Monday, May 16, 2011

Kelantan kuasa baru bolasepak Malaysia

1. Saya berkesempatan menyaksikan perlawanan pusingan kedua separuh akhir Piala FA antara Kelantan bertemu Selangor di Kota Bharu. Walaupun maklum peluang Selangor untuk ke perlawanan akhir sangat tipis, sesudah tewas teruk 1-5 di Shah Alam, saya tetap mahu menyaksikan perlawanan kedua ini.

2. Saya mahu melihat dengan lebih teliti tentang pasukan Kelantan ini, yang mana kebangkitannya 3-4 tahun yang lalu dipelopori oleh tan Sri Annuar Musa. Hasil perancangan rapi, di sokong pula dengan sumber kewangan yang stabil, kita dapat lihat sebuah pasukan Kelantan yang mantap hari ini.

3. Pada pandangan saya, walaupun ketika ini Kelantan menghuni tangga kedua liga Super, namun saya percaya mereka mampu memintas Selangor suatu hari nanti. Pada pendapat saya juga, Selangor untuk musim 2011 ini kurang mantap, malah ada tanda-tanda untuk merudum dari segi kualiti skuad.


4. Setelah diperhatikan dengan dekat lagi, saya amat bersetuju dengan cara permainan yang diterapkan oleh Datuk M Karathu, iaitu 'passing game'. Saya memang dari dulu berulang-ulang kali menyatakan bahawa pemain-pemain di malaysia mesti menitikberatkan kebijaksanaan di atas padang, iaitu dengan mempraktikkan permainan 'pass' and 'positioning'. Menghantar bola mudah kepada rakan, manakala yang lain berada di kedudukan yang kosong dan bersedia untuk menerima bola.

5. Disiplin ini yang membezakan Kelantan dengan pasukan lain ketika ini. Mereka mempunyai pemain-pemain sayap yang lincah iaitu S Chanturu dan nurul Azwan Roya. Dalam masa yang sama, kekemasan bahagian tengah yang paling mencuri tumpuan saya terhadap pasukan Kelantan ini. Sejak satu, dua musim yang lalu, serta sesudah menyaksikan gol yang beliau jelmakan malam ini, saya merumuskan beliau adalah sebenarnya nadi utama pasukan kelantan. Ya, saya bercakap tentang Shakir Shaari.

6. Konsistensi Shakir mengawal bola dengan tenang, membaca permainan, teknik hantaran dekat maupun jauh, ketenangan ketika bertahan, merancang serangan dengan umpanan-umpanan tepat, maka saya anggap beliau semakin matang dan cukup bersedia untuk mewakili pasukan kebangsaan. Tidak keterlaluan untuk saya mengatakan kini Malaysia juga mempunyai 'Xabi Alonso'.

7. Dalam masa yang sama, pendahulu liga Super, Selangor nampak kurang mantap malah tidak lagi berjaya menarik penonton yang ramai walaupun ketika beraksi di Shah Alam. Rata-rata, penyokong Selangor (terutama generasi lama) beranggapan bahawa skuad Selangor yang ada pada hari ini tidak memperlihatkan kualiti 'juara' seperti pasukan-pasukan Selangor yang terdahulu. Ditambah lagi dengan pemergian Safee Sali, corak permainan Selangor agak mudah untuk dibaca.

8. Saya berpendapat, dengan skuad yang masih muda, kelantan bakal mengambil alih selaku kuasa bolasepak Malaysia tidak lama lagi.  

No comments:

Post a Comment