Saturday, July 23, 2011

United Nations (5) - Made In Malaysia (3): Masih ada harapan

1. Sudah tentu ramai peminat bolasepak tempatan kecewa dengan keputusan ini. Melepaskan gol-gol mudah kepada seteru utama memang susah untuk diterima. Bagaimanapun, saya ingin mengupas beberapa aspek taktikal ataupun teknikal yang boleh kita sama-sama renungkan.

2. Sesudah mendahului pada minit pertama melalui Safee Sali, Pemain-pemain Malaysia nampak hilang fokus dan mula bersikap sambil lewa. Mudah hilang bola, mengasari lawan di kawasan-kawasan yang boleh mengancam kubu negara. Safiq Rahim dan Amar Rohidan tidak bermain seperti biasa, malah kegugupan Ismail Farouqi terserlah. Kegagalan menguasai bahagian tengah menjadi punca Singapura mudah menyalurkan bola kepada pemain-pemain sayap kelahiran China iaitu Qui Li dan Shia Jiyi.

3. Keputusan Datuk k Rajagobal menamakan Ismail farouqi dan Ahmad Fakri di dalam kesebelasan utama terbukti kesilapan besar. Selain formasi yang baru, posisi sayap kanan yang diberi kepada Ahmad Fakri tidak berkesan langsung. Ismail farouqi yang baru mendapat kemunculan pertama untuk pasukan kebangsaan gagal menyesuaikan diri dengan suasana bolasepak antarabangsa.

4. Persembahan hambar penjaga gol Sharbinee juga perlu diberi perhatian serius oleh Datuk K Rajagobal. 3 gol pertama yang dilepaskan telah memperlihatkan kurangnya percubaan beliau untuk sekurang-kurangya melayangkan badan bagi menepis bola. Sekiranya khairul Fahmi masih cedera, saya cadangkan agar Nasril Nourdin diturunkan untuk perlawanan kedua di Bukit Jalil nanti.

5. Gandingan pertahanan tengah Muslim Ahmad serta Fadhli Shas mula meragukan saya. Sejak memenangi piala AFF disember lalu, mereka telah membina reputasi sebagai pasangan pertahanan yang mantap dan efektif. Namun, seperti pemain bolasepak biasa yang lain, mereka juga akan melalui pasang surut dari segi persembahan. Mungkin ramai yang lupa mereka baru berumur awal 20 an, tetapi 'expectation' yang tinggi oleh peminat mungkin memberi tekanan kepada mereka. Mungkin Datuk rajagobal perlu mengkaji semula posisi ini agar tidak menjadi terlalu automatik kepada pemain tertentu.

6. Walaupun persembahan yang kurang memberangsangkan, namun dari segi positif, kita telah berjaya mendapatkan 3 gol ditempat lawan. Oleh itu, kita perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 di Bukit Jalil nanti. Saya berpendapat kita perlu perbaiki mutu bertahan dan mencari gol awal untuk mengurangkan tekanan.

7. Saya berharap pemain-pemain dan penyokong tidak berputus asa. Kita masih ada tugas yang perlu diselesaikan di Bukit Jalil Khamis ini. Dan tak mustahil, tugas tersebut boleh diselesaikan..insya Allah.  TANAH TUMPAHNYA DARAHKU!!

Friday, July 22, 2011

Perlawanan dengan Singapura ibarat sebuah perlawanan akhir

1. Ramai yang semakin bercakap tentang perlawanan kelayakan pusingan ke dua Piala Dunia di antara Singapura dan Malaysia di Stadium Jalan besar esok.

2. Turun sebagai juara asia tenggara, Malaysia dianggap sebagai pilihan untuk pertemuan kali ini. Namun, bagi saya, Singapura tidak boleh dipandang remeh oleh barisan muda negara. Mereka adalah pasukan yang sudah lama bermain bersama dan dibawah jurulatih yang berpengalaman.

3. Kepada pemain dan penyokong, perlawanan ini sangat bermakna kerana ia membabitkan rasa maruah serta soal patriotisme. Setelah lama bolasepak Malaysia mengalami kemerosotan, senario terkini menggambarkan kebangkitan semula bolasepak Malaysia. Dulu Singapura boleh berbangga dengan pemain importnya, namun kini Malaysia boleh berbangga dengan produk muda tempatan yang terbukti berbakat.

