Kepada pencinta bolasepak tanahair veteran, mereka pasti menyimpan pelbagai jenis kenangan manis bila disebut saja Pestabola Merdeka. Samada kejohanan tersebut diadakan di Stadium Merdeka, mahupun pada era moden di Stadium Shah Alam, pasti peminat-peminat veteran ini tadi mampu berkongsi kisah-kisah menarik yang pernah mereka lalui.
Biarkanlah kenangan yang indah itu tersemat di dalam hati kita. Untuk generasi hari ini dan seterusnya, sudah tiba masanya supaya kita rencanakan sesuatu yang lebih bermakna. Saya cadangkan, apa kata Pestabola Merdeka ini diberi peranan yang lebih luas di masa hadapan? bukan setakat kejohanan untuk menyambut hari kemerdekaan, malah saya mahu lihat kejohanan ini berperanan lebih penting dari itu, terutamanya dari aspek pembangunan bolasepak tempatan.
Cadangan saya:
(1) Pestabola Merdeka akan menjadi kejohanan jemputan khusus untuk pasukan bawah 23 tahun atau bawah 21 tahun. 'Friendly tournament' for Under 23 and under 21 sides.
(2) Pestabola Merdeka akan diadakan setiap dua tahun, terutamanya pada tahun yang sama dengan Sukan SEA. Ini sebagai persiapan terakhir buat skuad bawah 23 tahun sebelum bersaing di sukan SEA.
(3) Penganjur Pestabola Merdeka dicadangkan untuk menjemput pasukan bawah 23 atau 21 tahun dari negara yang terletak di luar dari Asia Tenggara. Lagi tinggi kualitinya, lagi bagus. Sebagai contoh: Skuad U21 Korea Selatan, U21 Australia, U21 Brazil dan lain-lain.
Dengan cadangan-cadangan di atas, diharapkan proses pembangunan pemain bawah 23 tahun dan 21 tahun negara akan lebih tersusun. Malah, Pestabola Merdeka akan dilihat sebagai kejohanan peringkat umur yang bermutu tinggi, lebih berprestij dan dinantikan oleh negara luar.
Untuk skuad senior negara, biarlah rancangan perlawanan persahabatan di atur di saluran yang berbeza. Seperti merancang perlawanan persahabatan dua tahun lebih awal, agar kalendar bolasepak dapat diurus dengan lebih teliti.