Friday, September 30, 2011

Hijrah ke eropah: Tak semestinya ke England

1. Walaupun sudah menjangka Safee Sali tidak akan ditawarkan kontrak sebagai pemain di Cardiff City, namun usaha beliau semasa sesi ujian tidak harus diperkecilkan.

2. Mentaliti seperti Safee harus dipuji dan dijadikan contoh oleh pemain Malaysia yang lain. Mentaliti untuk keluar dari zon selesa, keinginan untuk menambah pengalaman, semangat untuk meningkatkan lagi karier di dalam bolasepak serta keberanian beliau mencuba sesuatu yang baru.

3. Saya berpandangan, bolasepak di serata eropah adalah sekolah yang sesuai untuk pemain-pemain kita. Dari dulu lagi, saya tekankan bahawa corak permainan Inggeris tidak sesuai dengan pemain-pemain kita. Dengan saiz serta skill yang ada, pemain Malaysia lebih efektif jika ditanamkan corak latin ataupun campuran 'Total football'.

4. Jika kita mahu bermain secara latin ataupun 'total football', maka jawapan nya sudah pasti bukan di England. Saya cadangkan pemain-pemain kita mencuba nasib di negara yang kurang 'glamour' seperti Turkey, Bosnia, Slovakia, Belgium, Holland, France, Italy ataupun Spain.

5. Sebagaimana kita mempunyai hubungan yang istimewa dengan Slovakia (Berdasarkan latihan HMA di sana setahun dua yang lalu), maka saya sarankan FAM wujudkan pula hubungan dengan FA Turkey ataupun FA Bosnia.

6. Hantar pemain muda terbaik dari SSBJ ataupun SSBP ke akademi yang terbaik disana. Biar mereka bersekolah di Turkey ataupun Bosnia. Jika mereka berjaya 'perform' di peringkat akademi, saya percaya pasti ada kelab yang berminat untuk mengambil mereka. Ketika itu, tidak akan timbul isu permit kerja. Insya Allah.

7. FAM, FA negeri, Kelab-kelab serta pemain harus buka minda sekiranya mereka ingin berhijrah ke eropah bagi meningkatkan lagi perjalanan karier mereka.

Monday, September 26, 2011

Liga Super Perlu kekal 14 pasukan

1. Saya ada sempat terbaca keluhan Timbalan Presiden FAM yang juga presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa tempohari yang bercadang untuk menimbang semula format Liga Super edisi 2012.

2. Saya sebagai peminat, pemerhati bolasepak tempatan berpandangan bahawa kita perlu kekal dengan 14 pasukan ataupun tambah ke 16 pasukan.

3. Memang benar, masalah utama adalah masalah kewangan. Tak banyak pasukan liga Super yang mempunyai kedudukan kewangan yang stabil apatah lagi kukuh. Tak banyak pasukan liga Super yang berjaya menarik penonton ke stadium. Jika tidak mampu tarik penonton ke stadium serta sering menghadapi kantung kewangan yang tenat, maka pasukan terbabit di cadang untuk di turunkan ke divisyen bawahan.

4. Bagi saya, sebagai permulaan, FAM menerusi penaja barunya boleh menyuntik dana permulaan kepada pasukan yang bertanding di liga Super. Seperti orang yang baru mula berniaga, mereka perlukan modal untuk membina perniagaan mereka. Berikan kepada mereka pelan 3 tahun, pasukan-pasukan ini hendaklah mentadbir kewangan mereka dengan lebih profesional.

5. Saya amat tidak bersetuju dengan menghadkan penyertaan kepada 8 pasukan sahaja di Liga Super. Ini akan merugikan pemain kerana jumlah perlawanan yang berkurang. Mengikut formula lazim, semakin banyak perlawanan kompetitif yang di tempuhi, semakin baik mutu permainan bolasepak sesorang pemain itu.