4. Maka bagi setiap pemain yang terpilih esok, berbanggalah kerana kamu adalah anak Malaysia yang terpilih untuk mengepalai panji 'HARIMAU MALAYA' bagi membaham seteru lama, sang singa. Jangan peduli kata-kata media lawan, tumpukan perhatian terhadap perlawanan seperti mana amukan harimau di Jakarta disember lalu.

5. Ini adalah saat terbaik untuk kamu wahai anak-anak Malaysia. Saat terbaik untuk berbakti kepada tanah tumpahnya darah yang tercinta. Biarkan mereka kenang amukan harimau malaya di Singapura pada 23 Julai 2011 sebagai igauan yang tak dapat dilupakan sampai bila-bila.

Wednesday, July 20, 2011

K Gurusamy boleh jadi penentu pertarungan bahagian tengah

1. Menjelang pertemuan yang dinanti-nantikan dengan Singapura sabtu ini, saya ramalkan pertarungan sengit bakal berlegar di kawasan tengah padang.

2. Saya dimaklumkan Singapura gemar bermain dengan hanya seorang penyerang tunggal, ini bermakna mereka akan dibarisi 5 orang pemain tengah yang bersedia untuk menyerang mahupun bertahan.

3. Dengan barisan pemain yang telah diumumkan petang tadi, saya berpendapat kita harus memperketatkan bahagian tengah pasukan negara. Walaupun Datuk K Rajagobal gemar dengan formasi 4-4-2 sejak dulu lagi, tapi saya berharap untuk perlawanan pertama di Jalan besar beliau perlu lakukan sedikit perubahan.

4. Saya terkilan dengan ketiadaan Shakir Shaari, namun saya percaya Amar rohidan mampu memikul tanggungjawab apatahlagi beliau cukup berpengalaman di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun, ramai yang terlupa bahawa kita juga mempunyai seorang pemain tengah yang sangat efektif, iaitu K Gurusamy.

5. Terbukti berkesan ketika memenangi pingat emas sukan SEA, juga menjalankan tugas dengan baik ketika mengekang Lebanon baru-baru ini, saya percaya K Gurusamy memang sesuai untuk memegang peranan sebagai 'destroyer' atau perampas bola di tengah padang.


6. Secara peribadi, saya anggap beliau sebagai pelengkap kepada Safiq rahim di bahagian tengah yang mana Safiq lebih berkesan sebagai 'attacking midfielder'. Kini terserah kepada Datuk K Rajagobal samada untuk menurunkan Amar ataupun Gurusamy. Percayalah, sekiranya Gurusamy diturunkan, pasti bahagian tengah lebih mantap dan bertenaga.

7. Apapun, selamat berjuang wahai harimau!

Tuesday, July 19, 2011

Safiq Rahim wajar berhijrah ke Liga di luar negara

1. Pada ketika pasukan negara memperagakan aksi tidak konsisten, namun saya dapati kapten pasukan Safiq rahim telah berjaya memimpin pasukan dengan berkesan.

2. Beliau dilihat bekerja keras untuk menggerakkan jentera tengah serta sering menegur rakan yang kurang berfungsi dengan baik.

3. Komitmen serta iltizam yang tinggi ini wajar dicontohi pemain lain. Dalam masa yang sama, saya berpendapat Safiq kini mempunyai kualiti untuk bermain di luar negara.

4. Pada usia 24 tahun, merupakan usia yang sesuai untuk mengembara dan menambah pengalaman di perantauan. Liga Jepun, Korea, Australia, dan mana-mana liga di eropah sepatutnya menjadi destinasi untuk Safiq selepas ini.

5. Keupayaan beliau membantu negara memenangi emas sukan SEA, Piala AFF dan beberapa jaringan penting untuk skuad negara telah membuktikan keupayaan beliau dari segi teknikal. Saya berharap ada agen dari luar negara sudi membantu Safiq mencari kontrak profesional yang sesuai untuk beliau demi mengembangkan bakat yang ada.

