membina sesebuah pasukan kebangsaan yang kuat. Jika Malaysia bermain sesuatu perlawanan persahabatan yang bertaraf "A", maka pasukan kebangsaan akan mendapat kesan positif daripadanya.

3. Sudah tiba untuk FAM mencari pasukan kebangsaan dari benua eropah mahupun Afrika bagi menguji tahap kemampuan sebenar anak buah K Rajagobal. Kita kerapkali mendengar Malaysia bertemu pasukan-pasukan dari timur tengah, Asia selatan, Asia timur dan juga asia tenggara sendiri. Pasukan-pasukan dari eropah dan Afrika juga mampu menguji pasukan negara dari segi fizikal dan juga ketahanan mental.


4. Tidak ketinggalan pasukan amerika latin. Bukan semua pasukan Amerika latin sehebat Brazil ataupun Argentina. Di sini, FAM perlu bijak mencari rakan yang mahu membangun bersama-sama dalam bolasepak.

5. Saya terfikir untuk Malaysia bermain dengan pasukan seperti Macedonia, Azerbaijan, kazakhstan, Slovakia, cyprus, Bosnia-Herzegovina (Eropah), manakala Surinam, venezuela, Trinidad & Tobago, Ecuador, peru (Amerika Selatan) dan pasukan-pasukan Afrika seperti Tunisia, Togo, Morroco, Burkina faso, dan Algeria. Contoh-contoh seperti di atas bukanlah kuasa besar bolasepak di rantau mereka.

6. Sekiranya jarak menjadi masalah, maka saya cadangkan FAM hidupkan kembali Pestabola Merdeka dengan format lapan pasukan. Pertandingan persahabatan seperti ini menguntungkan semua pihak. Kita tidak perlu terbang terlalu jauh, manakala pasukan yang bertanding turut bersetuju untuk menanggung kos-kos tertentu sahaja. Gunakan kejohanan pestabola merdeka untuk pasukan Malaysia mengadakan perlawanan persahabatan kelas 'A'.

Wednesday, May 18, 2011

Bakat mirip kaka, Ashari aset penting negara

1. Dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super musim lepas walaupun peranannya sebagai 'winger'. Dikhabarkan beliau seorang yang pendiam. Mempunyai larian deras meluru ke kubu lawan dengan penuh muslihat. Mampu jaringkan gol dengan kaki kanan, kiri mahupun kepala. Lorongannya kepada Safee sali di perlawanan akhir piala AFF di Jakarta telah menjelmakan gol di tempat lawan untuk pasukan negara...tuan-tuan dan puan-puan, itulah dia Ashari Shamsudin, nadi pasukan liga Super Terengganu.


2. Saya perhatikan persembahannya sejak musim lalu. kerap menjaringkan gol di perlawanan penting. 'footwork' yang kemas membolehkan beliau menggelecek dengan yakin. Ketika beraksi untuk pasukan kebangsaan, Ashari yang kerap bermula sebagai sayap kiri, dilihat dibenarkan untuk memasuki kawasan tengah padang bagi mencipta peluang kepada rakan-rakan lain.

3. Disamping kekemasan kawalan bola, beliau adalah seorang penyudah yang hebat. Sebagaimana jaringan kedua negara di Bukit Jalil ketika Final piala AFF menentang Indonesia, kita boleh lihat ketenangan beliau untuk meletakkan bola ke penjuru atas gol Indonesia. (video di bawah)


 4. Di saingan domestik pula, musim ini Terengganu dilengkapi ramai pemain yang berkaliber seperti Joseph Kalang Tie, Marzuki, Ismail farouqi, Manaf Mamat dan Abdul Hadi. Walaupun Terengganu menduduki tempat ke tiga liga ketika ini, namun saya percaya mereka mampu mencabar 2 pasukan teratas sehingga ke penghujung musim.

5. Cuma ada kala Ashari lambat turun bertahan dan menghalang pemain lawan dari mengasak ke kubu pasukannya. Saya berharap coach Irfan Bakti di Terengganu dapat terus membimbing Ashari untuk menjadi pemain yang lebih hebat di masa akan datang supaya beliau dapat terus berbakti kepada pasukan negara.

Tuesday, May 17, 2011

Rasuah dan ancaman kepada bolasepak.

