Sunday, June 15, 2014

Pasca Kongress FAM: Apa halatuju baru bolasepak negara?


Belum terlambat untuk ucap tahniah kepada KDYTM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM yang baru dilantik hasil pemilihan di Kongress FAM 25 Mei Yang lalu.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada bekas Presiden FAM iaitu DYMM Sultan Ahmad Shah, di atas sumbangan baginda selama ini kepada pembangunan bolasepak negara.

Sebagai peminat bolasepak tempatan, saya hanya mahu lihat pembaharuan berterusan dilakukan oleh barisan pentadbir bolasepak yang baru ini.

Kita sedar, lanskap bolasepak tempatan masih serba kekurangan, walaupun sukan ini masih menjadi sukan paling popular di Malaysia. Oleh itu, harapan yang disandarkan kepada barisan kepimpinan yang baru ini amat tinggi, sekurang-kurangnya dapat menyegerakan beberapa hal yang dikira sebagai sangat penting.

Setelah beberapa minggu berlalu, kita masih belum terdengar apa-apa perancangan daripada saf kepimpinan baru FAM ini. Saya fikir wajar untuk FAM mengumumkan halatuju bolasepak negara dalam masa yang terdekat ini bagi meredakan kebimbangan penyokong terhadap masa depan bolasepak negara.

Penyokong bolasepak hari ini berbeza dengan generasi terdahulu. Hari ini, informasi bolasepak serantau dan dunia begitu cepat di sebarkan. Apa jua berita berkenaan bolasepak, baik yang positif mahupun negatif, begitu mudah sampai ke pengetahuan penyokong.

Penyokong hari ini sudah mula menilai satu persatu permasalahan bolasepak negara. Penyokong hari ini sudah celik dan mula membandingkan tahap bolasepak negara dengan apa yang dimiliki oleh negara jiran seperti Thailand dan Vietnam.

Penyokong hari ini turut dibantu dengan kepesatan rangkaian televisyen berbayar yang menyiarkan perkembangan bolasepak rantau Asia. Mereka sudah pandai menilai, mereka sudah mampu membandingkan mengapa Malaysia masih di takuk lama.

Oleh yang demikian, bagi saya, ada tiga perkara yang perlu disegerakan oleh FAM dalam jangka pendek ini. Tiga perkara ini jika dilaksanakan, pasti dapat menjawab kritikan penyokong. Tiga perkara dalam jangka pendek, yang mampu memberi impak kepada pembaharuan jangka panjang.

1. Perlantikan Jurulatih tetap skuad Kebangsaan.

Sejak tamatnya kontrak Datuk K Rajagobal, tiada jurulatih tetap yang dilantik untuk merancang, melatih pasukan senior kebangsaan. Tidak wajar membebankan Datuk Ong Kim Swee yang kini melatih Harimau Muda A, untuk menggalas dua tugas serentak bersama skuad senior.

Perlantikan jurulatih tetap ini adalah simbol kepada cita-cita sesuatu persatuan Bolasepak itu. Semakin lewat perlantikan, maka itu menggambarkan Persatuan yang tidak punya cita-cita.

Tambahan lagi, kejohanan Piala AFF akan berlangsung Disember ini, dan jurulatih memerlukan masa untuk menyiapkan pasukannya.

Dengan masa yang suntuk ini, pendapat saya FAM perlu lihat kepada jurulatih yang sudah biasa dengan bolasepak tempatan. Robert Alberts adalah pilihan utama saya, diikuti oleh Dolah Salleh dan Zainal Abidin Hassan.

2. Penswastaan Liga M

Ini projek yang akan membuka jalan terhadap daya saing bolasepak tempatan. Saya tak perlu hurai dengan panjang lebar bagaimana rupanya Liga M Yang diswastakan, namun ini adalah sebahagian syarat yang ditetapkan oleh AFC untuk melayakkan kelab kita bersaing ke AFC Champions League. (ACL)

ACL adalah masa depan bolasepak Kelab di Asia. Kita perlu bermain di dalam ACL setiap tahun. Mungkin permulaannya, hanya satu kelab mewakili liga M. Dalam jangka panjang, jika tahap kualiti liga kita meningkat berterusan, ada kemungkinan dua atau tiga slot akan diberikan kepada kelab liga M.

3. Sasaran untuk layak ke Piala Asia 2019

Setelah melantik jurulatih tetap, penswastaan liga, dan penglibatan kelab Liga M dalam ACL, kita mahu FAM letakan sasaran untuk layak ke Piala Asia 2019 sebagai salah satu KPI organisasi itu. KPI bermaksud, ianya mesti dicapai dengan usaha yang sistematik dan komitmen yang tinggi.

KPI bermaksud, ianya sudah menjadi kewajiban bagi organisasi itu untuk bertindak agar sasaran layak ke Piala Asia 2019 tercapai. Saya percaya jika semua pihak yang terlibat ikhlas dalam tugasan mereka, pasti pasukan negara mampu mencabar dalam pusingan kelayakan kelak.

Saya berharap kepimpinan baru FAM ini lebih terbuka untuk mendengar suara hati penyokong. Penyokong hendaklah dianggap sebagai salah satu 'stakeholder'dalam pembangunan bolasepak negara. Tanpa penyokong yang memenuhkan stadium, tanpa penyokong yang membayar bil bulanan TV berbayar, maka sesuatu liga itu akan gagal. Suara hati dan kehendak penyokong perlu diambil kira secara serius.