6. Dari segi pemain import, Saya berpendapat biarlah hanya yang mampu saja untuk mengambil pemain asing. Tidak guna berlumba-lumba mengambil pemain asing, jika kedudukan kewangan tidak mengizinkan. Saya berharap kepada pasukan yang kurang mampu, tumpukan kepada penambahbaikan sistem kejurulatihan dan juga akademi remaja.

7. Penambahbaikan sistem kejurulatihan penting bagi menambah ilmu jurulatih serta mempelbagaikan kaedah latihan bagi memenuhi keperluan teknik dan taktik semasa.

8. Dari segi akademi remaja, tingkatkan kualiti dari segi fizikal pemain, corak permainan moden iaitu 'possesion football' atau pun pentingkan skil penguasaan bola. Pemain muda harus ditekankan perlunya bermain secara 'intelligence' berbanding bermain secara membabi buta.

Wednesday, September 21, 2011

Kelayakan Olimpik: khairul Fahmi layak beraksi di J LEAGUE

1. Pasukan bimbingan Ong Kim Swee nampak gugup di awal permainan. Maklum sajalah, ini merupakan perlawanan bolasepak kompetitif paling tinggi pernah diharungi oleh skuad harimau muda negara. Suasana, persekitaran stadium juga jelas bertaraf dunia.

2. Walaupun pasukan ini telah berguru di Slovakia, diberi tempat di liga super tempatan dan majoriti pemain dilahirkan dari sekolah sukan bukit Jalil, namun jurang tahap bolasepak antara Malaysia dan Jepun masih jauh. Ya, kita jauh ketinggalan 20 tahun. Buktinya, pada minit ke 10, benteng kita bocor hasil daripada gerakan 'pintar' 3 orang pemain Jepun yang membelah masuk kubu pertahanan negara yang masih tercari-cari rentak permainan.

3. Di separuh masa pertama, ada lebih kurang 5 hingga 6 percubaan bahaya Jepun berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang yang juga kapten, Khairul Fahmi Che Mat. Ini termasuk kejayaan beliau menafikan cubaan 'one by one' dengan salah seorang penyerang Jepun. Kesemua ketangkasan Khairul Fahmi yang berjaya meminimakan pesta gol Jepun harus dipandang dari sudut positif. Saya berharap, akan ada kelab dari J LEAGUE yang akan menawarkan kontrak kepada beliau.


4. Keputusan kecundang 2-0 ini harus dipandang dari sudut positif. Ada beberapa tanda bahawa pemain kita sebenarnya boleh bermain bolasepak secara berpasukan. Cuma, kita belum sampai ke tahap di mana Jepun berada sekarang.

5.  Jika diteliti persembahan harimau muda tadi, pasukan kita mampu bermain dengan disiplin yang tinggi dan menurut taktik jurulatih. Mereka turun dengan corak 'compact unit' menyerap semua serangan lawan dan melancarkan serangan balas mengejut jika ada ruang untuk melakukannya.

6. Malangnya setelah berhempas pulas merampas bola dari kaki sang samurai, pemain kita tidak mempunyai pilihan bagi membuat hantaran kepada rakan lalu bola tersebut akhirnya dirampas semula oleh pemain Jepun.
perkara ini berlaku kerana 2 faktor:

7. (A) Pertama, Pasukan Jepun pantas mengamalkan 'closing down' ataupun 'preasure' ke atas lawan yang memiliki bola. Mereka dalam bilangan yang ramai pantas menutup ruang sehingga pemain Malaysia kesuntukan masa untuk berfikir ke mana bola itu harus di mainkan. (B) Kedua, Pemain kita masih belum mahir dalam permainan berpasukan secara kolektif. Dengan kata lain, pemain negara kurang mahir dengan skil 'ball possession'. Apa yang harus dibuat apabila rakan kita memperolehi bola? Kita sepatutnya dengan pantas mencari/buka ruang dan membantu beliau untuk memudahkannya menghantar kepada rakan yang lain.

8. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, kunci utama bolasepak moden adalah: semakin lama bola berada di pihak kita, semakin tinggi peluang untuk menang. Untuk mengekalkan penguasaan bola, tidak ada cara atau kaedah lain yang terbaik melainkan menekankan falsafah 'possesion football'. Falsafah ini tidak boleh dilaksanakan sehari dua, tetapi ia seharunya ditanamkan sejak bangku sekolah lagi.

9. Jadikan perlawanan ini sebagai iktibar. Perlawanan ini juga memperlihatkan satu-satunya peluang keemasan yang diperolehi pasukan negara oleh Fandi Othman disia-siakan.  Itu buktinya pasukan Jepun boleh dikalahkan jika kena caranya. Imposible is nothing.

Friday, September 16, 2011

Persatuan Negeri wajib bantu pembangunan kelab-kelab bolasepak

1. Pembangunan bolasepak sering dikaitkan dengan pembabitan di peringkat akar umbi. Seluruh pelusuk kampung, mukim, daerah akan mempunyai organisasi atau struktur pertandingan bolasepak mereka sendiri.

2. Jika struktur di peringat akar umbi aktif dan berdaya maju, maka kita akan dapat lihat aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bolasepak sering dijayakan disana-sini. Kemana saja kampung, mukim yang kita lawati, pasti akan ada perlawanan bolasepak dilangsungkan. Setidak-tidaknya, kita juga berpeluang melihat beberapa siri klinik bolasepak dijalankan untuk kanak-kanak.

3. Perkembangan sihat di peringkat akar umbi amat penting. Untuk menjadi maju di dalam bolasepak, kita tidak boleh bergantung harap kepada kemeriahan liga Super semata-mata. Oleh itu, pembabitan seberapa ramai pemain di akar umbi termasuk penubuhan kelab-kelab amatur memainkan peranan penting bagi tujuan pembangunan tadi.



4. Kini, di liga Super dan liga perdana terdapat beberapa kelab yang turut bersaing. Johor FC, Felda United, T-Team, PKNS, Sime Darby, MP Muar FC dan SDM Navy telah merancakkan lagi perkembangan bolasepak di negara kita.

5. Walaubagaimanapun, saya berharap lebih banyak pasukan bertaraf kelab dapat dibangunkan serta dibantu dari segi kewangan dan logistik. Ini kerana jika lebih banyak kelab yang berjaya mara sehingga ke peringkat Liga Perdana dan liga Super, itu adalah petanda bahawa bolasepak di peringkat akar umbi telah menunjukkan perkembangan positif.

6. Persatuan bolasepak negeri perlu bantu kelab-kelab bolasepak di negeri masing-masing bagi mencapai matlamat yang telah disebutkan tadi. Bantuan dari segi peruntukan kewangan, nasihat teknikal, pembangunan aset seperti stadium, pemasaran dan komersial perlu di salurkan kepada mana-mana kelab yang berpotensi.

7. Saya berharap kesemua kelab yang masih bersaing di dua liga tertinggi di Malaysia itu, akan terus berdaya maju dan kekal kompetitif. Lebih banyak kelab yang terlibat, lebih baik untuk bolasepak negara, dan juga baik untuk pasukan kebangsaan.

Sunday, September 11, 2011

Pemain Malaysia perlu rebut peluang di luar negara

1. Bermain bolasepak secara kompetitif ataupun ditawarkan kontrak profesional oleh sesebuah kelab bolasepak eropah haruslah menjadi idaman setiap pemain di Malaysia.

2. Mereka perlu tanamkan cita-cita untuk mengembangkan karier lebih jauh, merantau dan meneroka peluang bermain di mana-mana negara di eropah. Samada Liga yang dikenali ataupun di liga yang kurang dikenali, pemain kita mesti berani mencuba.

