Monday, March 31, 2014

Menyelami pembangunan bolasepak di akar umbi

Fasa yang paling penting bagi seseorang pemain bolasepak, jika serius dalam sukan ini adalah ketika berusia seawal 6-7 tahun. Mengapa seawal usia itu? kerana usia tersebut juga merupakan waktu yang sesuai untuk anak-anak memulakan proses pembelajaran mereka.

Bolasepak sebenarnya adalah seni yang menjadikannya sebagai medium untuk anak-anak menzahirkan kreativiti mereka di atas padang. Mereka sudah ada minat, mereka sudah ada bakat, cuma tinggal beberapa aspek yang perlu dibantu dan di adun supaya anak-anak muda ini faham betapa bolasepak adalah permainan berpasukan.

Sebagai ibu bapa, penting untuk mengenal pasti minat anak-anak muda ini dan berikan sokongan terhadap penglibatan mereka dalam sukan bolasepak. Sokongan moral, sokongan berbentuk material seperti perbelanjaan membeli kasut dan sebagainya.

Apa faedah terlibat aktif dalam bolasepak? kepada anak-anak yang berbakat, mereka akan mempelajari prinsip disiplin berpasukan, mempelajari teknik bermain dengan betul, menyemai semangat ingin menang, budaya hidup sihat dan yang paling penting, azam untuk menyarung jersi pasukan Malaysia suatu hari nanti.

Secara peribadi, saya amat berminat dengan peranan jurulatih dan pencari bakat (football scouts) terutama fasa pembangunan. Takdir telah menemukan saya dengan tugas pembangunan dengan komuniti di Kajang Utama. Berkat muafakat dengan ibu bapa yang juga 'Stakeholder' kelab, maka kami berusaha mewujudkan akademi secara kecil-kecilan bagi membantu merealisasikan impian anak-anak muda di situ.

Walaupun dengan bajet yang terbatas, namun berkat kerja keras semua yang terlibat, kami berjaya menghimpunkan bakat yang saya percaya mampu pergi jauh jika diberi peluang. Pemain-pemain muda ini bersungguh mempelajari ilmu bolasepak dan ada yang menunjukan peningkatan dari segi teknik.


Skuad Bawah 14 Tahun Kajang Dragons Football Club (KDFC)

Antara perkara yang biasa ditemui bila mengendali pasukan bawah umur ini, mereka lebih gemar untuk bermain daripada mengikuti latihan spesifik yang fokus kepada teknik bolasepak. Begitu juga emosi yang belum matang, memaksa jurulatih memikirkan kaedah berkesan untuk menaikan semangat dan motivasi mereka.


Skuad Bawah 12 tahun Kajang Dragons Football Club (KDFC)

Anak-anak muda perlukan elemen 'seronok' dalam pembelajaran. Seronok bukan bermaksud lalai, akan tetapi kaedah latihan yang dapat membantu mereka memahami teknik bolasepak dengan lebih mudah lantas menterjemahkan dengan prestasi terbaik di atas padang.

Teknik 'Juggling' atau menimbang bola amat penting bagi pemain bolasepak. Dengan kemampuan menimbang bola, ia akan membantu pemain berasa selesa setiap kali menerima bola. Saya kerap galakan anak-anak muda ini agar mengambil inisiatif sendiri menimbang bola di rumah bila ada masa lapang.




Memberi motivasi kepada pemain untuk 'ekspresi diri' juga penting bagi meningkatkan keyakinan mereka di usia muda. Memang akan ada rasa takut sebelum sepak mula, tetapi bila diberi galakan serta dorongan, in Sha Allah pemain-pemain muda ini akan meluahkan keupayaan mereka secara maksimum. Kepercayaan terhadap diri sendiri akan meningkat bila kawalan bola semakin baik, juga setelah mampu menggelecek pemain lawan seperti gambar di atas.


Dorongan berterusan akan meningkatkan rasa percaya terhadap diri sendiri, juga terhadap rakan pasukan yang lain. Anak-anak muda yang sememangnya penuh dengan imaginasi yang tinggi, punya daya kreativiti yang amat mengagumkan. Hantaran pendek satu sama lain akan menjadi semakin cermat. Mereka akan menghidu ruang-ruang kosong yang boleh di 'eksploitasi'. Hasilnya adalah jeritan universal "GOOOOLLL" bergema di hadapan gawang gol lawan.

Semua pihak perlu berganding bahu membantu anak-anak muda ini membangun dari peringkat awal lagi. Proses pembelajaran memang mengambil masa yang panjang, namun itu semua adalah sebahagian dari formula kejayaan. Sabar menuju kejayaan.

Kepada Ibu bapa, guru-guru dan juga golongan korporat wajar mendekatkan diri dengan usaha di peringkat akar umbi ini yang bagi saya amat membantu dalam menjana generasi yang sihat menerusi bolasepak.

No comments:

Post a Comment