Tuesday, August 23, 2011

FAM perlu 2 pasukan untuk Sukan SEA dan Kelayakan Olimpik

1. Saya berpendapat FAM tidak perlu bersusah payah untuk menulis surat kepada AFC bagi memohon menunda perlawanan kelayakan Olimpik London 2012 menentang Syria November nanti.

2. Saya fikir FAM perlu mengutamakan pusingan kelayakan Olimpik lebih daripada misi mempertahankan pingat emas sukan SEA. Dalam masa yang sama, kita bertuah kerana mempunyai ramai pemain pelapis yang boleh dikatakan kompetitif di peringkat umur mereka.

3. Saya cadangkan FAM beri tugasan sepenuhnya kepada skuad Harimau Muda A kendalian Ong Kim Swee terhadap keperluan persiapan kelayakan Olimpik. Mereka perlu fokus dan melakukan persiapan khusus untuk menghadapi pusingan kelayakn olimpik. HMA tidak boleh terlibat dengan sebarang bentuk kejohanan lain. Ong Kim Swee seharusnya menumpukan perhatian 100% terhadap persiapan menentang Jepun, Syria dan Bahrain.

4. Bagi kempen mempertahankan pingat emas sukan SEA, kita boleh beri tugas itu kepada pasukan Harimau Muda B serta dibantu beberapa pemain skuad bawah 19 tahun. Perlu diingat, Sukan SEA hanyalah pertandingan bawah 23 tahun di peringkat rantau ASEAN dan merupakan pentas untuk pemain yang kurang mendapat tempat di HMA untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

5. Kita jarang mendapat peluang untuk layak ke peringkat kumpulan ini, maka peluang yang sudah terhidang janganlah dipersiakan. FAM perlu mempersiapkan 2 pasukan yang berbeza bagi menghadapi 2 kejohanan yang berbeza dari segi tahap kompetitifnya dan juga berbeza dari segi keutamaannya.

Monday, August 15, 2011

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus sokong kelab bolasepak komuniti

1. Saya sering terfikir bagaimana untuk mewujudkan suasana bolasepak yang lebih menyeluruh dan membabitkan lebih banyak pihak sehingga ke peringkat akar umbi. Senario bolasepak di Malaysia secara tradisi lebih mengutamakan pasukan negeri. Saya fikir sudah tiba masanya untuk kita tambahkan lagi saingan bolasepak dengan menarik penyertaan pasukan kelab di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

2.  Di peringkat daerah-daerah, saya dapati ada banyak pasukan kelab bertanding di sesuatu liga anjuran Persatuan bolsepak Negeri. Pasukan-pasukan kelab ini juga melahirkan ramai bakat muda yang boleh diketengahkan. Tetapi, sayang sekali tidak semua yang bertuah untuk menembusi dan mengisi tempat di dalam skuad utama negeri yang bertanding di Liga Super ataupun Liga Perdana.

3. Bakat-bakat yang ramai ini tak boleh dipersiakan. Oleh itu, saya cadangkan agar pasukan bertaraf kelab ini berusaha bersungguh-sungguh untuk menjuarai Liga di peringkat negeri dan kemudiannya mencuba nasib untuk layak ke Liga FAM.

4. Dalam masa yang sama, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus bersama-sama menyokong kelab komuniti masing-masing dengan memberi sokongan dalam bentuk prasarana dan kemudahan sukan yang berpatutan. PBT sekurang-kurangnya mengambil inisiatif membina stadium yang boleh digunakan oleh masyarakat setempat dan juga untuk perlawanan bolasepak yang membabitkan kelab dari kawasan berkenaan.

5. Saya yakin, masyarakat setempat juga akan sama-sama datang ke stadium untuk menyokong kelab komuniti mereka. Stadium yang akan dibina tidak perlu besar dan menelan belanja yang besar. Cukup dengan stadium berkapasiti 10,000 tempat duduk adalah memadai untuk mana-mana komuniti yang ingin melihat pasukan kelab mereka bermain dengan selesa.

6. Pihak PBT pula tidak mengalami kerugian kerana mereka juga boleh mendapat hasil melalui sewa, gerai-gerai dan sebagainya. Sekiranya setiap PBT memainkan peranan yang positif, saya yakin faedahnya akan dapat kepada pasukan kelab yang sememangya banyak bersaing di peringat akar umbi.

