Sunday, June 15, 2014

Pasca Kongress FAM: Apa halatuju baru bolasepak negara?


Belum terlambat untuk ucap tahniah kepada KDYTM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM yang baru dilantik hasil pemilihan di Kongress FAM 25 Mei Yang lalu.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada bekas Presiden FAM iaitu DYMM Sultan Ahmad Shah, di atas sumbangan baginda selama ini kepada pembangunan bolasepak negara.

Sebagai peminat bolasepak tempatan, saya hanya mahu lihat pembaharuan berterusan dilakukan oleh barisan pentadbir bolasepak yang baru ini.

Kita sedar, lanskap bolasepak tempatan masih serba kekurangan, walaupun sukan ini masih menjadi sukan paling popular di Malaysia. Oleh itu, harapan yang disandarkan kepada barisan kepimpinan yang baru ini amat tinggi, sekurang-kurangnya dapat menyegerakan beberapa hal yang dikira sebagai sangat penting.

Setelah beberapa minggu berlalu, kita masih belum terdengar apa-apa perancangan daripada saf kepimpinan baru FAM ini. Saya fikir wajar untuk FAM mengumumkan halatuju bolasepak negara dalam masa yang terdekat ini bagi meredakan kebimbangan penyokong terhadap masa depan bolasepak negara.

Penyokong bolasepak hari ini berbeza dengan generasi terdahulu. Hari ini, informasi bolasepak serantau dan dunia begitu cepat di sebarkan. Apa jua berita berkenaan bolasepak, baik yang positif mahupun negatif, begitu mudah sampai ke pengetahuan penyokong.

Penyokong hari ini sudah mula menilai satu persatu permasalahan bolasepak negara. Penyokong hari ini sudah celik dan mula membandingkan tahap bolasepak negara dengan apa yang dimiliki oleh negara jiran seperti Thailand dan Vietnam.

Penyokong hari ini turut dibantu dengan kepesatan rangkaian televisyen berbayar yang menyiarkan perkembangan bolasepak rantau Asia. Mereka sudah pandai menilai, mereka sudah mampu membandingkan mengapa Malaysia masih di takuk lama.

Oleh yang demikian, bagi saya, ada tiga perkara yang perlu disegerakan oleh FAM dalam jangka pendek ini. Tiga perkara ini jika dilaksanakan, pasti dapat menjawab kritikan penyokong. Tiga perkara dalam jangka pendek, yang mampu memberi impak kepada pembaharuan jangka panjang.

1. Perlantikan Jurulatih tetap skuad Kebangsaan.

Sejak tamatnya kontrak Datuk K Rajagobal, tiada jurulatih tetap yang dilantik untuk merancang, melatih pasukan senior kebangsaan. Tidak wajar membebankan Datuk Ong Kim Swee yang kini melatih Harimau Muda A, untuk menggalas dua tugas serentak bersama skuad senior.

Perlantikan jurulatih tetap ini adalah simbol kepada cita-cita sesuatu persatuan Bolasepak itu. Semakin lewat perlantikan, maka itu menggambarkan Persatuan yang tidak punya cita-cita.

Tambahan lagi, kejohanan Piala AFF akan berlangsung Disember ini, dan jurulatih memerlukan masa untuk menyiapkan pasukannya.

Dengan masa yang suntuk ini, pendapat saya FAM perlu lihat kepada jurulatih yang sudah biasa dengan bolasepak tempatan. Robert Alberts adalah pilihan utama saya, diikuti oleh Dolah Salleh dan Zainal Abidin Hassan.

2. Penswastaan Liga M

Ini projek yang akan membuka jalan terhadap daya saing bolasepak tempatan. Saya tak perlu hurai dengan panjang lebar bagaimana rupanya Liga M Yang diswastakan, namun ini adalah sebahagian syarat yang ditetapkan oleh AFC untuk melayakkan kelab kita bersaing ke AFC Champions League. (ACL)

ACL adalah masa depan bolasepak Kelab di Asia. Kita perlu bermain di dalam ACL setiap tahun. Mungkin permulaannya, hanya satu kelab mewakili liga M. Dalam jangka panjang, jika tahap kualiti liga kita meningkat berterusan, ada kemungkinan dua atau tiga slot akan diberikan kepada kelab liga M.