6. Saya doakan semoga Safiq dan rakan-rakan terus bermain dengan cemerlang untuk skuad Harimau. Tanah tumpahnya darahku!

Monday, July 18, 2011

Pentingnya penguasaan bola di era bolasepak moden

1. Saya harus tegaskan sekali lagi isu ini, aspek teknikal yang perlu dikuasai pemain-pemain bolasepak di Malaysia.

2. Saya perhatikan anak-anak muda kita kurang sabar ketika mengatur serangan, kerapkali mengambil jalan mudah menghantar bola jauh (long ball) yang mana kebarangkalian untuk sampai tepat ke sasaran adalah rendah.

3. Bermula dari sekolah rendah, sekolah menengah hinggalah ke akademi bolasepak, anak-anak muda harus di didik untuk merasa selesa mengawal bola di kaki. kawalan dekat (close control) adalah intipati keyakinan seseorang pemain bolasepak.

4. Sesudah menguasai kawalan bola dekat ini, pemain harus berfikir untuk bergerak secara berkumpulan. bermain sebagai satu pasukan. Dari penjaga gol hinggalah ke penyerang. Yang memiliki bola harus bermain pantas menggerakkan bola kepada rakan sepasukan, manakala yang tidak memiliki bola (off the ball) harus membebaskan diri dari kawalan lawan dan mencipta ruang kosong bagi memudahkan kawan yang memiliki bola tadi untuk memberi bola kepadanya.

5. Sudah ada tanda-tanda pemain kebangsaan kini berkeyakinan untuk mengawal, menggelecek serta bermain satu dua di tengah padang. Cuma yang perlu dipertingkatkan lagi adalah, mereka perlu yakin dengan kemampuan diri sendiri dan tidak membuang bola dengan mudah.

6. Safiq rahim serta Amar Rohidan (ataupun Shakir Shaari) perlu menguasai bahagian tengah dengan lebih kemas, serta dibantu Norsharul Idlan yang kerap turun ke bawah untuk mengambil bola. Bagi saya, pasukan yang menguasai kawalan bola (ball possesion) yang lebih akan memiliki peluang yang lebih cerah untuk menjaringkan gol lantas memenangi perlawanan.

Sunday, July 17, 2011

Harimau perlu perbaiki disiplin taktikal

1. Setelah meneliti dua perlawanan Malaysia menentang 'penjajah' baru-baru ini, saya rumuskan satu perkara penting. DISIPLIN TAKTIKAL.

2. Kita memang maklum walaupun pasukan penjajah tidak bermain di tahap 100% dari segi komitmen dan kecergasan namun kebanyakan gol yang dilepaskan adalah berpunca dari kelalaian pasukan Malaysia sendiri.

3. Pada perlawanan sabtu lalu, setelah mengikat lawan menerusi sepakan percuma taraf dunia kapten Safiq Rahim, Malaysia kembali lalai di separuh masa kedua hingga membenarkan pasukan penjajah mendahului 1-4. Gol-gol yang dilepaskan berpunca dari longgarnya disiplin bahagian tengah dan pertahanan. Kita kerap hilang bola dengan mudah, tiada komunikasi antara pemain, 'marking' atau kawalan yang longgar apabila bola di kaki lawan.

4. Kita perlu belajar bagaimana pasukan penjajah ini mampu mengawal penguasaan bola (possesion) serta gerakan-gerakan berpasukan yang mampu menembusi kubu lawan dengan mudah.

5. Menjelang perlawanan sabtu ini menentang Singapura, saya harap Datuk Rajagobal memperkemaskan penguasaan bola, bertahan secara unit, dan meminimakan kesilapan di bahagian pertahanan. Mereka harus segera fokus kepada perlawanan 23 haribulan ini...Tanah Tumpahnya Darahku!!!

Thursday, July 14, 2011

Kapitalisme dan penjajahan kuasa barat.

1. Saya rasa terpanggil untuk berbicara tentang realiti ekonomi pada hari ini. Ekonomi, lanskap sosial global pada hari ini. Hujah-hujah yang akan saya utarakan sebentar nanti sangat berkait rapat dengan bolasepak kita. Maka sama-sama kita renungkan...

