Friday, September 2, 2011

Mencari perlawanan persahabatan bermutu-"Hidupkan semula Pestabola Merdeka"

1. Ketika rakyat Malaysia masih meraikan hari kemerdekaan dan aidil fitri, pasukan bolasepak jiran tetangga kita iaitu Thailand, Singapura dan Indonesia pula sedang berhempas pulas bersaing di pentas asia bagi pusingan kelayakan piala dunia Brazil 2014.

2. Mereka perpeluang untuk menghadapi 6 perlawanan kompetitif di peringkat asia bagi merebut tempat yang seterusnya. Malaysia yang gagal ke pusingan ketiga terlepas peluang yang disebutkan tadi, bahkan menghadkan pengalaman pemain-pemain muda negara bertarung dengan pasukan-pasukan terbaik rantau asia.

3. Walaupun begitu, diharapkan pengurusan pasukan harimau agar tidak berputus asa, malah terus berusaha mencari peluang bagi memantapkan lagi permainan pasukan negara. Oleh kerana kita gagal ke pusingan ketiga, maka saya cadangkan agar Malaysia merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan kelas A secepat yang mungkin.

4. Momentum ini perlu diteruskan. Kita mempunyai skuad yang muda, masih dinobat sebagai raja asia tenggara. Oleh itu kita harus mengorak langkah agar Malaysia mampu bersaing di peringkat asia pula.

5. Berbalik kepada cadangan saya tadi, ada dua jenis perlawanan persahabatan, iaitu perlawanan lazim yang membabitkan dua pasukan, atau pun pertandingan persahabatan atau 'friendly tournament'. Kali ini saya mahu tekankan kepada jenis yang kedua, iaitu 'friendly tournament'.


6. Saya cadangkan kepada FAM agar dihidupkan semula kejohanan Pestabola Merdeka setiap tahun bagi memenuhi perancangan skuad negara. Kejohanan persahabatan ini perlu bagi memberi skuad kebangsaan perlawanan ujian yang berkualiti, bergantung kepada pasukan yang dijemput.

7. Saya cadangkan kejohanan ini mengikut format kumpulan A dan B, yang mana setiap kumpulan mempunyai 4 pasukan. Saya juga cadangkan agar Malaysia di kumpulan A, manakala Malaysia B-23 di kumpulan B.

8. Jika berkemampuan, saya cadangkan agar 2 pasukan dari eropah, 2 pasukan dari amerika selatan dan 2 pasukan dari afrika dijemput ke kejohanan ini. Untuk memudahkan pasukan jemputan untuk hadir ke kejohanan ini, saya cadangkan pestabola merdeka di adakan pada sekitar awal jun atau hujung julai, kerana kebanyakan liga bolasepak eropah ketika itu sedang berehat.

9. FAM perlulah meneliti jadual liga tempatan agar tidak berlaga dengan tuntutan perlawanan antarabangsa. Pestabola Merdeka perlu dihidupkan semula bagi membantu skuad negara bermain dengan pasukan yang berkualiti.

No comments:

Post a Comment