Ramai penonton yang telah membeli tiket di SDM terpaksa diusir keluar atas sebab keselamatan dan prosedur. Penganjur untung, penonton rugi.
Kemudian perlawanan dibawa ke Bukit Jalil bagi menentukan pemenang, walaupun ramai pemerhati beranggapan perlawanan di Bukit Jalil adalah lebih merupakan hadiah berbanding hukuman kepada PBNP.
Apa yang FAM sudah buat?
Pasukan Nasional kita, Harimau Malaya membatalkan perlawanan persahabatan kelas A dengan Singapura dan menggantikannya dengan latihan di Australia. Di sana, Malaysia dijadualkan akan menguji beberapa kelab tempatan.
Ini bermaksud, ranking Malaysia di carta FIFA tidak akan berubah, malah mungkin terhumban lebih jauh disebabkan kekurangan mata.
Dalam masa yang sama, jiran kita Indonesia sedang memanaskan badan untuk berentap dengan Robie Van Persie dan pasukan Holland nya.
Apa yang FAM sudah buat?
Khabar dari negara matahari terbit, Jepun telah mengesahkan kedudukan mereka untuk layak ke Piala Dunia 2014 di Brazil setelah seri 1-1 dengan Australia. Manakala kita, masih terkial-kial dengan prestasi di peringkat asia tenggara.
Ada juga peminat bolasepak di twitter telah menyiarkan petikan akhbar bertarikh 30 Julai 1999, bahawa FAM mensasarkan untuk layak ke piala Dunia pada tahun 2014. Tapi lihatlah dimana kita sekarang? Adakah cukup kualiti untuk ke Piala Dunia?
Apa yang FAM sudah buat?
Berita terbaru KLFA kemungkinan akan kehilangan penaja, hanya beberapa minggu setelah terbongkarnya dakwaan unsur-unsur penglibatan pemain mereka dengan sindiket mengatur keputusan perlawanan.
Juga tersiar berita beberapa pasukan tempatan lewat menjelaskan gaji pemain. gejala bookie dan lambat bayar gaji adalah dua perkara yang sangat sinonim. Malah bersifat saling memerlukan antara satu sama lain. Ada sumber mengatakan kegiatan ini sudah lama beroperasi, walaupun pembersihan secara besar-besaran dibuat pada 1994.
Apa yang FAM sudah buat?
Berdasarkan ranking semasa FIFA, gred liga yang masih di takuk D, mutu permainan yang tak berubah sejak 1980 an, malah mungkin lebih teruk, isu-isu lain yang masih menghantui arena bolasepak tempatan, maka fakta-fakta ini jelas membuktikan pentadbiran FAM yang ada telah gagal.
Walaupun peminat sering mendesak pembaharuan, namun FAM mengangap suara peminat di jalanan atau di stadium tidak penting. Soalnya sampai bilakah peminat akan terus teraniaya? cukuplah tiga dekad yang gagal, peminat bolasepak tempatan kini sudah mula mendesak perubahan secara total pentadbiran FAM, agar pasukan kita boleh bersaing dengan pasukan negara lain di peringkat Asia dan dunia.
Agak menghairankan apabila masih ada yang mempertahankan pentadbiran FAM walaupun terhidang fakta jelas di hadapan mereka betapa gagalnya bolasepak kita di peringkat antarabangsa.
Peminat bolasepak tidak boleh ditipu lagi. Peminat kini merupakan generasi yang dahagakan kejayaan. Setiap wang yang dikeluarkan oleh peminat baik untuk ke stadium, ataupun membayar bil Astro (Penaja utama Liga M) haruslah dihargai. Mereka yang bersubahat dengan bookie adalah penjenayah terbesar dan harus dihukum.
Harus diingat, doa orang yang teraniaya akan dimakbulkan oleh tuhan..In Sha Allah.
No comments:
Post a Comment