3. Sasaran untuk layak ke Piala Asia 2019

Setelah melantik jurulatih tetap, penswastaan liga, dan penglibatan kelab Liga M dalam ACL, kita mahu FAM letakan sasaran untuk layak ke Piala Asia 2019 sebagai salah satu KPI organisasi itu. KPI bermaksud, ianya mesti dicapai dengan usaha yang sistematik dan komitmen yang tinggi.

KPI bermaksud, ianya sudah menjadi kewajiban bagi organisasi itu untuk bertindak agar sasaran layak ke Piala Asia 2019 tercapai. Saya percaya jika semua pihak yang terlibat ikhlas dalam tugasan mereka, pasti pasukan negara mampu mencabar dalam pusingan kelayakan kelak.

Saya berharap kepimpinan baru FAM ini lebih terbuka untuk mendengar suara hati penyokong. Penyokong hendaklah dianggap sebagai salah satu 'stakeholder'dalam pembangunan bolasepak negara. Tanpa penyokong yang memenuhkan stadium, tanpa penyokong yang membayar bil bulanan TV berbayar, maka sesuatu liga itu akan gagal. Suara hati dan kehendak penyokong perlu diambil kira secara serius.

Monday, March 31, 2014

Menyelami pembangunan bolasepak di akar umbi

Fasa yang paling penting bagi seseorang pemain bolasepak, jika serius dalam sukan ini adalah ketika berusia seawal 6-7 tahun. Mengapa seawal usia itu? kerana usia tersebut juga merupakan waktu yang sesuai untuk anak-anak memulakan proses pembelajaran mereka.

Bolasepak sebenarnya adalah seni yang menjadikannya sebagai medium untuk anak-anak menzahirkan kreativiti mereka di atas padang. Mereka sudah ada minat, mereka sudah ada bakat, cuma tinggal beberapa aspek yang perlu dibantu dan di adun supaya anak-anak muda ini faham betapa bolasepak adalah permainan berpasukan.

Sebagai ibu bapa, penting untuk mengenal pasti minat anak-anak muda ini dan berikan sokongan terhadap penglibatan mereka dalam sukan bolasepak. Sokongan moral, sokongan berbentuk material seperti perbelanjaan membeli kasut dan sebagainya.

Apa faedah terlibat aktif dalam bolasepak? kepada anak-anak yang berbakat, mereka akan mempelajari prinsip disiplin berpasukan, mempelajari teknik bermain dengan betul, menyemai semangat ingin menang, budaya hidup sihat dan yang paling penting, azam untuk menyarung jersi pasukan Malaysia suatu hari nanti.

Secara peribadi, saya amat berminat dengan peranan jurulatih dan pencari bakat (football scouts) terutama fasa pembangunan. Takdir telah menemukan saya dengan tugas pembangunan dengan komuniti di Kajang Utama. Berkat muafakat dengan ibu bapa yang juga 'Stakeholder' kelab, maka kami berusaha mewujudkan akademi secara kecil-kecilan bagi membantu merealisasikan impian anak-anak muda di situ.

Walaupun dengan bajet yang terbatas, namun berkat kerja keras semua yang terlibat, kami berjaya menghimpunkan bakat yang saya percaya mampu pergi jauh jika diberi peluang. Pemain-pemain muda ini bersungguh mempelajari ilmu bolasepak dan ada yang menunjukan peningkatan dari segi teknik.


Skuad Bawah 14 Tahun Kajang Dragons Football Club (KDFC)

Antara perkara yang biasa ditemui bila mengendali pasukan bawah umur ini, mereka lebih gemar untuk bermain daripada mengikuti latihan spesifik yang fokus kepada teknik bolasepak. Begitu juga emosi yang belum matang, memaksa jurulatih memikirkan kaedah berkesan untuk menaikan semangat dan motivasi mereka.


