Wednesday, July 17, 2013

Dua 'Perkara Purba' yang masih tak berubah...

Sebagai peminat bolasepak, sudah tentu kita mahukan yang terbaik daripada pasukan kita. Kita mahukan yang terbaik dari segi kualiti bolasepak di atas padang. Kita mahukan pengurusan liga yang telus, progresif dan profesional. Kita mahukan sokongan berterusan daripada penyokong agar terus membanjiri stadium.

Begitu hebatnya keghairahan penyokong setia mendampingi pasukan kesayangan masing-masing, hingga sanggup berkorban dari segi wang ringgit, tenaga dan masa. Belum lagi kisah-kisah tragik penyokong yang terkorban dalam perjalanan ke stadium akibat kemalangan jalan raya dan sebagainya.

Zaman beredar, generasi penyokong bertukar ke generasi yang lain. Arus pemodenan seiring perubahan masa telah memaksa bolasepak tempatan bertukar wajah sedikit demi sedikit. Format liga mula diperkenalkan, disusuli pula oleh Era Semi Pro, dan seterusnya hinggalah format Liga M yang dipertontonkan kepada umum dewasa ini.

Bagaimanapun, setelah berpuluh tahun disajikan dengan kerancakan bolasepak domestik,  yang sering menjadi mangsa adalah penyokong setia ini tadi. Seumpama pelanggan yang tidak dihargai, peminat bolasepak tempatan yang sering dahagakan kejayaan kelab masing-masing di peringkat nasional, dan juga mengidam langkah skuad Harimau Malaya ke Piala Dunia, masih bergelut dengan realiti DUA perkara yang tak berubah sejak dulu.

PERTAMA: Peminat bolasepak ataupun dalam bahasa komersialnya adalah dirujuk kepada  'Pelanggan', menghadapi seribu jenis masalah setiap kali ingin membeli tiket perlawanan. Masalah ini lebih terasa apabila membabitkan perlawanan berprofil tinggi seperti perlawanan separuh akhir dan akhir. Begitu juga perlawanan di peringkat liga yang melibatkan penyokong yang ramai.

Sistem beratur panjang untuk membeli tiket sebenarnya sudah tidak relevan dengan keadaan negara kita yang sudah maju dalam pelbagai bidang yang berteraskan teknologi.

Adakah kita beratur panjang ketika membeli tiket kapal terbang? adakah hari ini, kita masih beratur panjang untuk membayar bil-bil bulanan kita di kaunter bank?

Oleh kerana tidak ada keprihatinan daripada pihak penganjur, maka tiada inisiatif diambil bagi menambahbaik kaedah penjualan dan pengagihan tiket yang lebih sistematik. Akhirnya pada tahun 2013, kita masih berhadapan dengan cara purba. Beratur panjang, berebut, berhimpit antara satu sama lain.




Semakin hampir ke kaunter tiket, semakin bahaya keadaannya. Tiada lagi barisan, peminat datang dari kiri dan kanan merempuh demi menuju ke kaunter tiket yang lapan. Keadaannya sama seperti pelarian perang yang kelaparan datang beramai-ramai untuk merebut makanan.

Adakah layak peminat bolasepak tempatan dilayan sebegini?

Dalam masa yang sama, daripada era 80an, 90an hingga 2013, masih kedengaran wujudnya 'Ulat Tiket' yang mengaut keuntungan dengan menjual tiket berkali ganda mahalnya. Mengapa masih tiada jalan penyelesaian untuk hapuskan ulat tiket ini? Siapakah dalang di belakang ulat tiket ini?