2. Jika kita singkap semula ke sejarah negara kita, ada satu sebab utama mengapa penjajah Portugal, Belanda, Jepun dan British sanggup mengembara beribu-ribu batu jauhnya  untuk datang ke sini. Ya, mereka datang ke tanah kita untuk mengaut keuntungan komersial. Dahulunya Malaya kaya dengan sumber bijih besi dan rempah. Maka dengan dua komoditi utama ini telah menarik minat samseng-samseng kapitalis untuk merampas dan menambah kekayaan mereka. Maka berlakulah penjajahan secara fizikal sehingga 31 Ogos 1957.

3. Apa itu kapitalis? Definasinya banyak serta berbeza-beza mengikut pandangan pakar-pakar ekonomi. Biar saya gambarkan dengan bahasa mudah, KAPITALIS adalah golongan minoriti di negara-negara barat yang mempunyai sumber modal/kewangan yang banyak, bersikap 'opportunis' (mengambil kesempatan), menguasai perusahaan utama, berpendirian bahawa keuntungan perlu dimaksimakan dan dalam masa yang sama kos perlu dikurangkan dengan apa cara sekalipun (tenaga pekerja menjadi mangsa manupilasi golongan KAPITALIS) dan yang paling jelas, mereka beranggapan kekayaan itu milik mutlak mereka tanpa mempedulikan ketidakseimbangan pendapatan golongan miskin. Di dalam sistem KAPITALIS, yang kaya akan menjadi semakin kaya, manakala yang miskin tidak terbela.

4. Begitulah juga sikap para penjajah yang saya sebutkan tadi. Mereka datang ke tanah kita dan memanupilasi tenaga kerja rakyat tempatan, memerah keringat datuk moyang kita, menghisap segala kekayaan sumber bumi negara kita, tapi apa yang tinggal selepas 31 Ogos 1957, adalah kemiskinan tegar rakyat Malaya ketika itu.

5. Bulan ini, Malaysia dilanda demam EPL (English Premier League) walaupun liga berkenaan belum lagi berlangsung. Bagaimanapun, seperti musim-musim sebelumnya, setiap pasukan yang bertanding akan menjalani sesi latihan pra-musim. 'Branding' atau penjenamaan liga tersebut sangat kuat pengaruhnya dewasa ini. Hampir setiap negara di pelusuk dunia mengenali apa dia liga tersebut. Struktur organisasi liga tersebut sangat kukuh hingga mereka mampu menjana berbilion pound setahun. Malah, mereka berjaya menarik minat pelabur untuk menanam saham mereka dengan beberapa kelab di liga berkenaan.

6. Saya anggap kehadiran 3 kelab bolasepak Inggeris ke Malaysia ini sama dengan perangai lama datuk moyang mereka. Atas nama latihan pra-musim, mereka hadir ke sini untuk memasarkan produk mereka, jenama mereka dan di atas padang, mempamerkan kemahiran bolasepak mereka yang menjadi idola kepada ribuan kanak-kanak. Melalui bolasepak, kuasa barat kembali lagi ke bumi Malaya untuk meluaskan kuasa KAPITALISME mereka.



7. Bagi mereka yang melanggan stesen TV berbayar, setiap bulan kita akan membayar bil -> Stesen TV berbayar akan membayar ESPN atau mana-mana syarikat yang memegang hak penyiaran. -> ESPN atau syarikat pemegang hak penyiaran akan membayar kepada EPL selaku penganjur liga. -> EPL selaku pengajur liga akan membayar wang hak penyiaran TV kepada semua kelab yang bertanding di liga berkenaan. Kesimpulannya, anda serta ribuan warga asia yang melanggan TV berbayarlah yang telah menyumbang kepada kekayaan liga Inggeris tersebut.

8. Strategi pemasaran yang berkesan ini telah menyebabkan kita di Malaysia lebih gemar menyokong bolasepak Inggeris berbanding bolasepak tempatan. Memang benar skill mereka jauh lebih baik berbanding pemain kita, namun apa yang saya mahu tegaskan di sini, sudah sampai masanya untuk kita salurkan wang kita ke arah pembangunan bolasepak tempatan.

9. Dari segi teknikal, jika mahu mengadakan perlawanan persahabatan untuk skuad kebangsaan, lebih elok untuk Malaysia diuji dengan sebuah pasukan kebangsaan negara lain dan bukannya pasukan kelab. Jika benar penganjur ingin membawa pasukan ini ke Malaysia lagi, maka aturkanlah perlawanan persahabatan menentang juara liga Super iaitu pasukan negeri atau kelab.