Tuesday, August 9, 2011

Misi 2015: Liga Super perlu sentuhan tambahan jurulatih asing

1. Setelah Datuk K Rajagobal berkali-kali mengingatkan kita tentang perancangan utama beliau untuk membawa pasukan negara layak ke Piala Asia 2015, maka saya secara peribadi menyokong wawasan tersebut, walaupun kita mempunyai misi mempertahankan piala AFF tahun depan.

2. Untuk mempersiapkan diri menjelang pusingan kelayakan yang dijadualkan pada 2013, saya berpendapat persiapan rapi dan lebih tersusun amat-amat diperlukan untuk merealisasikan impian tersebut.

3. Saya pernah tulis sebelum ini, dan saya akan ulang sekali lagi 'teori' saya ini, ada 3 faktor yang boleh menyumbang kejayaan sesebuah pasukan kebangsaan.(i) Liga Domestik yang kompetitif, berkualiti tinggi dan profesional di segenap aspek. (ii) Program pembangunan Remaja yang sistematik, berterusan dan berinovasi. (iii) Bilangan pemain yang bermain di liga di luar negara (eksport)

4. Bagaimanapun, faktor pertama (i) adalah faktor yang terbesar kerana di dalam liga domestik merupakan sumber terbesar bagi mana-mana jurulatih kebangsaan untuk memilih pemain. Oleh itu, saya akan tekankan lagi betapa perlunya kualiti dan tahap kompetitif Liga Super Malaysia dipertingkatkan ke tahap yang seterusnya.

5. Untuk meningkatkan lagi mutu Liga Super, kali ini saya akan menulis khusus tentang perlunya peningkatan mutu dari aspek kejurulatihan. Ini bermaksud, setiap pasukan perlu bersedia untuk berbelanja lebih demi meningkatkan kualiti permainan di saingan liga.

6. Saya berpendapat, Persatuan Bolasepak negeri dan kelab yang bertanding di Liga Super MESTI memandang serius persiapan pasukan dari segi tahap kecergasan, kesedian mental, tumpuan pemain terhadap tugas mereka di padang dan di luar padang, gaya hidup pemain, tahap kemahiran individu dan lain-lain lagi.

7. Untuk mencapai profesionalisme yang maksimum, saya berpendapat Persatuan Bolasepak Negeri dan Kelab yang bertanding MESTI mendapatkan khidmat jurulatih asing dari Eropah ataupun dari Amerika selatan untuk membimbing pasukan utama dan juga pasukan Piala Presiden.

8. Adakah jurulatih tempatan tidak cukup bagus? Bukan itu yang saya maksudkan. Saya berpandangan jurulatih tempatan ada batas-batas tertentu yang akhirnya akan menghadkan pembangunan seseorang pemain itu. Mengapa kita perlukan Jurulatih asing?

9. Yang Pertama, Jurulatih asing akan membawa ilmu terkini bolasepak di eropah atau Amerika Latin. Kaedah-kaedah latihan, strategi risikan, ilmu psikologi, disiplin pemakanan, pembinaan fizikal, disiplin gaya hidup dan macam-macam lagi modul persiapan pasukan yang sangat rapi. Sedikit perbezaan dari segi disiplin boleh menjadi penentu kalah menang sesuatu pasukan.

10. Yang Kedua, Jurulatih asing mempunyai jaringan rangkaian (network) yang luas dari segi sumber pencari bakat pemain di seluruh dunia. (Scouting) Jika Liga super membenarkan pemain import beraksi semula tahun depan, Jurulatih asing ini boleh membantu dari segi mendapatkan pemain yang berkualiti. Mereka juga boleh membantu pemain tempatan yang ingin mencuba nasib di eropah untuk sekurang-kurangnya mendapatkan tempat bermain di kelab-kelab eropah.

11. Yang ketiga, Kehadiran jurulatih asing akan memberi peluang kepada jurulatih muda tempatan mempelajari teknik-teknik kejurulatihan dan pemindahan ilmu ini amat berguna untuk meningkatkan kepakaran jurulatih tempatan. 

12. Saya berharap setiap pasukan yang bertanding di liga Super (Yang berkemampuan) menggunakan khidmat jurulatih asing bagi memberi nafas baru kepada bolasepak tempatan yang sedang menuju graf 'menaik'. Begitu juga dengan skuad piala presiden, yang mana khidmat jurulatih asing akan membantu pemain muda meningkatkan mutu permainan mereka.

Friday, August 5, 2011

FAM dan semua FA negeri perlukan Pengarah teknikal

1. Setelah agak reda kritikan terhadap jurulatih negara, Datuk K Rajagobal tentang isu teknik dan taktik, maka kini saya berasa sesuai untuk membicarakan pula tentang hal yang lebih kurang serupa.

2. Saya tegaskan sekali lagi, jawatan pengarah teknikal atau pengarah bolasepak (Director of football) bagi sesetengah kelab di eropah telah diwujudkan sejak sekian lama. Bagi saya peranan pengarah teknikal ini sangat penting, asalkan ianya tidak mengganggu tugas jurulatih utama terhadap pasukan senior.

3. Mengapa jawatan pengarah teknikal diperlukan? Seseorang yang dilantik ke jawatan pengarah teknikal selalunya diberi tugas utama untuk membangunkan program di peringkat akar umbi seperti pemain bawah umur. Pengarah teknikal akan dibantu sepasukan jurulatih yang bertauliah untuk menjayakan program pembangunan pemain muda seperti di akademi bolasepak.

4. Oleh itu, kita nampak peranan pengarah teknikal akan menentukan corak pemain yang bakal dihasilkan oleh sesebuah akademi bolasepak. Jika seseorang pengarah Teknikal mengamalkan falsafah bolasepak yang positif, maka akan lahirlah generasi pemain yang positif. Pemain-pemain muda akan diperkayakan dengan pelbagai ilmu teknik dan taktik semasa berguru di akademi di bawah kelolaan Pengarah Teknikal.

5. Seperti yang pernah saya tulis dulu, kejayaan La Masia (sekolah bolasepak FC Barcelona) menghasilkan pemain-pemain yang hebat bermula dari program remaja yang juga hebat. Struktur La Masia sangat tersusun sehingga mereka mengambila kira semua aspek untuk membangunkan seseorang pemain muda itu.

6. Pengarah di La Masia, Carles Folguera pernah berkata "Why did Messi, Iniesta, Xavi, Pedro, for example, come out of here who are just 5ft tall? Because our principal value is not the physical aspect. It's the talent. It's the ability. This has nothing to do with height."

Sumber - http://www.thesun.co.uk/sol/homepage/sport/football/3404939/Meet-Barcelonas-unsung-heroes.html

7.  Sekarang kita lihat senario di Malaysia. Jika semua Persatuan Bolasepak Negeri mempunyai pengarah Teknikal dan jabatan yang diketuainya tersusun serta lengkap, maka saya percaya Malaysia akan mampu menghasilkan pemain yang berkualiti untuk bersaing di Liga Super. Pemain-pemain yang berkualiti ini akan bersaing dan menghasilkan kelompok yang besar untuk dipanggil ke skuad kebangsaan. 

8. Pasukan kebangsaan perlukan skuad yang besar. Ini bermaksud kelompok pemain yang bersedia untuk menyarung jersi kebangsaan dan bermain di tahap yang maksimum mestilah ramai. Sekiranya beberapa pemain utama tercedera ataupun menjalani penggantungan, maka jurulatih akan mempunyai pilihan lain bagi mengisi kekosongan itu. Apabila jurulatih mempunyai banyak pilihan, maka ketika itu perubahan strategi taktikal boleh dilakukan dengan lebih mudah.

9. Dalam masa yang sama, jangan lupa bahawa seseorang pengarah Teknikal tidak boleh masuk campur dengan urusan pasukan senior. Ini kerana pasukan senior terletak di bawah tanggungjawab penuh ketua jurulatih yang telah dilantik. Pengarah Teknikal hanya membantu dari segi memberi cadangan pemain-pemain muda yang difikirkan telah bersedia untuk memasuki pasukan senior.

10. Saya tegaskan sekali lagi, FAM dan persatuan bolasepak negeri wajib memiliki pengarah teknikal untuk kesinambungan berterusan kecemerlangan bolasepak negara.

Thursday, August 4, 2011

Pemain import: Perlu atau tidak?

1. Walaupun pasukan kebangsaan gagal meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia, namun saya percaya usaha untuk memajukan sukan bolasepak mesti diteruskan.

2. Seperti yang pernah saya tekankan sebelum ini, ada tiga faktor utama kejayaan sesebuah pasukan kebangsaan. (i) Liga Domestik yang kompetitif serta berkualiti di semua aspek. (ii) Program pembangunan pemain bawah umur, remaja dan pelapis yang sistematik dan berkesan (iii) Bilangan pemain yang dieksport ke luar negara.

3. Tetapi untuk hari ini, saya akan lebih menulis tentang bagaimana untuk menjadikan liga Super Malaysia menjadi lebih kompetitif dan menguntungkan dari sudut komersial. Walaubagaimanapun, kita jangan lupa tugas utama adalah untuk membina sebuah pasukan kebangsaan yang kukuh dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Dengan kata lain, Liga Super perlu berperanan sebagai penyumbang utama pemain kebangsaan dan memudahkan tugas ketua jurulatih. Ya, kita akan membantu Datuk K Rajagobal.

4. Saya bersetuju jika pasukan yang MAMPU sahaja untuk membeli pemain import. Kita sedar objektif kemasukan pemain import adalah untuk meningkatkan mutu Liga, namun dalam masa yang sama kita mesti realistik dengan kedudukan kewangan sesetengah persatuan bolasepak negeri. Oleh itu, saya tegaskan kemasukan pemain import hanyalah sebagai pilihan (Optional) dan bukan sesuatu yang wajib.

5.  Dalam masa yang sama, saya sarankan agar Jawatankuasa Pertandingan meletakkan satu syarat wajib kepada semua pasukan yang bertanding. Syarat wajib yang saya sarankan ialah: setiap pasukan yang bertanding di liga super hendaklah menurunkan minima 2 orang pemain yang berumur bawah 23 tahun. Oleh itu akan ada keseimbangan di dalam setiap pasukan.

6. Pasukan yang berkemampuan akan menurunkan 2 orang pemain import serta 2 orang pemain bawah 23 tahun. Situasi ini akan mengekalkan peluang anak-anak muda untuk menembusi pasukan senior dan ia juga membolehkan pemain-pemain muda mempelajari teknik-teknik yang bermutu tinggi daripada rakan import mereka.

7. Kesimbangan perlu ada supaya kualiti liga dan kebangkitan pasukan kebangsaan dapat bergerak seiring. harapan saya agar bolasepak negara akan terus berkembang dan menjadi industri yang pesat suatu hari nanti.

Monday, August 1, 2011

Analisa Skuad Harimau Selepas 28 Julai.

1. Rasa kecewa bercampur lega dapat saya rasakan selepas perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 di Bukit Jalil antara pasukan Harimau dengan Sang Singa. Kecewa kerana kita gagal meneruskan kemaraan ke peringkat ketiga. Lega pula kerana pasukan negara tidak kalah di bumi sendiri.

2. Ramai yang melontarkan kritikan terhadap jurulatih Datuk K Rajagobal selepas tersingkirnya pasukan negara. Ada yang kata Datuk 'K' kurang arif dalam merencanakan strategi berkesan dalam menghadapi Singapura. Ada yang kata Datuk 'K' tersilap memilih pemain yang sesuai untuk bersaing dengan Singapura.

3. Dalam hal ini, saya berpendapat Datuk K terlalu bertegas dengan pemilihan pemain muda (skuad Olimpik) sehingga meminggirkan beberapa pemain lebih senior yang sedang 'on form' di peringkat negeri di saingan Liga Super. Beliau juga terlalu kerap menggunakan 'back four' muda sehingga mereka terbeban dengan tugas yang sepatutnya dipikul oleh pertahanan yang lebih senior.

4. Gandingan Mahali-Muslim-Fadhli tidak sepatutnya dibebankan dengan tugas bersama skuad senior, kerana mereka telah bermain untuk pasukan Harimau Muda di Liga Super serta kelayakan olimpik. Gandingan muda ini sepatutnya hanya bertindak sebagai 'Plan B' kepada skuad senior, jika berlaku ramai yang tercedera ataupun menjalani penggantungan.

5. Ada ramai yang mampu bermain untuk skuad senior jika kita tolak ketepi gandingan muda yang disebutkan tadi. Tidak perlu pandang terlalu jauh, kita hanya fokus kepada 4 pasukan terbaik Liga Super iaitu Kelantan, Terangganu, Selangor serta Kedah. Untuk pertahanan kanan, kita ada Daudsu Jamaludin (Kel), Sabree Mat Abu (Kedah), P Gunalan (Selangor). Pertahanan tengah S Subramaniam (Kel) Marzuki (Ter) Nasriq baharum (Sel) Farisham (Kel). Pertahanan kiri pula Ropy (Kel), Azmi Muslim (Kedah).

6. Oleh itu saya harap Datuk K dapat mengurangkan beban pemain-pemain muda kerana bermain terlalu banyak perlawanan berprofil tinggi. Mereka seharusnya diberi rehat yang cukup bagi meneruskan proses pembelajaran bersama skuad Ong Kim Swee. Saya juga sempat menilai setiap individu yang bermain di perlawanan kedua tempohari.:

7. Khairul Fahmi Che mat: Sepatutnya diturunkan ketika pertemuan pertama di Jalan Besar. Walaupun masih muda, beliau adalah penjaga gol terbaik negara buat masa ini. Berjaya menyelamatkan beberapa percubaan penting lawan. Rating 8/10.

8. Mahali Jasuli: Sangat efektif ketika menyerang, tetapi kerap menggelecek terlalu lama sehingga bola hilang kepada lawan. Perlu tingkatkan kemahiran berfikir, bila perlu menggelecek, serta bila perlu untuk melepaskan hantaran kepada rakan. Rating 6/10.

9. Muslim Ahmad: Pemain pertahanan berbakat, tetapi tertekan dengan tuntutan terhadap tugas penting yang panjang. Kelayakan Olimpik, kelayakan Piala Dunia serta perlawanan persahabatan dengan pasukan EPL. Tidak termasuk saingan Liga Super yang panjang. Saya bersimpati dengan beliau kerana dikritik, cuma berharap Muslim ambil iktibar dari pengalaman berdepan dengan Aleksandar Duric. Pengalaman berharga.

10. Fadhli Shas: Sama seperti Muslim, tidak adil menghentam pertahanan yang baru berusia 20 tahun ini. Berikan beliau rehat dan terus belajar bersama Harimau Muda di Slovakia. Pengalaman berharga menentang Duric dan Shi Jiayi.

11. Asrarudin Putra: Aksi sederhana, berkesan dengan hantaran lintang dari sebelah kiri. Cuma perlu perbaiki teknik bertahan serta hantaran tepat kepada rakan-rakan midfield. Rating 6/10.

12. Amar Rohidan: Beliau telah cuba sedaya upaya, tetapi pergerakan agak terbatas dengan ketiadaan Safiq. Beliau perlu tingkatkan kekuatan fizikal, perlu tajamkan lagi mutu bentesan. Sebagai defensive midfielder, beliau mesti lebih keras ketika menahan asakan lawan. Rating 6/10.

13. Ismail Farouqi: Berbakat, kreatif, cuma kurang pengalaman di peringkat antarabangsa. Datuk K tidak sepatutnya meletakkan beliau di kesebelasan utama untuk perlawanan genting seperti ini. Saya berharap ISmail akan diberi lebih peluang bersama skuad negara selepas ini. rating 5/10.

14. S Kunanlan: 'Livewire' dalam skuad kali ini. Rajin dan penuh dengan stamina, Kunanlan beraksi dengan penuh komited di kedua-dua perlawanan. Beliau terbabit dengan gol yang diledakkan oleh Safee Sali. Perlu dikekalkan dalam skuad. Rating 7/10.

15. Amirulhadi: Antara pemain setia Datuk K sejak pasukan bawah 19 tahun. Beliau juga terkenal dengan larian di sebelah sayap kanan. beliau nampak agak berhati-hati ketika perlawanan kedua, dan rembatan lemah beliau di peruh masa pertama amat mengecewakan. Perlu tingkatkan kualiti rembatan. Rating 6/10.

16. Hadi Yahya: Kurang kemahiran teknikal di peringkat antarabangsa. Gagal membebaskan diri dari 'marker'. Bola mudah dirampas dari kaki, kadangkala kawalan yang kurang kemas. Tidak ada percubaan bahaya ke gol lawan, mengecewakan untuk penjaring terbanyak Liga Super. Rating 5/10.

17. Safee Sali: Pemain yang jelas berada di kelas berbeza. menunjukkan mutu permainan berkesan sejak bermain di ISL. 'Positioning, finishing' beliau adalah yang terbaik di rantau asia tenggara. Jaringan-jaringan beliau dikecewakan oleh kelonggaran barisan pertahanan. Permain terbaik malaysia. rating 8/10.

18. Saya berharap Datuk K akan diberi peluang untuk memperbaiki pasukan. Pasukan ini merupakan pasukan harapan, jangan putus asa dan cuba lagi. TANAH TUMPAHNYA DARAHKU.