Saturday, February 4, 2017

Memecah norma pemikiran 'Club football' dan halatuju pasukan liga M



Setelah sekian lama tidak berkesempatan menulis, akhirnya dengan izin Allah dapat jua saya mengambil sedikit ruang untuk menulis, menyampaikan beberapa impian yang sudah lama terpendam.


Letak ketepi sejenak pemilihan kepimpinan baru FAM yang sedang riuh di balik tabir, telan sekejap isu beberapa pasukan yang menggertak menarik diri dari liga M musim 2017, pejam mata buat sementara waktu isu tunggakan bayaran gaji kepada beberapa pemain dan jurulatih, kita cuba buat-buat lupa tentang wawasan penswastaan pasukan liga M menjelang 2018... dan lain-lain lagi isu yang tak kunjung selesai.


Kita berlapang dada dan mencari titik positif mana yang boleh. Bukan sekadar 'upgrade' bilik persalinan, bukan sekadar 'upgrade' kerusi tempat duduk pemain simpanan, bukan sekadar seronok dengan reka cipta jersi pasukan, akan tetapi kita jangan sesekali lupa matlamat utama liga dan kelab bolasepak kita.


Adakah kelab bolasepak kita hanya diwujudkan untuk menepati tuntutan acara tahunan dan cukup dengan kejuaraan tempatan? Adakah kita cukup selesa dengan persaingan domestik dan selepas itu boleh anggap diri kita bersedia untuk tugasan pasukan nasional?


Masa berlalu, zaman sudah berubah, ilmu bolasepak juga sentiasa berubah. Dahulu setiap pasukan wajib ada pemain penyerang dengan berjersi nombor 9, dia mesti berada di dalam kotak penalti lawan menanti hantaran lintang atau 'through ball' dari maestro, malahan dia juga tak perlu mengganggu pertahanan lawan ketika bola tiada di sisi.


Tapi hari ini banyak pasukan mula sedar konsep bertahan bermula dari atas. Bolasepak moden menuntut pemain hadapan melakukan kerja lebih, melakukan asakan atau 'pressing' agar pertahanan lawan tidak mempunyai masa yang lama dengan bola. Penyerang juga tidak hanya tunggu dalam kotak penalti, mereka dikerah untuk terbabit sama dengan pergerakan bola pada ketika pasukan melakukan 'build up' dari bawah. Mereka juga akan dituntut bergerak ke bahagian sayap jika perlu dan pelbagai pembaharuan lain. Evolusi dalam bolasepak sentiasa berlaku.


Ilmu-ilmu baru ini tak mungkin kita kecapi melalui pembacaan sahaja. Ilmu bolasepak perlu digarap menerusi teori dan praktikalnya sekali. Dimana kita akan ketemu dengan ilmu-ilmu baru ini? adakah cukup sekadar dengan melantik jurulatih asing? dengan harapan mereka akan mencurahkan idea-idea baru? tidak sama sekali.


Ilmu-ilmu baru bolasepak hanya akan kita kecapi apabila kelab bolasepak kita turun padang dan berdepan dengan lawan yang berkualiti setiap minggu, di dalam kejohanan tertinggi di benua itu. Bukan di perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab eropah, atau perlawanan jemputan.


Pengurusan kelab bolasepak perlu meletakkan perkara ini sebagai keutamaan, bermain menentang pasukan yang kuat setiap minggu adalah keperluan dan keutamaan. Apa maksud 'Pasukan berkualiti'? definasi pasukan berkualiti hanya akan ditemui apabila kita bertemu di peringkat benua. Keutamaan adalah kepada kejohanan AFC Champions League, dan keduanya adalah kejohanan Piala AFC.


Untuk menjadi lebih baik, kita perlu berguru dengan pasukan yang lebih baik, walaupun pada awalnya, kita tahu tahap bolasepak di negara-negara asia lebih baik dari kita. Percayalah, langkah pertama selalunya sukar dan penuh berliku, tetapi hasil tuaiannya akan dinikmati beberapa tahun lagi.


Penyokong dan pengurusan perlu ikut serta dengan perubahan ini, keutamaan bukan lagi menikmati piala domestik, akan tetapi penekanan terhadap 'dahagakan kejayaan peringkat asia' ini perlu dipupuk. Desakan ini amat penting kerana secara tak langsung ia akan menyediakan pemain yang lebih kompetitif kepada pasukan nasional. Boleh bayangkan suatu hari nanti 4 pasukan liga M beraksi di AFC Champions League? tiada yang mustahil dalam bolasepak, jika kita benar-benar mahukan ia terjadi.


Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim yang akan berdepan Gamba Osaka Selasa ini (7 Februari 2017) dalam playoff ke AFC Champions League. Juga selamat maju jaya kepada Felda United yang akan berjuang di Piala AFC nanti.


 



No comments:

Post a Comment