Thursday, July 14, 2011

Kapitalisme dan penjajahan kuasa barat.

1. Saya rasa terpanggil untuk berbicara tentang realiti ekonomi pada hari ini. Ekonomi, lanskap sosial global pada hari ini. Hujah-hujah yang akan saya utarakan sebentar nanti sangat berkait rapat dengan bolasepak kita. Maka sama-sama kita renungkan...

2. Jika kita singkap semula ke sejarah negara kita, ada satu sebab utama mengapa penjajah Portugal, Belanda, Jepun dan British sanggup mengembara beribu-ribu batu jauhnya  untuk datang ke sini. Ya, mereka datang ke tanah kita untuk mengaut keuntungan komersial. Dahulunya Malaya kaya dengan sumber bijih besi dan rempah. Maka dengan dua komoditi utama ini telah menarik minat samseng-samseng kapitalis untuk merampas dan menambah kekayaan mereka. Maka berlakulah penjajahan secara fizikal sehingga 31 Ogos 1957.

3. Apa itu kapitalis? Definasinya banyak serta berbeza-beza mengikut pandangan pakar-pakar ekonomi. Biar saya gambarkan dengan bahasa mudah, KAPITALIS adalah golongan minoriti di negara-negara barat yang mempunyai sumber modal/kewangan yang banyak, bersikap 'opportunis' (mengambil kesempatan), menguasai perusahaan utama, berpendirian bahawa keuntungan perlu dimaksimakan dan dalam masa yang sama kos perlu dikurangkan dengan apa cara sekalipun (tenaga pekerja menjadi mangsa manupilasi golongan KAPITALIS) dan yang paling jelas, mereka beranggapan kekayaan itu milik mutlak mereka tanpa mempedulikan ketidakseimbangan pendapatan golongan miskin. Di dalam sistem KAPITALIS, yang kaya akan menjadi semakin kaya, manakala yang miskin tidak terbela.

4. Begitulah juga sikap para penjajah yang saya sebutkan tadi. Mereka datang ke tanah kita dan memanupilasi tenaga kerja rakyat tempatan, memerah keringat datuk moyang kita, menghisap segala kekayaan sumber bumi negara kita, tapi apa yang tinggal selepas 31 Ogos 1957, adalah kemiskinan tegar rakyat Malaya ketika itu.

5. Bulan ini, Malaysia dilanda demam EPL (English Premier League) walaupun liga berkenaan belum lagi berlangsung. Bagaimanapun, seperti musim-musim sebelumnya, setiap pasukan yang bertanding akan menjalani sesi latihan pra-musim. 'Branding' atau penjenamaan liga tersebut sangat kuat pengaruhnya dewasa ini. Hampir setiap negara di pelusuk dunia mengenali apa dia liga tersebut. Struktur organisasi liga tersebut sangat kukuh hingga mereka mampu menjana berbilion pound setahun. Malah, mereka berjaya menarik minat pelabur untuk menanam saham mereka dengan beberapa kelab di liga berkenaan.

6. Saya anggap kehadiran 3 kelab bolasepak Inggeris ke Malaysia ini sama dengan perangai lama datuk moyang mereka. Atas nama latihan pra-musim, mereka hadir ke sini untuk memasarkan produk mereka, jenama mereka dan di atas padang, mempamerkan kemahiran bolasepak mereka yang menjadi idola kepada ribuan kanak-kanak. Melalui bolasepak, kuasa barat kembali lagi ke bumi Malaya untuk meluaskan kuasa KAPITALISME mereka.



7. Bagi mereka yang melanggan stesen TV berbayar, setiap bulan kita akan membayar bil -> Stesen TV berbayar akan membayar ESPN atau mana-mana syarikat yang memegang hak penyiaran. -> ESPN atau syarikat pemegang hak penyiaran akan membayar kepada EPL selaku penganjur liga. -> EPL selaku pengajur liga akan membayar wang hak penyiaran TV kepada semua kelab yang bertanding di liga berkenaan. Kesimpulannya, anda serta ribuan warga asia yang melanggan TV berbayarlah yang telah menyumbang kepada kekayaan liga Inggeris tersebut.

8. Strategi pemasaran yang berkesan ini telah menyebabkan kita di Malaysia lebih gemar menyokong bolasepak Inggeris berbanding bolasepak tempatan. Memang benar skill mereka jauh lebih baik berbanding pemain kita, namun apa yang saya mahu tegaskan di sini, sudah sampai masanya untuk kita salurkan wang kita ke arah pembangunan bolasepak tempatan.

9. Dari segi teknikal, jika mahu mengadakan perlawanan persahabatan untuk skuad kebangsaan, lebih elok untuk Malaysia diuji dengan sebuah pasukan kebangsaan negara lain dan bukannya pasukan kelab. Jika benar penganjur ingin membawa pasukan ini ke Malaysia lagi, maka aturkanlah perlawanan persahabatan menentang juara liga Super iaitu pasukan negeri atau kelab.

No comments:

Post a Comment