Cadangan untuk penambah baik sistem jualan tiket:

a). Lantik operator yang berkelayakan untuk kendali penjualan tiket secara online. (Online ticket purchase) FAM dan FA negeri mesti bekerjasama dalam memastikan sistem yang akan digunakan mampu mempermudahkan proses penjualan tiket. Boleh kaji sistem jualan tiket yang diaplikasi oleh syarikat penerbangan murah, atau sistem jualan tiket wayang, atau sistem jualan tiket Formula 1 di Sepang.

b). Setelah beli secara online, peminat boleh bawa resit tersebut untuk ditukar kepada tiket perlawanan yang sebenar di kaunter khas di stadium.

c). Tiket perlawanan dilengkapi dengan 'bar code'

d). Setiap pintu masuk akan dilengkapi dengan 'Scanner' bagi mengesahkan tiket perlawanan itu tadi.

e). Pembelian secara online mampu sekat ulat tiket, kerana seorang pembeli hanya boleh beli sekeping tiket sahaja. Pembeli diwajibkan untuk mengisi nombor kad pengenalan ketika membuat pembelian. Jika pembeli tersebut ingin membeli tiket lagi dengan menggunakan nombor kad pengenalan yang sama, maka transaksi tersebut akan dihalang serta merta.

f). Lain-lain aplikasi bagi menambah ciri-ciri keselamatan ataupun aplikasi yang bersesuaian dengan stadium pasukan di negeri masing-masing bolehlah dirunding dengan lebih mendalam bersama operator sistem.

Letak ketepi kepentingan politik, suku sakat dan kepentingan peribadi. Pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan jualan tiket ini harus telus memastikan tiket sampai ke pihak yang sepatutnya. FAM dan FA negeri serta kelab harus laburkan sejumlah peruntukan bagi berhijrah ke arah penjualan tiket secara online ini. Tiada pilihan, masa untuk berubah dengan menggunakan kepintaran teknologi sudah tiba.


KEDUA: Seperti yang sedang di bincangkan oleh majoriti peminat bolasepak tempatan pada ketika ini, tentang perlawanan persahabatan yang bakal dilalui oleh skuad kebangsaan kita Harimau Malaya.

Pendapat saya tidak salah jika kelab-kelab asing ini mahu datang ke sini dan memperagakan kehebatan mereka. Cuma, di pihak kita, tak perlulah skuad nasional yang ditugaskan untuk melayan tetamu bertaraf kelab itu nanti.

Sepatutnya FAM tubuhkan pasukan 'MSL all star' yang dianggotai pemain tempatan dan import terbaik dari liga Super. Pasukan ini yang sepatutnya melayan Cheasea dan Barcelona nanti, dan bukan pasukan kebangsaan Malaysia.

Pasukan kebangsaan harus tumpu kepada perlawanan kelas A dan program mereka mestilah disusun dengan lebih baik agar dapat menguji pasukan negara yang hebat seperti pada tahun 2002, di mana Malaysia menentang pasukan piala dunia Brazil. Tidak mustahil hari ini, kita boleh adakan perlawanan persahabatan kelas A sedemikian rupa.

Alasan tiada pasukan yang berminat untuk menguji Malaysia tidak boleh diterima sama sekali. Lihat sahaja bagaimana Indonesia (ranking 170 dunia) mampu mengadakan perlawanan persahabatan dengan Belanda (Ranking 5 dunia).

Pengurusan skuad kebangsaan harus menyediakan jadual perlawanan persahabatan seawal mungkin bagi mengundang pasukan negara yang berkualiti untuk datang ke sini. Persoalannya, adakah rancangan seumpama itu wujud dalam FAM?

Atau mereka sekadar berpuashati dengan pencapaian di peringkat asia tenggara?

Saya bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Agung FAM yang baru, Dato Hamidin yang menegaskan betapa pentingnya Ranking buat skuad kebangsaan. Syabas Dato', teruskan usaha bawa perubahan.

Rumusan:

Kedua-dua perkara ini adalah bukti betapa bolasepak kita masih berada di takuk yang sama sejak dulu. Adalah wajar tuntutan peminat bolasepak yang mahukan kepimpinan FAM ditukar dan segala polisi di dalamnya juga ditukar.

Peminat bolasepak Malaysia berhak dapatkan yang lebih baik daripada ini, mereka adalah tunjang kebangkitan industri bolasepak tempatan. Mereka wajar di hormati dan diberi keutamaan dari segi kemudahan prasarana stadium, dan juga keutamaan dalam bentuk kejayaan pasukan kebangsaan di peringkat dunia.










No comments:

Post a Comment