Friday, August 5, 2011

FAM dan semua FA negeri perlukan Pengarah teknikal

1. Setelah agak reda kritikan terhadap jurulatih negara, Datuk K Rajagobal tentang isu teknik dan taktik, maka kini saya berasa sesuai untuk membicarakan pula tentang hal yang lebih kurang serupa.

2. Saya tegaskan sekali lagi, jawatan pengarah teknikal atau pengarah bolasepak (Director of football) bagi sesetengah kelab di eropah telah diwujudkan sejak sekian lama. Bagi saya peranan pengarah teknikal ini sangat penting, asalkan ianya tidak mengganggu tugas jurulatih utama terhadap pasukan senior.

3. Mengapa jawatan pengarah teknikal diperlukan? Seseorang yang dilantik ke jawatan pengarah teknikal selalunya diberi tugas utama untuk membangunkan program di peringkat akar umbi seperti pemain bawah umur. Pengarah teknikal akan dibantu sepasukan jurulatih yang bertauliah untuk menjayakan program pembangunan pemain muda seperti di akademi bolasepak.

4. Oleh itu, kita nampak peranan pengarah teknikal akan menentukan corak pemain yang bakal dihasilkan oleh sesebuah akademi bolasepak. Jika seseorang pengarah Teknikal mengamalkan falsafah bolasepak yang positif, maka akan lahirlah generasi pemain yang positif. Pemain-pemain muda akan diperkayakan dengan pelbagai ilmu teknik dan taktik semasa berguru di akademi di bawah kelolaan Pengarah Teknikal.

5. Seperti yang pernah saya tulis dulu, kejayaan La Masia (sekolah bolasepak FC Barcelona) menghasilkan pemain-pemain yang hebat bermula dari program remaja yang juga hebat. Struktur La Masia sangat tersusun sehingga mereka mengambila kira semua aspek untuk membangunkan seseorang pemain muda itu.

6. Pengarah di La Masia, Carles Folguera pernah berkata "Why did Messi, Iniesta, Xavi, Pedro, for example, come out of here who are just 5ft tall? Because our principal value is not the physical aspect. It's the talent. It's the ability. This has nothing to do with height."

Sumber - http://www.thesun.co.uk/sol/homepage/sport/football/3404939/Meet-Barcelonas-unsung-heroes.html

7.  Sekarang kita lihat senario di Malaysia. Jika semua Persatuan Bolasepak Negeri mempunyai pengarah Teknikal dan jabatan yang diketuainya tersusun serta lengkap, maka saya percaya Malaysia akan mampu menghasilkan pemain yang berkualiti untuk bersaing di Liga Super. Pemain-pemain yang berkualiti ini akan bersaing dan menghasilkan kelompok yang besar untuk dipanggil ke skuad kebangsaan. 

8. Pasukan kebangsaan perlukan skuad yang besar. Ini bermaksud kelompok pemain yang bersedia untuk menyarung jersi kebangsaan dan bermain di tahap yang maksimum mestilah ramai. Sekiranya beberapa pemain utama tercedera ataupun menjalani penggantungan, maka jurulatih akan mempunyai pilihan lain bagi mengisi kekosongan itu. Apabila jurulatih mempunyai banyak pilihan, maka ketika itu perubahan strategi taktikal boleh dilakukan dengan lebih mudah.

9. Dalam masa yang sama, jangan lupa bahawa seseorang pengarah Teknikal tidak boleh masuk campur dengan urusan pasukan senior. Ini kerana pasukan senior terletak di bawah tanggungjawab penuh ketua jurulatih yang telah dilantik. Pengarah Teknikal hanya membantu dari segi memberi cadangan pemain-pemain muda yang difikirkan telah bersedia untuk memasuki pasukan senior.

10. Saya tegaskan sekali lagi, FAM dan persatuan bolasepak negeri wajib memiliki pengarah teknikal untuk kesinambungan berterusan kecemerlangan bolasepak negara.

No comments:

Post a Comment