Friday, September 16, 2011

Persatuan Negeri wajib bantu pembangunan kelab-kelab bolasepak

1. Pembangunan bolasepak sering dikaitkan dengan pembabitan di peringkat akar umbi. Seluruh pelusuk kampung, mukim, daerah akan mempunyai organisasi atau struktur pertandingan bolasepak mereka sendiri.

2. Jika struktur di peringat akar umbi aktif dan berdaya maju, maka kita akan dapat lihat aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bolasepak sering dijayakan disana-sini. Kemana saja kampung, mukim yang kita lawati, pasti akan ada perlawanan bolasepak dilangsungkan. Setidak-tidaknya, kita juga berpeluang melihat beberapa siri klinik bolasepak dijalankan untuk kanak-kanak.

3. Perkembangan sihat di peringkat akar umbi amat penting. Untuk menjadi maju di dalam bolasepak, kita tidak boleh bergantung harap kepada kemeriahan liga Super semata-mata. Oleh itu, pembabitan seberapa ramai pemain di akar umbi termasuk penubuhan kelab-kelab amatur memainkan peranan penting bagi tujuan pembangunan tadi.



4. Kini, di liga Super dan liga perdana terdapat beberapa kelab yang turut bersaing. Johor FC, Felda United, T-Team, PKNS, Sime Darby, MP Muar FC dan SDM Navy telah merancakkan lagi perkembangan bolasepak di negara kita.

5. Walaubagaimanapun, saya berharap lebih banyak pasukan bertaraf kelab dapat dibangunkan serta dibantu dari segi kewangan dan logistik. Ini kerana jika lebih banyak kelab yang berjaya mara sehingga ke peringkat Liga Perdana dan liga Super, itu adalah petanda bahawa bolasepak di peringkat akar umbi telah menunjukkan perkembangan positif.

6. Persatuan bolasepak negeri perlu bantu kelab-kelab bolasepak di negeri masing-masing bagi mencapai matlamat yang telah disebutkan tadi. Bantuan dari segi peruntukan kewangan, nasihat teknikal, pembangunan aset seperti stadium, pemasaran dan komersial perlu di salurkan kepada mana-mana kelab yang berpotensi.

7. Saya berharap kesemua kelab yang masih bersaing di dua liga tertinggi di Malaysia itu, akan terus berdaya maju dan kekal kompetitif. Lebih banyak kelab yang terlibat, lebih baik untuk bolasepak negara, dan juga baik untuk pasukan kebangsaan.

No comments:

Post a Comment