Thursday, May 16, 2013

Sokongan buat Menteri Belia & Sukan

Assalamualaikum wbt kehadapan YB Khairy Jamaludin, Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

Sekalung tahniah di atas perlantikan tersebut, juga mencerminkan harapan kepada kaum belia di seluruh negara yang dahagakan kejayaan lebih bermakna sukan kita di pentas antarabangsa.

Terutamanya sukan bolasepak, yang merupakan sukan nombor satu di negara ini, diminati, di mainkan malah diikuti segala perkembangannya oleh majoriti rakyat. Hampir tiga dekad peminat bolasepak tempatan merana kerana rentetan kekecewaan demi kekecewaan kegagalan pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

Selari dengan peraturan FIFA, setahu saya, kerajaan sesebuah negara tidak dibenarkan mencampuri urusan pentadbiran bolasepak yang selalunya ditadbir Persatuan Bolasepak di peringkat kebangsaan (Football Association). Di dalam kes kita, FIFA mengiktiraf Persatuan Bolasepak Malaysia sebagai badan induk tertinggi yang mentadbir bolasepak di negara ini.

Walaupun begitu, saya fikir masih ada jalan yang sesuai buat kementerian YB menyalurkan segala bentuk bantuan demi pembangunan berterusan sukan bolasepak di negara ini.

Saya mencadangkan beberapa perkara yang diharapkan dapat diperhalusi dan dipertimbangkan oleh kementerian YB.

Yang Pertama: Sekolah Bolasepak di seluruh negara. Berkonsepkan sekolah berasrama penuh, mempunyai kemudahan latihan selengkap SSBJ dan SSTMI, cuma bezanya sekolah ini fokusnya hanya kepada kecemerlangan sukan bolasepak dan penyediaan pemain yang bermentaliti juara.

Pemain bolasepak hari ini bukan sahaja dilatih agar mahir di atas padang dengan segala jenis teknik terkini, malah mereka juga perlu dilatih agar menjadi seorang pemain profesional yang fasih bercakap, celik terhadap undang-undang dan kontrak, mampu mengawal gaya hidup yang sihat agar sentiasa bersedia dari segi fizikal dan mental.

Sekolah-sekolah khusus seperti ini adalah sesuatu yang lazim di negara yang maju seperti Perancis. Di Malaysia, Sekolah seperti ini diharapkan dapat dibina di setiap negeri. Dari segi penempatan jurulatih, boleh lah KBS bekerjasama dengan FAM dan mendapat nasihat teknikal yang sewajarnya.

Pemain-pemain terbaik dari setiap negeri kelak, akan dipilih untuk ke sekolah bolasepak ataupun ke SSBJ bagi menjalani proses latihan pusat. Maka dari segi kualiti pemain, dijangka akan meningkat jika proses ini benar-benar diguna pakai.

Manakala pemain yang masih tinggal di sekolah bolasepak negeri, akan diberi keutamaan menyertai skuad pelapis negeri ataupun skuad piala Presiden negeri. Cadangan pembinaan sekolah bolasepak ini amat perlu, memandangkan kaedah sekolah projek yang diguna pakai selama ini kurang berkesan.

Kedua: Peruntukan, pemantauan KBS terhadap pengurusan stadium seluruh negara. Masalah kualiti rumput yang tidak pernah selesai, isu lampu limpah stadium, kaedah kawalan keselematan sebelum, semasa dan selepas sesuatu perlawanan bolasepak dan sebagainya.

kebanyakan Persatuan Bolasepak Negeri dan Kelab hanyalah penyewa kepada stadium. Akan tetapi, kebanyakan stadium di Malaysia gagal diselenggara dengan baik. Akibatnya, pasukan yang bertanding tidak dapat menikmati suasana pertandingan yang berkualiti di sebabkan isu-isu yang telah dinyatakan tadi.

Sepatutnya para pemilik stadium melihat Liga Malaysia ini sebagai peluang kepada mereka untuk menambah pendapatan, baik dari hasil sewa, hasil runcit mahupun hasil aktiviti komersial.

Saya cadangkan kepada YB, agar KBS menjadi orang tengah dan memberi nasihat kepada semua pemilik stadium agar bekerjasama dengan Liga M, FAM, FA negeri dan menawarkan kontrak menang-menang agar kesemua pihak yang terlibat dapat membuka mata dan bersetuju bahawa ini adalah peluang perniagaan yang menguntungkan.

Buat masa ini, saya fikir cukuplah dahulu dua cadangan ini yang mana saya fikir amat penting dalam membantu pembangunan bolasepak di peringkat akar umbi dan juga peringkat liga nasional. Selagi bolasepak hanya dianggap sebagai riadah petang hari dan bukan sesuatu yang serius, selagi itu tiada jaminan kejayaan buat skuad kebangsaan kita di masa akan datang.

Sekian.

Ikhlas dari peminat bolasepak tempatan dan skuad Harimau Malaya