1. Rasuah dan penetapan keputusan perlawanan adalah dua aktiviti yang saling berkaitan yang mana kesannya sangat buruk, bukan sahaja kepada sukan bolasepak, malah kepada keseluruhan institusi moral sesebuah negara.

2. Penetapan keputusan perlawanan juga boleh disamakan dengan penipuan. Ini adalah kerana kebanyakan perlawanan yang belum berlangsung sudah di tentukan keputusannya menerusi beberapa persetujuan 'di balik tabir' antara si pemberi rasuah, pegawai sesebuah pasukan/ pemain sesebuah pasukan yang terlibat. Mereka akan terlibat dalam aktiviti tawar-menawar 'harga' sesuatu perlawanan. Setelah 'harga' tertentu di persetujui semua pihak yang terbabit, pembayaran akan dibuat oleh si pemberi rasuah kepada pegawai/pemain tadi.

3. Si pemberi rasuah lazimnya adalah terdiri daripada mereka yang menganjurkan skim perjudian haram, dan mereka mahukan perlawanan yang terlibat berakhir seperti yang mereka telah rancangkan. Contohnya, mereka mahu perlawanan antara pasukan ABC dengan pasukan DEF berakhir dengan keputusan pasukan ABC menang 2-0. Sekiranya pemain-pemain yang terlibat telah menjalankan tugasnya dengan sempurna sehingga berjaya menghasilkan keputusan 2-0 itu, maka pengajur judi haram itu tadi akan mengaut keuntungan berlipat ganda kerana kebanyakan hantu judi telah meneka pasukan DEF sebagai pemenang.

4. Tidak cukup dengan hasil keputusan, beberap insiden lain turut ditentukan oleh pemberi rasuah atau bookie ini. Soal siapa yang menjaringkan gol, berapa kad kuning, berapa kad merah, gol sendiri, pertukaran pemain keluar dan masuk juga antara beberapa perkara yang telah ditetapkan.

5. Penerangan di atas hanyalah contoh skim perjudian haram yang asas, tetapi pada hari ini ada banyak lagi sindiket bookie yang beroperasi dengan kaedah yang lebih kompleks dan lebih licik. Ini berikutan dengan adanya kemudahan teknologi yang mudah untuk didapati dan diselengarakan.

6. Oleh itu, saya cadangkan agar beberapa langkah di ambil untuk membendung gejala rasuah ini: (1) Setiap pegawai/pemain setiap pasukan liga super, perdana, piala presiden, piala FAM hendaklah menjalani sesi audit dalaman yang dikelolakan oleh SPRM serta sebuah firma audit bebas. (2) Gaji pegawai dan pemain tidak boleh terlalu murah, dan tidak terlalu mahal. bagi gaji pemain, di cadangkan pemain yang baru menyertai skuad utama (sebelum ini pasukan presiden) diberi gaji sekitar RM 5000.00. Bagi pemain senior (bermain dengan skuad senior dua tahun dan ke atas) di cadangkan diberi Gaji sekitar RM 8000.00. Bagi pemain yang pernah/sedang bermain untuk pasukan kebangsaan di cadangkan gaji sekitar RM 12,000.00 ke RM 15,000.00. Gaji serta lain-lain kemudahan yang kompetitif akan membantu pemain-pemain untuk menjauhi rasuah.

7. Kerjasama antara FAM dengan interpool juga penting bagi mematahkan rangkaian bookie yang melangkaui sempadan negara ini. Peringatan kepada pemain/pegawai perlu dilakukan sekerap yang mungkin. Saya berharap kesemua yang terlibat dalam organisasi FAM atau persatuan bolasepak negeri dan kelab supaya bersungguh-sungguh memerangi ancaman rasuah ini seperti yang di laungkan oleh FIFA baru-baru ini.

Monday, May 16, 2011

Kelantan kuasa baru bolasepak Malaysia

1. Saya berkesempatan menyaksikan perlawanan pusingan kedua separuh akhir Piala FA antara Kelantan bertemu Selangor di Kota Bharu. Walaupun maklum peluang Selangor untuk ke perlawanan akhir sangat tipis, sesudah tewas teruk 1-5 di Shah Alam, saya tetap mahu menyaksikan perlawanan kedua ini.