3. Alangkah malang jika mereka sekadar berpuashati dapat mengecapi saingan liga Super tempatan, dan mengagungkan Piala Malaysia melebihi piala dunia. Pemain tempatan perlu sedar, dengan tahap yang ada di liga Super kita pada ketika ini, mereka tidak akan mempelajari apa-apa dari segi teknik, taktik dan gaya hidup sebagai pemain bolasepak profesional.

4. Tidak mengapa sebagai permulaan, pemain tempatan untuk mencuba nasib di liga sekitar ASEAN. Namun, jika ada peluang datang untuk bermain di eropah, rebutlah peluang itu dengan bersungguh-sungguh. Pengalaman yang bakal ditimba tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit.

5. Tahniah kepada Safee Sali, Irfan Fazail, Fadhli shas dan Wan Zack Haikal. Mereka ini merupakan kelompok pertama anak Malaysia yang diberi peluang mempamer bakat di eropah. Saya berdoa lepas ini, ramai lagi anak Malaysia mendapat peluang yang sama.

Friday, September 2, 2011

Mencari perlawanan persahabatan bermutu-"Hidupkan semula Pestabola Merdeka"

1. Ketika rakyat Malaysia masih meraikan hari kemerdekaan dan aidil fitri, pasukan bolasepak jiran tetangga kita iaitu Thailand, Singapura dan Indonesia pula sedang berhempas pulas bersaing di pentas asia bagi pusingan kelayakan piala dunia Brazil 2014.

2. Mereka perpeluang untuk menghadapi 6 perlawanan kompetitif di peringkat asia bagi merebut tempat yang seterusnya. Malaysia yang gagal ke pusingan ketiga terlepas peluang yang disebutkan tadi, bahkan menghadkan pengalaman pemain-pemain muda negara bertarung dengan pasukan-pasukan terbaik rantau asia.

3. Walaupun begitu, diharapkan pengurusan pasukan harimau agar tidak berputus asa, malah terus berusaha mencari peluang bagi memantapkan lagi permainan pasukan negara. Oleh kerana kita gagal ke pusingan ketiga, maka saya cadangkan agar Malaysia merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan kelas A secepat yang mungkin.

4. Momentum ini perlu diteruskan. Kita mempunyai skuad yang muda, masih dinobat sebagai raja asia tenggara. Oleh itu kita harus mengorak langkah agar Malaysia mampu bersaing di peringkat asia pula.

5. Berbalik kepada cadangan saya tadi, ada dua jenis perlawanan persahabatan, iaitu perlawanan lazim yang membabitkan dua pasukan, atau pun pertandingan persahabatan atau 'friendly tournament'. Kali ini saya mahu tekankan kepada jenis yang kedua, iaitu 'friendly tournament'.


6. Saya cadangkan kepada FAM agar dihidupkan semula kejohanan Pestabola Merdeka setiap tahun bagi memenuhi perancangan skuad negara. Kejohanan persahabatan ini perlu bagi memberi skuad kebangsaan perlawanan ujian yang berkualiti, bergantung kepada pasukan yang dijemput.

7. Saya cadangkan kejohanan ini mengikut format kumpulan A dan B, yang mana setiap kumpulan mempunyai 4 pasukan. Saya juga cadangkan agar Malaysia di kumpulan A, manakala Malaysia B-23 di kumpulan B.

8. Jika berkemampuan, saya cadangkan agar 2 pasukan dari eropah, 2 pasukan dari amerika selatan dan 2 pasukan dari afrika dijemput ke kejohanan ini. Untuk memudahkan pasukan jemputan untuk hadir ke kejohanan ini, saya cadangkan pestabola merdeka di adakan pada sekitar awal jun atau hujung julai, kerana kebanyakan liga bolasepak eropah ketika itu sedang berehat.

9. FAM perlulah meneliti jadual liga tempatan agar tidak berlaga dengan tuntutan perlawanan antarabangsa. Pestabola Merdeka perlu dihidupkan semula bagi membantu skuad negara bermain dengan pasukan yang berkualiti.