Sunday, May 22, 2011

Harimau Muda A semakin menghampiri matlamat

1. Saya berkesempatan ke stadium Shah alam untuk menonton perlawanan Liga Super antara Harimau Muda A bertemu pendahulu liga, kelantan. Saya mahu melihat dengan lebih dekat konsistensi pasukan kelantan, dan juga meninjau perkembangan terkini pasukan olimpik negara.

2. Akan tetapi, tumpuan saya lebih tertumpu kepada apa yang saya anggap sebagai kematangan skuad Ong Kim Swee, apabila mereka mampu mendominasi hantaran-hantaran kemas selain meminimakan kesilapan. Dalam beberapa ketika, pasukan remaja ini berjaya meletakkan pemain-pemain kelantan 'frustrated' dan mengekang enjin penggerak kelantan, iaitu Piya dan Shakir Shaari.



3. Yang paling menggembirakan saya adalah, Peningkatan mutu permainan penyerang Izzaq faris Ramlan.  Penyerang yang mempunyai ketinggian 6 kaki (184 cm) ini telah menunjukkan mutu permainan yang berkesan selaku penyerang tunggal. Di sokong oleh 5 rakan-rakan pemain tengah, Izzaq nampak selesa mengawal bola hasil hantaran jauh, mahupun hantaran pendek yang mudah. Dua jaringan beliau juga mengesahkan malam 'pembina keyakinan' bagi meneruskan rentak positif sebelum pusingan kelayakan olimpik Jun nanti.

4. Saya berani merumuskan bahawa pemain ini berkelayakan untuk mencuba peluang di eropah, apatah lagi umurnya baru memasuki 21 tahun. Dengan susuk tubuh yang tinggi dan semakin kelihatan tegap, ditambah lagi dengan daya penyudah berkesan, Izzaq perlu bekerja keras untuk memburu karier di eropah. Beliau perlu mengekalkan tahap kecergasan yang tinggi bagi membantu skuad negara menentang Lebanon nanti.

5. Walaupun bermain dengan taktik yang berkesan, namun pada minit ke 85, Norshahrul Idlan Talaha berjaya menyumbat gol penyamaan sekaligus menyelamatkan kelantan dari ambang kekalahan. Gerakan solo beliau yang menewaskan 5 orang pemain Harimau Muda sebelum menyumbatkan gol berkenaan adalah jawapan mengapa Norshahrul adalah seorang penyerang berbisa negara buat masa ini.

No comments:

Post a Comment