2. Saya mahu melihat dengan lebih teliti tentang pasukan Kelantan ini, yang mana kebangkitannya 3-4 tahun yang lalu dipelopori oleh tan Sri Annuar Musa. Hasil perancangan rapi, di sokong pula dengan sumber kewangan yang stabil, kita dapat lihat sebuah pasukan Kelantan yang mantap hari ini.

3. Pada pandangan saya, walaupun ketika ini Kelantan menghuni tangga kedua liga Super, namun saya percaya mereka mampu memintas Selangor suatu hari nanti. Pada pendapat saya juga, Selangor untuk musim 2011 ini kurang mantap, malah ada tanda-tanda untuk merudum dari segi kualiti skuad.


4. Setelah diperhatikan dengan dekat lagi, saya amat bersetuju dengan cara permainan yang diterapkan oleh Datuk M Karathu, iaitu 'passing game'. Saya memang dari dulu berulang-ulang kali menyatakan bahawa pemain-pemain di malaysia mesti menitikberatkan kebijaksanaan di atas padang, iaitu dengan mempraktikkan permainan 'pass' and 'positioning'. Menghantar bola mudah kepada rakan, manakala yang lain berada di kedudukan yang kosong dan bersedia untuk menerima bola.

5. Disiplin ini yang membezakan Kelantan dengan pasukan lain ketika ini. Mereka mempunyai pemain-pemain sayap yang lincah iaitu S Chanturu dan nurul Azwan Roya. Dalam masa yang sama, kekemasan bahagian tengah yang paling mencuri tumpuan saya terhadap pasukan Kelantan ini. Sejak satu, dua musim yang lalu, serta sesudah menyaksikan gol yang beliau jelmakan malam ini, saya merumuskan beliau adalah sebenarnya nadi utama pasukan kelantan. Ya, saya bercakap tentang Shakir Shaari.

6. Konsistensi Shakir mengawal bola dengan tenang, membaca permainan, teknik hantaran dekat maupun jauh, ketenangan ketika bertahan, merancang serangan dengan umpanan-umpanan tepat, maka saya anggap beliau semakin matang dan cukup bersedia untuk mewakili pasukan kebangsaan. Tidak keterlaluan untuk saya mengatakan kini Malaysia juga mempunyai 'Xabi Alonso'.

7. Dalam masa yang sama, pendahulu liga Super, Selangor nampak kurang mantap malah tidak lagi berjaya menarik penonton yang ramai walaupun ketika beraksi di Shah Alam. Rata-rata, penyokong Selangor (terutama generasi lama) beranggapan bahawa skuad Selangor yang ada pada hari ini tidak memperlihatkan kualiti 'juara' seperti pasukan-pasukan Selangor yang terdahulu. Ditambah lagi dengan pemergian Safee Sali, corak permainan Selangor agak mudah untuk dibaca.

8. Saya berpendapat, dengan skuad yang masih muda, kelantan bakal mengambil alih selaku kuasa bolasepak Malaysia tidak lama lagi.  

Wednesday, May 11, 2011

Teguran untuk PBNJ

1. Setelah melihat kegagalan demi kegagalan pasukan Johor di peringkat kebangsaan beberapa tahun yang lalu (kali terakhir Johor memenangi Piala FA 1996), maka saya rasa terpanggil untuk memberi beberapa cadangan yang saya harap boleh membantu pengurusan serta pasukan kejurulatihan PBNJ.


2. Dari segi statistik, negeri Johor mempunyai kepadatan penduduk kedua tertinggi di malaysia iaitu selepas lembah kelang. Oleh itu, kebarangkalian untuk melahirkan pemain bolasepak yang berkualiti adalah tinggi. Saya berharap para guru sekolah/jurulatih PBNJ berganding bahu untuk mengenalpasti bakat-bakat yang ada di sekitar negeri dengan kaedah yang lebih teliti. Adakan klinik-klinik bolasepak di serata negeri untuk mengasah aspek teknikal pemain bawah 10 tahun.

