1. Walaupun pasukan kebangsaan gagal meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia, namun saya percaya usaha untuk memajukan sukan bolasepak mesti diteruskan.
2. Seperti yang pernah saya tekankan sebelum ini, ada tiga faktor utama kejayaan sesebuah pasukan kebangsaan. (i) Liga Domestik yang kompetitif serta berkualiti di semua aspek. (ii) Program pembangunan pemain bawah umur, remaja dan pelapis yang sistematik dan berkesan (iii) Bilangan pemain yang dieksport ke luar negara.
3. Tetapi untuk hari ini, saya akan lebih menulis tentang bagaimana untuk menjadikan liga Super Malaysia menjadi lebih kompetitif dan menguntungkan dari sudut komersial. Walaubagaimanapun, kita jangan lupa tugas utama adalah untuk membina sebuah pasukan kebangsaan yang kukuh dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Dengan kata lain, Liga Super perlu berperanan sebagai penyumbang utama pemain kebangsaan dan memudahkan tugas ketua jurulatih. Ya, kita akan membantu Datuk K Rajagobal.
4. Saya bersetuju jika pasukan yang MAMPU sahaja untuk membeli pemain import. Kita sedar objektif kemasukan pemain import adalah untuk meningkatkan mutu Liga, namun dalam masa yang sama kita mesti realistik dengan kedudukan kewangan sesetengah persatuan bolasepak negeri. Oleh itu, saya tegaskan kemasukan pemain import hanyalah sebagai pilihan (Optional) dan bukan sesuatu yang wajib.
5. Dalam masa yang sama, saya sarankan agar Jawatankuasa Pertandingan meletakkan satu syarat wajib kepada semua pasukan yang bertanding. Syarat wajib yang saya sarankan ialah: setiap pasukan yang bertanding di liga super hendaklah menurunkan minima 2 orang pemain yang berumur bawah 23 tahun. Oleh itu akan ada keseimbangan di dalam setiap pasukan.
6. Pasukan yang berkemampuan akan menurunkan 2 orang pemain import serta 2 orang pemain bawah 23 tahun. Situasi ini akan mengekalkan peluang anak-anak muda untuk menembusi pasukan senior dan ia juga membolehkan pemain-pemain muda mempelajari teknik-teknik yang bermutu tinggi daripada rakan import mereka.
7. Kesimbangan perlu ada supaya kualiti liga dan kebangkitan pasukan kebangsaan dapat bergerak seiring. harapan saya agar bolasepak negara akan terus berkembang dan menjadi industri yang pesat suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment