Wednesday, May 11, 2011

Teguran untuk PBNJ

1. Setelah melihat kegagalan demi kegagalan pasukan Johor di peringkat kebangsaan beberapa tahun yang lalu (kali terakhir Johor memenangi Piala FA 1996), maka saya rasa terpanggil untuk memberi beberapa cadangan yang saya harap boleh membantu pengurusan serta pasukan kejurulatihan PBNJ.


2. Dari segi statistik, negeri Johor mempunyai kepadatan penduduk kedua tertinggi di malaysia iaitu selepas lembah kelang. Oleh itu, kebarangkalian untuk melahirkan pemain bolasepak yang berkualiti adalah tinggi. Saya berharap para guru sekolah/jurulatih PBNJ berganding bahu untuk mengenalpasti bakat-bakat yang ada di sekitar negeri dengan kaedah yang lebih teliti. Adakan klinik-klinik bolasepak di serata negeri untuk mengasah aspek teknikal pemain bawah 10 tahun.

3. PBNJ di seru untuk melahirkan lebih ramai jurulatih kelas 'A' bagi memperkasakan program pembangunan pemain bawah umur seperti pemain bawah 10, bawah 12, bawah 15 dan bawah 17 tahun. Seperti yang dilaksanakan di kelab-kelab gergasi eropah, jurulatih yang terbaik akan di tugaskan membimbing pemain bawah umur. Hasil yang terbaik, kita boleh saksikan produk akademi bolasepak FC Barcelona (Yang juga berwarna merah biru). Xavi, iniesta dan Messi dilahirkan menerusi program pembangunan yang sistematik.

4. PBNJ di seru untuk mempertingkatkan lagi kualiti Liga Johor. Apa yang ada ketika ini boleh dikatakan memuaskan, tetapi belum cukup memantapkan pasukan utama negeri. Kita maklum pasukan MP Muar kini bertarung di Liga perdana, cuma kita harap lebih banyak pasukan kelab seperti ini mampu melayakkan diri ke peringkat liga FAM dan seterusnya Liga perdana. TAMBAH jumlah kelab yang bersaing di liga Johor. 10 pasukan di divisyen satu, manakala 10 pasukan di divisyen dua. Setiap pasukan daerah boleh bekerjasama dengan majlis daerah tempatan dalam menyediakan infrastruktur yang lebih baik, seperti menambah baik kualiti stadium. (stadium kecil pun sudah memadai). Kerjasama ini boleh menguntungkan persatuan bolasepak daerah dan majlis daerah tempatan dari segi keuntungan jualan tiket dan kadar sewa stadium.

5. Untuk rancangan jangka pendek (3 tahun), saya cadangkan kepada PBNJ untuk meningkatkan pelaburan dari segi gaji pemain. Ini penting bagi menarik minat pemain yang lebih berpengalaman dan berstatus pemain kebangsaan. Sebagai contoh, Safee Sali di tawarkan USD 10,000.00 (anggaran kasar) oleh kelabnya Pelita Jaya. PBNJ tak perlu berbelanja sehingga RM 30,000.00 bagi seorang pemain, tetapi PBNJ perlu ambil risiko jangka pendek dengan menawarkan gaji sekitar RM 15,000.00/sebulan bagi pemain status 'national player'. Ini realiti bolasepak zaman moden. Pemain tidak boleh dibayar gaji terlalu mahal, dan juga TIDAK boleh dibayar terlalu murah. Selain gaji, PBNJ juga diseru menambah lain-lain 'benefit' seperti elaun rumah, elaun pengangkutan dan lain-lain.

6. PBNJ disaran meningkatkan lagi strategi pemasarannya, atau 'Marketing Arm'. Strategi pemasaran sangat penting bagi menjana hasil pendapatan PBNJ dan juga 'branding' kesemua produk yang berkaitan dengan bolasepak Johor. Kerjasama dengan penaja-penaja PBNJ boleh mendatangkan minat peminat bolasepak Johor, lantas menambahkan lagi kehadiran penyokong ke stadium. PBNJ boleh tubuhkan koperasi Bolasepak Johor sebagai anak syarikat. Perniagaan yang diuruskan koperasi boleh mendatangkan keuntungan yang tinggi. Tawarkan 'share' atau keahlian kepada penyokong-penyokong Johor, bagi memberikan mereka pulangan yang berbaloi apabila mnyertai kelab penyokong jengking.

7. PBNJ disaran untuk jalin kerjasama dengan UITM atau mana-mana institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian ijazah sains sukan. Oleh itu, pemain yang berumur 17 tahun (lepasan SPM) boleh mengikuti kursus secara sambilan. Pengajian di dalam bidang sains sukan boleh membantu pemain-pemain dari segi meningkatkan pengetahuan dan membuka pilihan untuk menjadi guru/tenaga pengajar/pentadbir sukan suatu hari nanti apabila mereka bersara dari bermain bolasepak secara profesional. kelayakan akademik seperti ini dapat mengurangkan kerisauan ibu bapa terhadap masa depan anak-anak mereka. Ini juga bagi memupuk sifat menggalakkan anak-anak untuk aktif bersukan.

8. Swastakan PBNJ. Ini bermaksud perlu mengubah sedikit terma-terma di perlembagaan PBNJ bagi memberi laluan pengusaha-pengusaha swasta menguruskan PBNJ. Akan tetapi, PBNJ harus menilai dengan terperinci sebelum menjual pemilikan kepada mana-mana individu di Malaysia. Mungkin di kalangan rakyat Johor, ada yang kaya seperti Roman Abramovich (pemilik Chelsea). Apabila sudah diswastakan, PBNJ akan dipacu seperti sebuah syarikat yang berorientasikan keuntungan baik di atas padang, maupun di luar padang.

9. Dalam banyak-banyak cadangan di atas, saya berharap PBNJ sekurang-kurangnya akan mempertimbangkan dua atau tiga teguran/cadangan saya supaya di bawa ketengah demi mengembalikan kecemerlangan bolasepak Johor... Ikhlas dari anak Johor yang merantau di negeri orang.

No comments:

Post a Comment