3. PBNJ di seru untuk melahirkan lebih ramai jurulatih kelas 'A' bagi memperkasakan program pembangunan pemain bawah umur seperti pemain bawah 10, bawah 12, bawah 15 dan bawah 17 tahun. Seperti yang dilaksanakan di kelab-kelab gergasi eropah, jurulatih yang terbaik akan di tugaskan membimbing pemain bawah umur. Hasil yang terbaik, kita boleh saksikan produk akademi bolasepak FC Barcelona (Yang juga berwarna merah biru). Xavi, iniesta dan Messi dilahirkan menerusi program pembangunan yang sistematik.

4. PBNJ di seru untuk mempertingkatkan lagi kualiti Liga Johor. Apa yang ada ketika ini boleh dikatakan memuaskan, tetapi belum cukup memantapkan pasukan utama negeri. Kita maklum pasukan MP Muar kini bertarung di Liga perdana, cuma kita harap lebih banyak pasukan kelab seperti ini mampu melayakkan diri ke peringkat liga FAM dan seterusnya Liga perdana. TAMBAH jumlah kelab yang bersaing di liga Johor. 10 pasukan di divisyen satu, manakala 10 pasukan di divisyen dua. Setiap pasukan daerah boleh bekerjasama dengan majlis daerah tempatan dalam menyediakan infrastruktur yang lebih baik, seperti menambah baik kualiti stadium. (stadium kecil pun sudah memadai). Kerjasama ini boleh menguntungkan persatuan bolasepak daerah dan majlis daerah tempatan dari segi keuntungan jualan tiket dan kadar sewa stadium.

5. Untuk rancangan jangka pendek (3 tahun), saya cadangkan kepada PBNJ untuk meningkatkan pelaburan dari segi gaji pemain. Ini penting bagi menarik minat pemain yang lebih berpengalaman dan berstatus pemain kebangsaan. Sebagai contoh, Safee Sali di tawarkan USD 10,000.00 (anggaran kasar) oleh kelabnya Pelita Jaya. PBNJ tak perlu berbelanja sehingga RM 30,000.00 bagi seorang pemain, tetapi PBNJ perlu ambil risiko jangka pendek dengan menawarkan gaji sekitar RM 15,000.00/sebulan bagi pemain status 'national player'. Ini realiti bolasepak zaman moden. Pemain tidak boleh dibayar gaji terlalu mahal, dan juga TIDAK boleh dibayar terlalu murah. Selain gaji, PBNJ juga diseru menambah lain-lain 'benefit' seperti elaun rumah, elaun pengangkutan dan lain-lain.

6. PBNJ disaran meningkatkan lagi strategi pemasarannya, atau 'Marketing Arm'. Strategi pemasaran sangat penting bagi menjana hasil pendapatan PBNJ dan juga 'branding' kesemua produk yang berkaitan dengan bolasepak Johor. Kerjasama dengan penaja-penaja PBNJ boleh mendatangkan minat peminat bolasepak Johor, lantas menambahkan lagi kehadiran penyokong ke stadium. PBNJ boleh tubuhkan koperasi Bolasepak Johor sebagai anak syarikat. Perniagaan yang diuruskan koperasi boleh mendatangkan keuntungan yang tinggi. Tawarkan 'share' atau keahlian kepada penyokong-penyokong Johor, bagi memberikan mereka pulangan yang berbaloi apabila mnyertai kelab penyokong jengking.

7. PBNJ disaran untuk jalin kerjasama dengan UITM atau mana-mana institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian ijazah sains sukan. Oleh itu, pemain yang berumur 17 tahun (lepasan SPM) boleh mengikuti kursus secara sambilan. Pengajian di dalam bidang sains sukan boleh membantu pemain-pemain dari segi meningkatkan pengetahuan dan membuka pilihan untuk menjadi guru/tenaga pengajar/pentadbir sukan suatu hari nanti apabila mereka bersara dari bermain bolasepak secara profesional. kelayakan akademik seperti ini dapat mengurangkan kerisauan ibu bapa terhadap masa depan anak-anak mereka. Ini juga bagi memupuk sifat menggalakkan anak-anak untuk aktif bersukan.

8. Swastakan PBNJ. Ini bermaksud perlu mengubah sedikit terma-terma di perlembagaan PBNJ bagi memberi laluan pengusaha-pengusaha swasta menguruskan PBNJ. Akan tetapi, PBNJ harus menilai dengan terperinci sebelum menjual pemilikan kepada mana-mana individu di Malaysia. Mungkin di kalangan rakyat Johor, ada yang kaya seperti Roman Abramovich (pemilik Chelsea). Apabila sudah diswastakan, PBNJ akan dipacu seperti sebuah syarikat yang berorientasikan keuntungan baik di atas padang, maupun di luar padang.

