Sunday, July 10, 2011

Analisa juara Liga Super Malaysia 2011: Kelantan

1.Saya ucapkan tahniah kepada KAFA kerana akhirnya pasukan Kelantan berjaya menjuarai Liga Super Malaysia. Saya telah ikuti perkembangan pasukan ini beberapa tahun kebelakangan ini, dan kejuaraan yang dikecapi ini tidak mengejutkan saya.

2. Ada 2 faktor utama kejayaan pasukan kelantan. (i) Pengurusan KAFA yang berdaya maju serta profesional. (ii) Penyokong setia Kelantan iaitu The Red Warriors.



3. (i) Pengurusan KAFA yang berdaya maju serta profesional. Sejak Tan Sri Annuar Musa mengambil alih KAFA sekitar 2007, saya dapat lihat banyak perubahan positif yang dialami KAFA. Yang paling saya ingat, Tan Sri telah membawa beberapa pemain berkualiti untuk memperkuatkan cabaran Kelantan. Indra Putra mahyuddin, Khalid Jamlus serta Norfarhan telah dibawa ke Kota Bharu dan ini adalah isyarat jelas Tan Sri selaku presiden mahu Kelantan bangkit untuk bersaing dengan serius.

4. Saya juga dimaklumkan bahawa kebajikan pemain dijaga dengan baik. Gaji yang lumayan, pelbagai bonus dan insentif diperkenalkan. Begitu juga dengan penubuhan akademi bolasepak the red warriors atau ARMY. KAFA telah menjalin kerjasama dengan pelbagai syarikat melalui penajaan. Pendekatan Tan Sri yang 'business friendly' telah menarik rakan niaga yang lain untuk menaja KAFA. Kita boleh lihat nama-nama komersial seperti 'Happy', 'Alhamra', 'Yusmira' dan 'Sinar' terpampang di jersi Kelantan.  Ini jelas memperlihatkan kesungguhan KAFA untuk menjadikan persatuan itu sebagai organisasi yang dinamik serta sesuai di jadikan contoh untuk diikuti oleh persatuan negeri yang lain.

5. (ii) Penyokong setia Kelantan iaitu The Red Warriors.  Faktor kedua pula adalah pemain ke 12, iaitu penyokong setia the red warriors. Kehadiran yang sentiasa penuh ketika Kelantan beraksi di Stadium Sultan Mohamad ke 4 serta rombongan ke gelanggang lawan telah membantu pasukan itu beraksi dengan baik. kehadiran yang ramai itu juga telah membantu menambah tabung KAFA. Jika 30,000 penonton memenuhi stadium itu, anggaran sebanyak RM 300,000.00 secara kasar diperolehi KAFA setiap kali perlawanan diadakan di Kota Bharu. Sumbangan dari segi kewangan dan sokongan moral terbukti membantu Kelantan sepanjang musim ini sehingga bergelar juara.

6. Dari segi teknikal pula, pasukan yang telah memenangi Piala Malaysia pada tahun lepas, mempunyai 'foundation' atau tulang belakang yang baik untuk diasah sehingga dapat menyerlahkan persembahan maksimum. Dari B Sathianathan hingga ke Datuk M. Karathu, barisan kejurulatihan yang berpengalaman juga dilihat antara faktor kebangkitan Kelantan. barisan pemain yang berdisiplin serta berbakat, dari khairul Fahmi Che mat hingga Norshahrul Idlan Talaha mahupun barisan pemain simpanan seperti Nizad Ayub, Faris Daniel dan Rizal Fahmi.

7. Semoga mereka akan meneruskan kecemerlangan di peringkat domestik serta asia seperti piala AFC tahun depan. Saya juga berharap pasukan Kelantan terus dapat menghasilkan pemain-pemain yang berkualiti lantas dapat membantu pasukan kebangsaan mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment