Tuesday, December 17, 2013

Antara pingat emas Sukan SEA dan Piala Dunia Remaja

Tahniah buat anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee kerana berjaya menewaskan Vietnam dan seterusnya layak ke separuh akhir acara bolasepak Sukan SEA di Myanmar.

Tahniah juga buat Minarwan Nawawi dan Dharma Raj atas kejayaan pasukan kendalian mereka berjaya menduduki tangga ke empat di Piala Dunia Remaja Hoki di India.

Kedua-dua pasukan remaja yang saya sebut di atas mempunyai potensi yang sangat besar. Mereka lebih berketerampilan, memiliki teknik yang lebih baik, terlatih dari sudut taktikal malah sudah ada tanda memiliki semangat melawan yang jitu.

Bezanya cuma, sebagai peminat bolasepak, saya masih tertanya-tanya mengapa pasukan bolasepak kita masih belum mampu layak ke Piala Dunia Remaja seperti rakan Hoki mereka?

Memang bagus jika kita berjaya kekalkan ibu segala pingat sukan SEA, iaitu acara Bolasepak. Namun, setelah berpuluh tahun bolasepak menjadi sukan yang paling diminati oleh majoriti rakyat, adakah sasaran utama pasukan kebangsaan hanya setakat Asia Tenggara?

Apa matlamat sebenar pentadbir Bolasepak negara kita? Adakah sekadar meriah ketika Piala Malaysia sudah mampu melalaikan peminat bolasepak tentang situasi sebenar prestasi kita di pentas antarabangsa?

Adakah jika kita berjaya pertahankan pingat Emas Sukan SEA sekalipun, mampu membuatkan peminat bolasepak tempatan terlupa sejenak hakikat kedudukan pasukan Nasional di pentas Asia apatah lagi dunia?

Impian saya tetap sama.

Jadikan Asia Tenggara sebagai medan mengasah budaya kemenangan di peringkat remaja. Manakala misi layak ke Piala Dunia Remaja bawah 17 dan 20 tahun sebagai matlamat utama.

Kemenangan di peringkat Asia Tenggara penting untuk memelihara maruah. Manakala kemaraan ke Piala Dunia Remaja sebagai matlamat utama.

Adakah mustahil untuk layak ke Piala Dunia bawah 17 tahun? sudah tentu tidak.

Untuk berjaya di peringkat bawah umur, kita perlukan kelompok pemain yang besar. Maksudnya kelompok pemain berbakat yang besar. Bermula dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.

1. Satu Coach satu sekolah - Setiap Sekolah memiliki seorang guru/coach bolasepak bertauliah bagi mendidik teknik bolasepak yang betul seawal usia 7 tahun lagi.

2. Satu negeri satu sekolah bolasepak - Bina Sekolah khusus untuk pelajar yang cemerlang dalam sukan bolasepak. Bina Sekolah Bolasepak ini di setiap negeri.

3. Wujudkan Liga Bawah 14 tahun - Setiap sekolah Bolasepak tadi akan bertanding untuk mencari bakat terbaik di kalangan mereka. kelompok pemain akan dikenalpasti di liga ini.
Jika secara purata satu sekolah punya 100 pelajar berumur 13 hingga 14 tahun, maka kita boleh lahirkan 100 X 14 = 1400 pemain berbakat di sekitar umur bawah 14 tahun.

4. Kelompok pemain seramai 1400 orang yang berumur 14 tahun dan ke bawah ini boleh dipantau dan dibangunkan dengan lebih sistematik. Latih, pantau, bangunkan kelompok 1400 pemain ini tadi selama dua tahun, nescaya jurulatih pasukan akan mempunyai begitu banyak pilihan dalam membina pasukan mantap.

5. Pembinaan pasukan bawah 17 tahun - Setelah berlatih bersama selama dua tahun, kelompok pemain tadi yang akan berumur 16 tahun, akan mula dibahagikan kepada beberapa pasukan. Sebagai contoh, 100 pemain terbaik daripada kelompok tadi akan dikumpulkan di Kuala lumpur untuk latihan pusat. Kemudian akan dibahagikan kepada 4 pasukan A,B,C dan D.

Manakala baki 1300 pemain yang lain, akan terus menjalani latihan di sekolah bolasepak negeri masing-masing.

Kesemua pasukan ini tadi akan menjalani latihan serta perlawanan persahabatan yang berkualiti baik di dalam mahupun di luar negara. Jika prestasi pemain merosot ataupun diketepikan kerana tercedera, maka jurulatih boleh memanggil semula mana-mana pemain di kalangan baki 1300 pemain itu tadi. Kelompok pemain yang besar memainkan peranan yang penting di sini.

Cukup sekadar di sini dahulu cetusan cadangan daripada saya. Lain-lain cadangan akan saya lontarkan lagi jika perkara-perkara di atas sudah dijalankan. Pembangunan pemain seawal usia 7 tahun amat penting. Begitu juga visi serta matlamat pentadbir bolasepak. Kesemua di atas memerlukan kerjasama erat FAM/FA negeri - KBS - Kementerian Pendidikan - Kementerian Kesihatan - Badan penaja Korporat.

Layak ke Piala Dunia adalah matlamat utama, bermula dengan Piala Dunia bawah 17 tahun. Kemudian Piala Dunia bawah 20 tahun, dan ia akan turut memberi kesan kepada pasukan senior suatu hari nanti.