Sunday, July 10, 2011

Analisa juara Liga Super Malaysia 2011: Kelantan

1.Saya ucapkan tahniah kepada KAFA kerana akhirnya pasukan Kelantan berjaya menjuarai Liga Super Malaysia. Saya telah ikuti perkembangan pasukan ini beberapa tahun kebelakangan ini, dan kejuaraan yang dikecapi ini tidak mengejutkan saya.

2. Ada 2 faktor utama kejayaan pasukan kelantan. (i) Pengurusan KAFA yang berdaya maju serta profesional. (ii) Penyokong setia Kelantan iaitu The Red Warriors.



3. (i) Pengurusan KAFA yang berdaya maju serta profesional. Sejak Tan Sri Annuar Musa mengambil alih KAFA sekitar 2007, saya dapat lihat banyak perubahan positif yang dialami KAFA. Yang paling saya ingat, Tan Sri telah membawa beberapa pemain berkualiti untuk memperkuatkan cabaran Kelantan. Indra Putra mahyuddin, Khalid Jamlus serta Norfarhan telah dibawa ke Kota Bharu dan ini adalah isyarat jelas Tan Sri selaku presiden mahu Kelantan bangkit untuk bersaing dengan serius.

4. Saya juga dimaklumkan bahawa kebajikan pemain dijaga dengan baik. Gaji yang lumayan, pelbagai bonus dan insentif diperkenalkan. Begitu juga dengan penubuhan akademi bolasepak the red warriors atau ARMY. KAFA telah menjalin kerjasama dengan pelbagai syarikat melalui penajaan. Pendekatan Tan Sri yang 'business friendly' telah menarik rakan niaga yang lain untuk menaja KAFA. Kita boleh lihat nama-nama komersial seperti 'Happy', 'Alhamra', 'Yusmira' dan 'Sinar' terpampang di jersi Kelantan.  Ini jelas memperlihatkan kesungguhan KAFA untuk menjadikan persatuan itu sebagai organisasi yang dinamik serta sesuai di jadikan contoh untuk diikuti oleh persatuan negeri yang lain.

5. (ii) Penyokong setia Kelantan iaitu The Red Warriors.  Faktor kedua pula adalah pemain ke 12, iaitu penyokong setia the red warriors. Kehadiran yang sentiasa penuh ketika Kelantan beraksi di Stadium Sultan Mohamad ke 4 serta rombongan ke gelanggang lawan telah membantu pasukan itu beraksi dengan baik. kehadiran yang ramai itu juga telah membantu menambah tabung KAFA. Jika 30,000 penonton memenuhi stadium itu, anggaran sebanyak RM 300,000.00 secara kasar diperolehi KAFA setiap kali perlawanan diadakan di Kota Bharu. Sumbangan dari segi kewangan dan sokongan moral terbukti membantu Kelantan sepanjang musim ini sehingga bergelar juara.

6. Dari segi teknikal pula, pasukan yang telah memenangi Piala Malaysia pada tahun lepas, mempunyai 'foundation' atau tulang belakang yang baik untuk diasah sehingga dapat menyerlahkan persembahan maksimum. Dari B Sathianathan hingga ke Datuk M. Karathu, barisan kejurulatihan yang berpengalaman juga dilihat antara faktor kebangkitan Kelantan. barisan pemain yang berdisiplin serta berbakat, dari khairul Fahmi Che mat hingga Norshahrul Idlan Talaha mahupun barisan pemain simpanan seperti Nizad Ayub, Faris Daniel dan Rizal Fahmi.

7. Semoga mereka akan meneruskan kecemerlangan di peringkat domestik serta asia seperti piala AFC tahun depan. Saya juga berharap pasukan Kelantan terus dapat menghasilkan pemain-pemain yang berkualiti lantas dapat membantu pasukan kebangsaan mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

Thursday, July 7, 2011

Kelayakan Olimpik: Malaysia beruntung diundi bersama Jepun

1. Saya memang sudah lama mengharapkan pasukan olimpik Malaysia untuk diundi bersama satu kumpulan dengan gergasi bolasepak asia, Jepun.