Skuad Bawah 12 tahun Kajang Dragons Football Club (KDFC)

Anak-anak muda perlukan elemen 'seronok' dalam pembelajaran. Seronok bukan bermaksud lalai, akan tetapi kaedah latihan yang dapat membantu mereka memahami teknik bolasepak dengan lebih mudah lantas menterjemahkan dengan prestasi terbaik di atas padang.

Teknik 'Juggling' atau menimbang bola amat penting bagi pemain bolasepak. Dengan kemampuan menimbang bola, ia akan membantu pemain berasa selesa setiap kali menerima bola. Saya kerap galakan anak-anak muda ini agar mengambil inisiatif sendiri menimbang bola di rumah bila ada masa lapang.




Memberi motivasi kepada pemain untuk 'ekspresi diri' juga penting bagi meningkatkan keyakinan mereka di usia muda. Memang akan ada rasa takut sebelum sepak mula, tetapi bila diberi galakan serta dorongan, in Sha Allah pemain-pemain muda ini akan meluahkan keupayaan mereka secara maksimum. Kepercayaan terhadap diri sendiri akan meningkat bila kawalan bola semakin baik, juga setelah mampu menggelecek pemain lawan seperti gambar di atas.


Dorongan berterusan akan meningkatkan rasa percaya terhadap diri sendiri, juga terhadap rakan pasukan yang lain. Anak-anak muda yang sememangnya penuh dengan imaginasi yang tinggi, punya daya kreativiti yang amat mengagumkan. Hantaran pendek satu sama lain akan menjadi semakin cermat. Mereka akan menghidu ruang-ruang kosong yang boleh di 'eksploitasi'. Hasilnya adalah jeritan universal "GOOOOLLL" bergema di hadapan gawang gol lawan.

Semua pihak perlu berganding bahu membantu anak-anak muda ini membangun dari peringkat awal lagi. Proses pembelajaran memang mengambil masa yang panjang, namun itu semua adalah sebahagian dari formula kejayaan. Sabar menuju kejayaan.

Kepada Ibu bapa, guru-guru dan juga golongan korporat wajar mendekatkan diri dengan usaha di peringkat akar umbi ini yang bagi saya amat membantu dalam menjana generasi yang sihat menerusi bolasepak.

Thursday, January 23, 2014

The best store to get your stadium wear


Football cannot live without fans. The stadias cannot live without fans. The drive to win only come from one source - the voice of the fans.

Nowadays Malaysian football fans are getting more organized, passionate with new supporting culture. New generations of fans setting new set of culture, allowing themself to be more vocal, supportive and also very informative.

Younger and energetic fans on terraces promises electrifying atmosphere in the stadium. The ordinary will finally find themselves enjoying with the chants and could not resist to sing along with the Ultras when it comes to their favorite anthem.

Beside a powerful voice, a supporter needs to dress in a right manner before entering the stadium. This is an integral part of the supporting culture. Supporters needs to wear the right colors, proper shoes, Mafla, flags etc.

And i have the opportunity to get a closer look into one of the most complete store for stadium wear, owned by one of the most active supporter groups, and they are located in the south. To be specific, it is located in Larkin, city of Johor Bahru,  Malaysia.

I spend some of my time before entering the nearby Larkin Stadium. Introducing...the 'Markaz'.. home for the 'Boys Of Straits' (B.O.S)


Memorable items and souvenirs..



The best selling Mafla and shirts..


The most awaited football magazine also available here..



Mini cafe. But still incomplete. This area will provide big screen for a live telecast games, especially for an away game.



You must have these shirts...The B.O.S has launched their own brand and product  by the name of "Terracult". Stands for Terrace Culture..What so special about these shirts? It was designed by the members of the group. The originality of the design are the most important features in these shirts. No outside design were allowed in this premise.



Collections of jerseys of the Johor football team, inclusive the 1991 double winning team home and away kit.
Great memories..


Another magazine.  Would like to say thank you to HRH TMJ for his great effort in rebuilding Johor's football.