9. Dalam banyak-banyak cadangan di atas, saya berharap PBNJ sekurang-kurangnya akan mempertimbangkan dua atau tiga teguran/cadangan saya supaya di bawa ketengah demi mengembalikan kecemerlangan bolasepak Johor... Ikhlas dari anak Johor yang merantau di negeri orang.

Wednesday, May 4, 2011

Peranan dan pengaruh pemain sayap dalam perlawanan


1. Di era bolasepak moden ini, kebanyakan pasukan yang mengamalkan falsafah menyerang pastinya akan menggunakan khidmat 'wingers' atau dalam bahasa Malaysia dikenali sebagai pemain sayap. Tidak terkecuali di Malaysia, pemain sayap sememangnya berperanan besar dalam menentukan halatuju dan meningkatkan peluang kemenangan sesuatu pasukan.

2.Peranan utama pemain sayap adalah membantu pasukan menyerang dari bahagian tepi padang sama ada bahagian kiri atau kanan. Mereka berperanan untuk melebarkan permainan ke bahagian tepi padang (menghampiri garisan sisi padang) bagi mengelakkan kesesakan di kawasan tengah padang yang lazimnya akan di tentang hebat pasukan lawan. Pemain sayap akan menggunakan kelebihan dan ruang yang lebih di bahagian sisi padang bagi melancarkan serangan. Ketika bertahan, mereka juga berperanan untuk membantu menghalang pergerakan lawan di bahagian berkenaan.

3. Pengaruh pemain sayap di era bolasepak moden ini amat besar. Pemain sayap yang berkaliber sering menimbulkan rasa gerun kepada pertahanan lawan, sama seperti kehadiran penyerang yang berbisa. Mereka juga akan mengundang rasa hormat dari pasukan lawan. Secara tidak langsung, pengaruh ini akan mendominasi psikologi sebelum bermulanya sesuatu perlawanan.

4. Saya berpendapat, dengan kaedah latihan yang ada di Malaysia sekarang, belum mencukupi untuk melahirkan pemain sayap yang bertaraf asia. Ya, kita kini mempunyai beberapa pemain sayap yang bagus dan berkualiti, tetapi usaha perlu diteruskan untuk mengasah bakat secara sistematik pemain-pemain muda kita. Pemain-pemain muda terutamanya di sekolah sukan, hendaklah diberi diet yang terbaik bagi membantu mereka membina fizikal yang terbaik, setanding dengan peranan mereka sebagai pemain sayap.

5. Dari sudut taktikal, jurulatih perlu menekankan aspek 'bila' masa yang sesuai untuk pemain sayap menggelecek, dan 'bila' juga masa yang sesuai untuk pemain sayap ini membuat hantaran mudah kepada rakan. Berada di kedudukan yang betul untuk menerima bola, bagi memudahkan rakan 'midfielder' menghantar bola kepada pemain-pemain sayap ini.

6. Saya menaruh harapan tinggi supaya Malaysia akan terus melahirkan ramai pemain sayap yang berkualiti tinggi dan seterusnya membantu meningkatkan ranking Malaysia di dunia....

Monday, May 2, 2011

Kem Bola: Langkah terpuji

1. Saya berkesempatan menonton rancangan kem bola di astro Arena pukul 9.30 malam tadi. Program yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Pulau Pinang untuk pemain bawah 14 tahun itu telah menarik penyertaan lebih 200 remaja tempatan.

2. Ada 8 orang jurulatih yang terlibat dengan program ini.

3. Sesi latihan dibahagikan kepada beberapa acara, seperti Dynamic warm up, ball feeling, ball control dan sebagainya. Yang paling menarik, di acara ball control, bagi mereka yang menimbang bola kurang dari 60 kali dikira sebagai lemah!

4. tahniah kepada adik Nik Khairul Anuar Iskandar yang akan menjalani latihan bersama Ajax Amsterdam Jun depan.

5. Di harapkan program seperti ini akan dapat diperbanyakan di negeri-negeri lain untuk perkembangan sihat bolasepak Malaysia.