2. Setelah undian diadakan petang tadi di rumah AFC, Malaysia diletakkan di dalam kumpulan C bersama-sama Jepun, Syria dan Bahrain.

3. Ada satu sebab mengapa saya anggap peluang diundi bersama pasukan Jepun sebagai rahmat. Sebab utama adalah untuk karier pemain-pemain Harimau Muda itu sendiri. Jika dilihat perlawanan pembukaan kumpulan ini, Malaysia akan memulakan kempen menentang Jepun di halaman mereka sendiri September ini.

4. Peluang bermain menentang Jepun akan menyajikan pentas terbaik untuk pemain muda mempamer kemampuan mereka di tahap yang tinggi. Sudah tentu setiap perlawanan yang membabitkan pasukan Jepun akan diikuti oleh setiap ahli komuniti bolasepak di negara berkenaan. Dalam hal ini, tidak berkecuali golongan 'scout' atau pencari bakat yang mewakili kelab-kelab utama J League.

5. Jika Malaysia mampu mengejutkan Jepun di halaman mereka sendiri, juga konsisten di semua 6 perlawanan kumpulan C, maka peluang pemain muda negara untuk memikat kelab-kelab utama Jepun menjadi semakin cerah. Mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh dan kerah setiap kemahiran yang ada untuk 6 perlawanan penting ini.

6. Jika Pemain muda negara ingin mengembangkan karier mereka dalam bolasepak, mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengejar kontrak profesional kelab bolasepak di Liga yang berkualiti seperti J League.

Sunday, July 3, 2011

Walaupun terluka, Harimau tetap mara ke pusingan kedua

1. Disember tahun lalu, walaupun tewas di tangan Indonesia 2-1 di jakarta, namun pasukan negara berjaya merangkul piala AFF hasil kelebihan agregat. Skrip yang hampir serupa berlaku sekali lagi sebentar tadi di Taipei.

2. Pasukan negara tewas 3-2 di tangan Chinese Taipei namun mara ke pusingan kedua hasil kelebihan jaringan di tempat lawan. Malaysia menang 2-1 rabu lalu di Bukit Jalil. Agregat 4-4 menunjukkan juara asia tenggara itu terpaksa bertungkus lumus menahan asakan pasukan yang dianggap bukan kuasa bolasepak benua asia.

3. Seperti tulisan saya sebelum ini, saya telah menjangkakan pasukan Malaysia sering didedahkan kelemahan mereka ketika bertahan. Pasukan kita tidak mempunyai masalah untuk mencipta gerakan, mampu membuat hantaran yang kemas, mampu menggerakkan pemain-pemain sayap untuk membuat larian penting ke kubu lawan, namun sekali lagi kita didedahkan oleh Chinese Taipei bahawa pasukan Malaysia agak 'lightweight' atau longgar ketika bola di kaki lawan.

4. Saya pernah mencadangkan supaya formasi diubah sedikit bagi mengekang pasukan lawan dari mendominasi bahagian tengah, namun Datuk K rajagobal tetap menggunakan formasi tradisional 4-4-2. Sistem yang beliau guna sejak sekian lama kadangkala boleh mengundang padah sekiranya tidak ada sebarang peningkatan atau 'improvement' yang diambil.

5. Jika kita bandingkan dengan skuad olimpik bimbingan Ong Kim Swee, mereka meletakkan 2 orang holding midfielder iaitu Gurusamy dan Gary Steven Robbart. Di sini, saya mengganggap OKS lebih realistik berbanding Datuk Raja yang mana OKS akan merangka strategi bergantung kepada jenis lawan yang akan dihadapinya.

6. Gandingan Safiq rahim dan Amar Rohidan memang terbukti berkesan di peringkat asia tenggara, tetapi apabila Malaysia bertemu lawan yang tidak diketahui kekuatannya, maka gandingan ini akan terdedah dengan asakan bertali arus pihak lawan. Soalnya, adakah gandingan Safiq-Amar masih kukuh untuk berdepan Singapura di pusingan kedua kelak?