If you have the passion to watch football in the stadium, you might need to walk into this store. Please buy the original items to support the fans and the football industry. For me, for time being, this is the best store to get your stadium wear.

Sunday, January 5, 2014

Musim 2014: Masa untuk Ahli Gabungan bertindak

Selain daripada kerancakan perpindahan pemain menjelang pembuka tirai Liga Malaysia 2014, ada isu lain yang saya fikir perlu diberi perhatian oleh semua pihak, terutamanya penyokong dalam merencanakan hala tuju bolasepak Malaysia ke tahap yang lebih baik.

Sesudah musim 2013 melabuhkan tirainya dengan satu lagi kekecewaan iaitu kegagalan pasukan Kebangsaan untuk layak ke Piala Asia 2015 (Walaupun kini harapan banyak bergantung kepada tempat ke tiga terbaik), maka semakin kuat desakan daripada akar umbi untuk merombak apa yang saya anggap sebagai kegagalan keseluruhan dasar bolasepak kita. Lebih jelas lagi, ianya adalah dasar yang perlu diubah secara drastik setelah terbukti gagal sepanjang 30 tahun yang lalu.

Lebih mengecewakan, masih ada pihak yang mempertahankan pentadbiran ini yang terbukti gagal. Kita maklum pembangunan bolasepak tidak boleh diletakan 100% di bahu FAM. Pembangunan akar umbi sebenarnya melibatkan banyak agensi lain seperti Sekolah, Jabatan Sukan dan juga pusat kesihatan. 

Banyak suara yang mahukan perubahan. Paling nyata, ramai yang mahu Presiden FAM berundur dan digantikan dengan pemimpin baru. Yang menariknya, setahu saya, hanya ahli gabungan FAM yang punya hak untuk memilih Presiden badan induk itu. Tidak ada pihak lain selain ahli gabungan yang boleh menukar Presiden FAM menerusi pemilihan atau di Kongress FAM. 

Siapakah dia Ahli gabungan ini? Ahli gabungan FAM terdiri daripada Persatuan-Persatuan Bolasepak Negeri dan Kelab. Ini bermakna kesemua Presiden Persatuan Bolasepak Negeri dan Kelab ada hak dan kuasa untuk bertindak menerusi permuafakatan dan undi mereka di dalam kongress.

Persoalannya kini, untuk pemilihan FAM 2014, adakah ahli gabungan memiliki iltizam yang tinggi untuk memacu perubahan dalam bolasepak Malaysia?

Mampukah Ahli gabungan untuk bangkit keluar dari zon selesa dan bersama memperbetulkan halatuju bolasepak negara?

Beranikah Ahli gabungan untuk mencadangkan seorang pemimpin baru untuk bertanding Jawatan Presiden FAM?

Sudah semestinya sebagai peminat bolasepak kita mahukan Presiden FAM yang baru. Kita juga mahu lihat struktur yang baru. Begitu juga dasar bolasepak yang lebih dinamik. Adakah Ahli gabungan dapat merasakan keperluan ini sebagaimana yang di desak di peringkat akar umbi?

Saya berharap Ahli gabungan FAM dapat merapatkan saf serta mencari persamaan di antara pentadbir bolasepak dan juga peminat di jalanan. 

Ahli gabungan perlu bangkit dan berhijrah ke arah profesionalisme yang sebenarnya. Mencadangkan Presiden FAM yang baru bukan maksud menderhaka kepada sesiapa. Tempoh 30 tahun yang lalu telah terbukti gagal. Kita perlukan Presiden FAM yang baru, kita perlukan struktur organisasi yang baru, kita perlukan dasar bolasepak yang baru.

Ketiga-tiga perkara yang saya sebut di atas hanya mampu diubah menerusi undian para Ahli Gabungan. Saya berharap tahun 2014 bukan saja meriah dengan pertandingan yang dijalankan di atas padang, namun begitu juga pertandingan di luar padang, demi meningkatkan taraf bolasepak Malaysia di peringkat dunia.