7. Impak bahagian tengah yang longgar adalah, bahagian pertahanan akan kerap menerima asakan lawan. Tekanan yang bertali arus akan memaksa bahagian pertahanan membuat kesilapan lantas dihukum oleh jaringan-jaringan yang berjaya dicipta pasukan lawan. Perkara ini terbukti telah berlaku malam ini apabila barisan pertahanan memberi 3 sepakan penalti kepada Chinese Taipei. Kesilapan ini akibat daripada kelonggaran bahagian tengah menguasai persaingan bola, posession malah tiada 'tackling' yang berkesan bagi mengekang jentera lawan.

8. Saya enggan menyalahkan mana-mana pemain terhadap gagalnya kita mempersembahkan permainan sebagai juara asia tenggara, tetapi saya lihat perlunya datuk Raja merubah formasi dan pemain yang sesuai mengikut keperluan sesuatu perlawanan. Kita juga agak longgar bila berdepan serangan bola tinggi, seperti mana gol pertama Chinese Taipei di babak pertama.

9. Untuk perlawanan peringkat kedua 23 dan 28 julai nanti, saya berharap pasukan kebangsaan dapat memperbaiki kelemahan yang ada serta mempertingkatkan kualiti kerja berpasukan. Peluang-peluang yang diperolehi hendaklah diterjemahkan ke gawang lawan dengan berkesan. Walaupun harimau terluka di Taipei, namun saya percaya mereka mampu lakukan dengan lebih baik ketika bertemu seteru lama, sang singa. TANAH TUMPAHNYA DARAHKU!!

Saturday, July 2, 2011

Jika ingin berhijrah ke Indonesia, sertailah Persipura Jayapura.

1. Saya sempat terbaca beberapa khabar angin yang mengaitkan pemain-pemain Malaysia (tak perlu disebut namanya) berminat untuk berhijrah ke Liga Super Indonesia.

2. Saya telah membaca dan meneliti beberapa aspek di Liga berkenaan, walaupun ianya tidak sesempurna liga J, Liga K ataupun Liga Australia, namun secara keseluruhannya LSI memang ada kelebihan berbanding Liga Super Malaysia.

3. Saya mula mengikuti LSI sejak penyerang kebangsaan Safee Sali menyertai Pelita Jaya Februari lalu. Saya juga kagum dengan kemampuan Safee dan rakan-rakan berjuang sehingga berjaya menyelamatkan Pelita Jaya dari zon penyingkiran.

4. Walaupun saya adalah penyokong setia Liga Super Malaysia, namun saya juga menghormati dan mengagumi tahap kompetitif LSI. Saya tidak perlu menjelaskan secara terperinci aspek-aspek yang membuatkan LSI lebih kompetitif berbanding MSL, namun secara ringkas saya boleh simpulkan bahawa tidak rugi jika pemain Malaysia mencuba nasib di LSI.

5. Saya juga menyokong mana-mana pemain kebangsaan Malaysia untuk berhijrah ke Liga di luar negara, terutama liga yang kompetitif. Ini kerana berhijrah ke luar negara boleh membantu seseorang pemain untuk mempertingkatkan kualiti permainan di samping menambah pengalaman. Secara peribadi, jika ada pemain Malaysia lain yang akan berhijrah ke LSI, saya harap mereka akan berhijrah ke Persipura Jayapura.


6. Persipura Jayapura adalah sebuah kelab LSI yang berpengkalan di kota jayapura, di wilayah Papua. Musim ini mereka berjaya menjuarai LSI dan bakal beraksi di Liga Juara-Juara Asia. (AFC Champions League) musim hadapan. Oleh itu saya berharap pemain Malaysia dapat memikat juara LSI ini dan menyertai mereka untuk aksi musim depan.

7. Pasukan ini telah terbukti berkualiti, ketika ini sedang berentap di peringkat separuh akhir piala AFC (Pertandingan yang telah di abaikan oleh pasukan dari Malaysia). Mereka berpeluang untuk mencipta kemenangan berganda untuk musim ini.

8. Peluang untuk bermain di LSI dan Liga juara Asia telah menyajikan prospek yang sangat besar, sebagai karier dan juga pengalaman bagi mana-mana pemain profesional bolasepak. Oleh itu, jika ada pemain Malaysia yang ingin berhijrah ke Indonesia, maka pilihlah Persipura Jayapura sebagai destinasi anda, kerana kelab ini sedang menuju ke era kegemilangan.